Bekerja di konti selama 12 tahun di stesen radio Hot FM dan Kool FM adalah momen terindah yang pernah terpahat di ruangan hati dan tak mungkin lenyap di fikirannya.

Justeru, Ikhwan atau Mohd. Khairul Ikhwan Rosli masih lagi memasang angan untuk meneruskan minat dalam bidang penyampai radio andai ada tawaran yang diberikan.

“Saya okey sahaja jika ada pihak stesen radio nak tawarkan untuk sertai mereka. Almaklumlah, ini jiwa saya sejak dari dulu lagi,” ujarnya berkongsi rasa.

“Tak mungkinlah saya akan lupakan kerjaya sebagai penyampai radio yang sudah sebati dalam diri saya sejak lebih sedekad lalu. Mungkin ‘jodoh’ saya tak lama dengan dua stesen radio yang saya berkhidmat itu, tidak mengapa saya tidak kecewa.

“Saya akui selama hampir setahun hilang punca pendapatan tetap banyak mengajar saya makna kesyukuran. Bak kata orang, langit tak selalunya cerah.

“Mungkin itu dugaan saya bila Tuhan bagi ujian. Pada ketika itu, isteri sedang sarat mengandungkan anak sulung. Memang pening juga memikirkan bagaimana nak meneruskan kehidupan ketika itu.

“Hidup ini umpama roda. Tak selamanya kita berada di atas, kadangkala yang ‘bawah’ itulah yang beri kita semangat untuk bangkit,” tambahnya.

Masuk set lakonan 

Benarlah kata orang, rezeki datang dalam pelbagai cara, bapa kepada Nur Aiira Orked, sembilan bulan itu kini kembali bergelar pelakon setelah lima tahun meninggalkan dunia tersebut.

Ikhwan yang sebelum ini pernah membintangi drama bersiri popular, Bong (2008), akui teruja dengan pelawaan produksi drama Atas Nama Cinta iaitu Suhan Movies untuk menjadi salah seorang pelakon dalam nakshah berkenaan.

“Bidang lakonan sudah tidak asing lagi dalam latar belakang kerjaya saya. Sejak kecil lagi saya menemani arwah ibu, Hasnah Ibrahim ke set penggambaran.

“Kali terakhir saya berlakon Destinasi G4 arahan Nizam Zakaria, lima tahun lalu. Sejujurnya sewaktu masih lagi bergelar penyampai radio, saya ada juga menerima tawaran berlakon.

“Tetapi kekangan masa dengan tugas hakiki membataskan saya untuk memberi komitmen kepada karier lakonan. Lagipun keutamaan saya ketika itu tentulah kepada kerjaya tetap.

“Drama Atas Nama Cinta ini telah memulakan penggambaran pada pertengahan September dan mempunyai 60 episod.

“Walaupun saya bukan watak utama tetapi peluang berlakon dengan pelakon Saharul Ridzwan, Syatilla Melvin serta Chacha Maembong ini saya jadikan sebagai penanda aras untuk lebih bergerak aktif dalam bidang ini pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Ikhwan turut menjawab soalan berkenaan dirinya hanya sekadar mahu ‘tangkap muat’ dalam industri seni demi memastikan namanya masih relevan.

Menolak dakwaan sedemikian, kata Ikhwan: “Semua itu tak betul. Dakwaan mengatakan saya hanya ambil sahaja tawaran seni demi populariti dan mahukan perhatian, itu sama sekali bukan diri saya.

“Saya memang ada darah seni sebab itu minat memang ke arah itu. Itu sahaja. Selain itu, saya ada tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Perlu sediakan keperluan buat isteri dan anak. Saya bukannya ambil kerja secara semborono.”

Selain berbakat dalam dunia lakonan, penyiaran serta penyampaian radio, Ikhwan juga pernah tampil dengan single Percaya dengan penyanyi Didi Astillah.

Menggunakan nama pentas Nawkhi, single Percaya telah dilancarkan dua tahun lepas.

Mengakui gemar meneroka perkara baharu seperti dunia nyanyian, Ikhwan juga pernah bekerjasama dengan penyanyi rap Daly Filsuf dan Dynda dalam menghasilkan lagu selain pernah menganggotai kumpulan Emcee Non Gergasi pada 2012.