Begitu juga dengan kesederhanaan, Amy yang berusia 44 tahun itu mengakui perkara tersebut amat dititikberatkan sebagai seorang wanita berkarier dan mempunyai keluarga.

Tambahan pula, dia bukan jenis indivisu yang gemar meletakkan sasaran tertentu malah percaya jiwanya lebih terarah kepada peredaran semasa berbanding merancang sesuatu perkara.

“Saya bukan seorang yang bercita-cita tinggi malah bukan juga jenis yang awal-awal sudah ada perancangan spesifik untuk mencapai sesuatu dalam tempoh tertentu.

“Sebenarnya saya seorang ringkas, mudah dan terbuka untuk segala urusan. Yang perlu dilakukan adalah memberi keutamaan kepada yang sepatutnya.

“Yang utama adalah urusan menguruskan keluarga, kemudian baru kerjaya,” katanya yang menyifatkan tahun ini sebagai tahun bermakna selepas mengambil keputusan untuk bertudung pertengahan tahun ini.

Keputusan yang dilakukan atas kehendak diri sendiri itu juga menjadi titik permulaan buat Amy menanam azam memperbaiki diri.

Secara berdikit-dikit, Amy yakin perubahan tersebut akan dipermudahkan apabila disokong penuh oleh suami, Alvin Tham Suffian dan dua cahaya mata mereka, Adalia dan Adriana.

Bagi Amy, mereka adalah sumber kekuatan dalam hidupnya. Lantaran itu dia tidak akan berkompromi dalam usaha untuk memperbaiki diri.

Sengaja mengusik Amy tentang pendiriannya jika ada segelintir pihak masih berkongsi gambar lamanya yang tidak bertudung, nyata penyanyi yang tampil dengan lagu baharu, Jom Menari Ler ada jawapan tersendiri.

Kata Amy, perkara tersebut tidak perlu digembar-gemburkan kerana dia sendiri masih terikat sebagai duta untuk dua produk yang masih menggunakan wajahnya tanpa berhijab.

“Setiap daripada kita mempunyai cerita silam sendiri. Kita tak terus sempurna dengan diri kita pada hari ini.

“Secara jujurnya saya tidak kisah kerana gambar itu dirakam sebelum saya berhijrah. Saya tidak akan menyusahkan pihak produksi untuk meminta mereka merakamkan semula gambar baharu.

“Yang penting sekarang ini semua orang tahu tentang diri saya yang sudah berhijab,” ujarnya lagi.

Berniaga

MENGUBAH topik tentang perkembangan diri, Amy kini berkecimpung dalam bidang perniagaan dengan memperkenalkan tudung jenama Amy Mastura by ezalha.

Perniagaan dengan kerjasama pereka fesyen dan jurumekap, Ezal dan Alha itu dilancarkan baru-baru ini dengan menyediakan 12 koleksi yang menggunakan nama judul lagu popular Amy.

Antara koleksi di bawah rangkaian Amy Mastura by ezalha iaitu Sha Na Na, Menari Lerr, Kasih, Puteri, Bicara Hati dan Jawapan Kasih.

Ezal dan Alha juga bertanggungjawab memperkenalkan dirinya dalam bidang perniagaan meskipun Amy awal-awal lagi mengakui tiada pengalaman dalam bidang tersebut.

“Terus terang saya memang tidak berminat untuk buat bisnes sendiri kerana tiada kepakaran khusus dalam bidang berkenaan.

“Tapi disebabkan kepercayaan kepada Ezal dan Alha, mereka yang mendorong saya untuk terlibat dalam bidang ini.

“Saya berlapang dada untuk melakukan satu lagi perubahan dalam hidup dengan mempelajari selok belok dalam bidang perniagaan.

“Biarpun secara kecil-kecilan, tak mengapa asalkan ilmu yang saya pelajari itu bermanfaat untuk diri sendiri pada masa depan,” jelasnya.

Berhubung perancangan untuk mengusahakan perniagaan sendiri, Amy mengakui , dia masih belum ada keyakinan untuk tujuan itu.

Bagaimanapun Amy bersedia untuk memikirkannya sebagai usaha untuk mengukuhkan ekonomi keluarga pada masa depan.