Bermula sekadar memegang status pelakon tambahan, sudah ada kelihatan warna-warna ceria yang tercalit dalam diri si bunga bernama sebenar Nurul Hidayah Mohd. Amin ini.

Pembabitan awalnya dalam drama Duri Di Hati bergandingan dengan pelakon popular seperti Marsha Milan, Amar Asyraf dan Datuk Jalaluddin Hassan tidak pernah meletakkan diri Ardell untuk bersikap sombong dan angkuh.

“Biar berlakon dengan artis-artis popular, saya tidak pernah mendabik dada. Masih banyak ranjau yang perlu dilalui demi menggenggam harapan dan cita-cita saya dalam bidang lakonan.

“Sejauh mana pun saya berangan-angan mahu mengembangkan sayap dalam bidang lakonan, akhirnya terpulang kepada penerbit dan pengarah untuk memberi tawaran.

“Dalam bidang ini, saya mahu semuanya dilakukan atas usaha sendiri dan bukannya kerana bodek. Sebab itu, saya meletakkan bakat itu tinggi tahapnya,” kata Ardell optimis.

Yakin bahawa dirinya punya kekuatan untuk muncul sebagai seorang pelapis pelakon tanah air, biarpun langkahnya perlahan, sekurang-kurangnya Ardell tidak takut untuk mencuba.

Besar harapannya agar masyarakat dan peminat seni lakon memberi peluang untuknya membuktikan bakat. Kongsi Ardell, dia benar-benar tidak mahu mencipta kontroversi.

“Tentu sekali saya mahu terus mencuba dan melakukan yang terbaik dalam seni lakon. Hasrat saya agar selepas ini diberi peluang untuk mencuba pelbagai watak yang mencabar.

“Kontroversi bukan sesuatu yang saya mahukan. Kalau boleh, saya mahu elak. Juga, saya tidak mahu ada yang kata pelakon perempuan suka guna rupa paras.

“Tidak! Saya mahu buktikan yang saya boleh buat,” tegasnya yang bakal muncul dengan filem pertama berjudul CCTV pada 30 Julai ini.

Dalam filem tersebut, Ardell membawakan watak sebagai seorang jururawat bernama Mariana yang merawat Hariri (Aeril Zafrel) di sebuah hospital lama.

Hariri mengalami kecederaan ketika membetulkan kamera litar tertutup (CCTV) di hospital berkenaan dan kemudian dia mendapatkan rawatan di hospital itu.

Sepanjang mendapatkan rawatan, hubungan Mariana dan Hariri sangat dicemburui oleh Dr. Mutalib (Hasnol Rahmat) yang sebenarnya mempunyai perasaan terhadap Mariana.

Bagi gadis berusia 25 tahun ini, peluang yang diberikan dalam membintangi filem arahan Daven R itu, digunakan dengan sebaik mungkin dan tidak mahu disia-siakan.

“Asalnya, saya sekadar mencuba dalam uji bakat untuk filem berkenaan yang dijalankan dua tahun lalu tetapi tidak sangka dipanggil untuk membawa watak utama.

“Ini peluang keemasan saya untuk buktikan semuanya dan merupakan naskhah lakonan filem pertama saya.

“Sekarang adalah masa untuk saya. Doakan yang terbaik!,” katanya tanpa mahu berada di zon selesa selepas kejayaan filem itu nanti.

Tidak ramai kawan

Sudah membintangi lebih 15 drama dan telefilem hingga kini, Ardell melihat perkembangan karier lakonannya ini pada sudut pandangan yang positif dan terbuka.

Juga mengaku pembabitan awalnya bermula secara kebetulan yang ketika itu sekadar membantu rakannya menjadi pelakon tambahan, akhirnya bertukar menjadi minat yang mendalam.

“Tak dinafikan, minat pada lakonan ini sudah ada di dalam diri saya sejak berada di bangku persekolahan lagi. Cuma, rasanya ketika itu minat biasa-biasa saja dan tak terfikir untuk menjadikannya sebagai kerjaya.

“Peluang buat saya semakin terbuka selepas membantu rakan. Tetapi, saya tidak ramai kawan sebenarnya,” katanya yang banyak menghabiskan masa bersama keluarga. Prinsipnya biar kurang kawan, asalkan keluarga tidak terabai.

Tentang persaingan dalam kalangan pelakon baharu pula, Ardell tetap yakin dan percaya pada rezeki ditentukan Tuhan.

“Kalau cakap mengenai persaingan, memang saya tidak nafikan ia terlalu ramai. Sebab saya percaya, kalau memang rezeki kita ada, Tuhan akan berikan juga.

“Sebab itu, saya tidak mahu terlalu memilih dan sedia maklum bahawa orang baharu wajar mengambil segala peluang yang datang tanpa prejudis.

“Masa itu, saya tak boleh memilih, saya kena ambil dan lakukan. Saya jenis yang kalau dapat sesuatu peluang, saya tidak akan mensia-siakannya. Saya akan lakukan yang terbaik kerana saya tahu dengan cara itu sahaja saya dapat membuktikan kepada semua,” katanya.

Demi kasih ibu

Perjalanan tiga tahun dalam bidang seni buat Ardell sangat sukar. Akuinya, usaha bukan sahaja dalam percubaan mendapat tawaran berlakon drama tetapi juga untuk iklan.

“Saya banyak berlakon iklan. Masa baru nak memasuki bidang ini, tiada siapa mahu melihat kita. Kita baharu tetapi saya berusaha.

“Saya buat semua ini sebab ibu. Saya mahu membantunya dalam menyara keluarga walaupun saya lambat mendapat restunya untuk membabitkan diri dalam industri.

“Dia selalu berpesan kepada saya untuk buat sehabis baik kerana sekarang dia sudah tidak bekerja. Harapan diletakkan kepada saya.

“Keluarga kami susah. Ibu pula ibu tunggal dan abang sulung saya ada masalah buah pinggang,” kata anak kelima daripada enam adik-beradik ini.

Melihat kesusahan hidupnya tanpa kasih seorang bapa sejak berusia dua tahun, Ardell memberitahu, ibunya, Sambian Abdullah, 66, kini berbangga dengan pencapaiannya yang sudah berlakon dalam beberapa siri drama popular seperti Baby Ana Milik Siapa, Asam Pedas Untuk Dia dan Jiwa.

“Ibu antara orang yang tidak pernah ketinggalan untuk menonton drama saya. Dia bersyukur kerana saya masih ingat pesanan untuk menjaga sikap apabila sudah diberikan lampu hijau dalam lakonan.

“Kalau boleh, ibu selalu berkata tidak mahu ada benda yang bukan-bukan berlaku kepada saya. Jangan sesekali lupa pesannya. Itu sahaja,” kata Ardell.

Turut membuka perniagaan menjual beg tangan di sebuah pasar malam, Ardell berkata, itu merupakan sebahagian usahanya untuk membantu ibu.

“Kedai itu sudah saya buka sejak tiga tahun yang lalu dan dijaga oleh adik lelakinya.

“Perniagaan bertambah baik dan sekarang dengar cerita pasar malam itu akan tutup. Jadi selepas Aidilfitri ini, saya akan mencari tapak baharu untuk berniaga,” tambahnya lagi.