Tuntutan sebagai isteri dan ibu kepada dua orang cahaya mata perempuan membuatkan Cheryl perlahan-lahan menghilangkan diri dari radar seni demi memastikan keluarganya mendapat sepenuh tumpuan.

Enggan lagi berlama-lama mengusung rindu tersebut, wanita berusia 38 tahun itu kini kembali beraksi dalam sebuah drama bersiri The Bridge yang hanya memerlukan komitmen selama tujuh hari bagi menjayakan penggambaran.

“Saya percaya 2018 adalah angka yang sesuai untuk saya memecahkan tembok kerinduan yang sudah lama terbuku ini. Anak-anak pun semakin besar jadi saya rasa lega untuk tinggalkan mereka.

“Saya mendapat tawaran ini daripada penerbit menerusi kiriman WhatsApp beberapa bulan lalu lantas bertanyakan kepada suami.

“Syukur suami tanpa banyak soalan memberikan ‘lampu hijau’.

“Kebetulan saya pernah menonton drama bersiri ini dalam versi Amerika Syarikat dan plot penceritaannya juga sangat menarik hingga membuatkan saya akan rasa ralat jika menolak.

“Drama ini mempunyai 10 episod dan tempoh penggambaran untuk saya hanya tujuh hari juga menjadi sebab saya terima lakonan ini. Saya tak perlu tinggalkan anak-anak dalam waktu yang lama,” ujarnya yang kali terakhir masuk ke set penggambaran pada 2008 bagi menjayakan drama bersiri Ghost.

Tambah Cheryl, dia juga teruja apabila berpeluang menimba ilmu lakonan hasil kerjasama dengan produksi The Bridge yang diarahkan oleh pengarah Lee Thean-Jeen.

“Saya memang menantikan naskhah yang hebat seperti ini dan sebagai bonus, saya turut berlakon bawah arahan sutradara dari Singapura.

“Selain barisan pelakon hebat seperti Bront Palarae, Rebecca Lim dan Tony Eusoff, saya yakin drama ini akan menjadi lebih menarik standing versi Amerika Syarikat,” ulasnya yang memegang watak sebagai isteri Bront.

Drama bersiri The Bridge itu akan ditayangkan di ntv7 dan saluran Viu pada 26 November ini.

Mengacara? Ada syaratnya

Wanita bertubuh genit ini juga sempat meluahkan rasa rindunya terhadap dunia pengacaraan yang begitu sinonim dengan dirinya.

Siapa yang berani menidakkan bakat pengacara yang pernah digelar ‘bertih jagung’ dek celotehnya yang sentiasa berinformasi hingga diberi kepercayaan mengendalikan program Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Ketika itu Cheryl bersama-sama rakan regunya, Faizal Ismail diibaratkan sebagai pasangan pengacara paling serasi setiap kali dipertanggungjawab untuk mengacarakan program hiburan.

Biarpun kini dia tidak kelihatan di kaca televisyen sebagai pengacara, isteri kepada penerbit dan pengarah Ng Ping Ho ini tetap menerima tawaran yang memerlukan khidmatnya selaku pengacara pada majlis-majlis korporat.

“Ya, saya sentiasa mengikuti perkembangan dunia pengacaraan yang saya lihat semakin banyak melahirkan ramai muka baharu.

“Sejujurnya saya tidak pernah lihat diri saya sebagai pelakon. Namun sudah ditakdirkan saya kembali ke dunia seni ini atas tiket tawaran lakonan yang hadir terlebih dahulu.

“Mengacara membolehkan saya menjadi diri sendiri. Itu yang membezakan lakonan dengan pengacaraan. Kalau ditanya teringin nak mengacarakan AJL, sudah tentu, ya!

“Tetapi saya hanya nak bekerja dengan Faizal kerana selain berkawan baik, kami memang serasi untuk bergandingan,” ungkapnya yang turut memuji gaya pengacaraan Sherry Alhadad yang menepati ciri-ciri pengacara yang bagus.

Sementara itu, Cheryl turut berpendapat setiap pengacara harus tahu sejauh mana kemampuan mereka untuk mengendalikan program yang diamanahkan, sekali gus tidak perlu meleret-leret dalam tutur kata.

“Setiap pengacara ada pendekatan berbeza, begitu juga saya. Yang penonton lihat itu adalah sisi sebenar saya tanpa perlu berubah nak menjadi orang lain.

“Saya akui ada yang labelkan Cheryl Samad seorang yang membosankan, tetapi saya tidak boleh membohongi diri. Saya bukan dilahirkan sebagai seorang pelawak,” jelas ibu kepada Stella, 5, dan Kate, 2, ini lagi.