Kamal bagaimanapun menjelaskan, dia tidak mengalami sebarang kecederaan, cuma masih terkejut dengan insiden berkenaan kerana hentaman tersebut agak kuat sehingga meremukkan kereta miliknya.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dan tiba-tiba ternampak tayar berserta sport rim yang tercabut daripada lori berada di atas lebuh raya.

“Memandangkan kejadian itu amat pantas, saya gagal mengelak lantas melanggar roda tersebut menyebabkan berlakunya satu hentaman kuat di bahagian hadapan kereta.

“Syukurlah keadaan lalu lintas ketika itu tidak begitu sibuk. Jika tidak, lebih buruk jadinya. Setelah membuat laporan polis, difahamkan terdapat juga kereta-kereta lain yang mengalami kejadian sama,” katanya.

Kamal berkata demikian ketika ditemui dalam majlis ramah mesra bersama-sama peminat anjuran AJ De Parfum yang diadakan di Subang Impian, di sini pada Ahad lalu.

Mengulas lanjut tentang pembabitannya dengan syarikat pengeluar produk wangian itu, Kamal memberitahu dia akan mengeluarkan minyak wangi jenamanya dalam masa terdekat.

“Mungkin pada awal tahun hadapan saya akan keluarkan minyak wangi dengan kerjasama AJ De Parfum. Disebabkan saya seorang yang aktif dan cepat berpeluh, saya bercadang ingin mengeluarkan bauan yang boleh bertahan lama.

“Jika boleh, apabila cecair wangian itu bercampur dengan peluh tubuh seseorang, diharap boleh menghasilkan aroma yang lebih segar dan menyenangkan.

“Maklumlah, bau peluh membuatkan orang di sekeliling kita berasa tidak selesa,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE