Jika kebanyakan produksi lain menjadikan kota terkenal Eropah sebagai lokasi, mereka memilih bandar Sarajevo dan Mostar yang jarang diterokai oleh kebanyakan produksi.

Drama bersiri 13 episod yang disiarkan setiap hari Selasa, Rabu dan Khamis, pukul 9 malam itu dibintangi oleh Yana Samsuddin, Iqram Dinzly, Zarina Zainoordin, Iskandar Zulkarnain dan ramai lagi.

Bagi pengarahnya, Izzman Hafiz Izzuddin Azlan, pasti ada kelainan yang ingin ditampilkan menerusi drama ini yang bakal memikat hati peminat setia drama Melayu tempatan.

“Memang pada awal lagi kita mahu mencari lokasi yang berlainan daripada kebanyakan drama yang ada di kaca televisyen (TV). Memandangkan Bosnia dan Herzegovina tidak selalu menjadi pilihan maka kita sepakat ke sana.

“Walaupun banyak cabaran besar yang terpaksa dihadapi ketika tempoh penggambaran tapi itu langsung tidak mematahkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik kepada produk ini,” cerita pengarah yang disapa sebagai Izzman ini.

Biarpun pemergian selama tiga minggu ke sana disambut dengan salji tebal yang merencatkan jadual penggambaran namun itu bukan masalah.

Dengan suhu 0 hingga 10 darjah selsius, pastinya pergerakan mereka sedikit terbatas terutama beberapa hari selepas tiba di negara tersebut.

Tidak patah semangat dengan fenomena alam itu, Izzman berterima kasih kepada pelakon utama yang tetap memberikan komitmen sepanjang berada di sana.

“Kita bertuah memandangkan penduduk di sana begitu mengalu-alukan kehadiran kita. Apabila sebut sahaja nama Malaysia, masyarakat setempat akan teringatkan Tun Dr. Mahathir yang banyak membantu negara tersebut ketika era peperangan dahulu.

“Segala-galanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar. Soal makanan pun tak menjadi halangan memandangkan penduduk di negara tersebut majoritinya beragama Islam,” tambah Izzman lagi.

Dalam pada itu, pengarah muda ini mendedahkan berlakunya sedikit masalah kecederaan melibatkan Yana Samsuddin ketika di sana.

Drama yang menjalani penggambaran tahun lalu itu menyaksikan Yana mengalami kecederaan di kaki dan mengakibatkan dia didukung oleh lelaki Bosnia dan pernah menjadi isu hangat ketika itu.

“Memang waktu itu gambar Yana menjadi kecaman banyak pihak. Tapi mereka tidak mengetahui yang dia mengalami kecederaan dan tak mampu berjalan jauh.

“Kebetulan lokasi penggambaran pula di jauh dan perlu berjalan kaki, hanya itu alternatif yang ada,” cerita Izzman.

Konflik

Kalau Hati Ini Rama-Rama mengisahkan tentang kemelut hidup Nur lakonan Yana Samsuddin yang datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan.

Sikap jujur Nur membuatkan dia diterima bekerja di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Pada masa yang sama, Iskandar (Iqram Dinzly) yang juga merupakan anak kepada pemilik hotel tersebut menghadapi masalah percintaan dengan pelakon terkenal Vee (Zarina Zainoordin).

Vee dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan pelakon lain sehingga menyebabkan hubungan mereka putus.

Tanpa berfikir panjang, Iskandar meminta ibu dan bapanya untuk mencarikan wanita untuk dijadikan isteri. Dek kerana sikap jujur Nur, dia menjadi pilihan keluarga Iskandar.

Perkahwinan yang bukan atas dasar cinta itu menyebabkan Iskandar langsung tidak menyentuh Nur dan membiarkan sahaja wanita tersebut sendirian. Niatnya hanya untuk membalas dendam terhadap Vee.

Rumah tangga tersebut semakin bermasalah dan Iskandar akhirnya di hantar ke Bonnia dan Herzegovina bagi menguruskan hotel di sana.

Dia yang menggantikan Emir (Iskandar Zulkarnain) turut membawa Nur ke sana.

Pelbagai konflik muncul ketika berada di sana dan itu menjadi kekuatan kepada drama terbitan Sazawan Supply Sdn. Bhd. ini.

Segala-galanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar. Soal makanan pun tak menjadi halangan memandangkan penduduk di negara tersebut majoritinya beragama Islam