Mengimbas kembali kenangan tersebut, Fazley, 39, berkata, kerja sampingan yang dibuat ketika dia sedang menuntut di New Zealand itu telah memberi peluang kepadanya mempelajari teknik masakan makanan tradisional India.

“Mungkin ramai yang tidak tahu, asas masakan saya ialah hidangan tradisional India. Ini kerana saya pernah bekerja sebagai pencuci tandas di restoran masakan India di New Zealand.

“Ketika itu saya berusia 18 tahun dan sedang melanjutkan pelajaran di sana. Bagi mendapatkan duit poket, saya bekerja sebagai pencuci. Pada mulanya saya ditugaskan mencuci tandas, kemudian dinaikkan pangkat mencuci pinggan pula.

“Dari situ, saya didedahkan dengan teknik masakan India sehingga saya diberi kepercayaan untuk bekerja sebagai penebar roti canai. Sehingga kini saya masih pandai menebar roti canai dan memasak kari cara India,” jelasnya.

Tambah Fazley, ketika bekerja sebagai pencuci, dia menerima upah sebanyak USD$10 sejam dan perlu bekerja selama lapan jam sehari.

Menurutnya, kesukaran mendapatkan pekerjaan sampingan membuatkan dia tiada pilihan dan sanggup menerima tugas sebagai pencuci tandas.

“Apabila habis kelas, saya terus masuk bekerja selama lapan jam di restoran tersebut. Walaupun pendapatan tidak banyak tapi dapat juga menambah duit belanja.

“Disebabkan tidak banyak pilihan kerja sampingan, saya tidak kisah diberikan tugas sebagai pencuci tandas. Kerana tugas tersebutlah saya pandai memasak masakan India,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE.