Mungkin ramai sedia maklum mengenai kisah di sebalik lagu tersebut yang mendapat sentuhan pemuzik muda terkenal, AG Coco. Penceritaan menerusi liriknya yang disampaikan secara terus dan telus tanpa kata-kata puitis berbahasa tinggi yang mengaburi maksud, ternyata menjadi fenomena di persada muzik tempatan.

Justeru, meniti populariti yang boleh dianggap cemerlang berbanding dirinya sebelum ini, Fynn berkata ia peluang terbaik untuknya menggunakan kesempatan tersebut bagi memudahkan perjuangannya sebagai aktivis kemasyarakatan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, sebelum Fynn terkenal sebagai seorang selebriti dalam bidang muzik tanah air, dia adalah antara insan yang cuba untuk mendapatkan hak bagi anak-anak jalanan yang terbiar ataupun bayi tidak sah taraf.

Menerusi perjuangan itu jugalah, Fynn dan suaminya yang dikenali sebagai Tri bertemu dengan Juna, seorang kanak-kanak autistik atau austisme yang disifatkan pasangan suami isteri itu sebagai seorang anak yang amat istimewa.

Tidak mahu terus memperkatakan status Juna yang sebelum ini pernah mencetus kontroversi, Fynn berikrar mahu memberi sepenuh perhatian terhadap Juna yang masih belum mampu berkomunikasi dengan baik, sama seperti kanak-kanak yang senasib dengannya.

“Bagaimanapun, Juna ada caranya yang tersendiri. Jika dia lapar atau mahukan susu, Juna akan tarik tangan saya atau ayahnya ke arah beg susu atau sebarang makanan yang dikehendakinya. Begitulah caranya berkomunikasi dan saya serta suami sedaya upaya cuba memahami setiap kali dia menyampaikan sesuatu.

“Menariknya, keletah Juna itu kadang-kala menghiburkan saya dan suami. Seperti bermain teka-teki kerana cuba meneka kehendak Juna yang lucu dan comel. Dia sangatlah istimewa buat kami dan sedikit pun tidak menyesal mengambilnya sebagai anak angkat,” jelas Fynn.

Dalam pada itu, Fynn memberitahu, sebagai aktivis yang memperjuangkan nasib anak-anak terbiar dan tidak sah taraf, dia akan mengetepikan segala jadual seninya sekalipun ia telah disusun terlebih awal.


“Saya meletakkan diri saya sebagai seorang ibu di tempat paling atas, kemudian sebagai pendidik dan selepas itu barulah peranan lain. Sebab itulah apabila saya dengar ada kes-kes pembuangan bayi, hati saya cepat tersentuh dan sanggup ketepikan aktiviti seni sama ada sebagai pemuisi atau penyanyi untuk cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi anak yang tidak berdosa itu,” kata Fynn memberitahu pendiriannya.