Menemui penonton sejak 10 Disember lalu, filem arahan Hashim terbitan Metrowealth Pictures (MIG) ini masih mengekalkan genre seram komedi.

Namun berbanding dua filem terdahulu, Hashim meletakkan penegasan bahawa filem ini tidak sama dengan garapan filem terdahulu.

Meski menjual elemen komedi, menurut pengarah ini, dia masih mahu penonton mencari mesej yang diselitkan dalam persembahan filem ini yang memiliki elemen persahabatan, penyatuan dan sedikit menyentuh sudut sosial masyarakat.

“Tidak cuma untuk bergelak ketawa meski saya garap filem ini dalam suasana yang santai agar mudah difahami oleh penonton. Sebenarnya filem ini menyentuh mengenai sikap segelintir masyarakat kita yang percaya kepada perkara tahyul dan seumpamanya.

“Ini boleh dilihat menerusi paparan penduduk di sebuah kampung yang bertukar menjadi huru-hara selepas mereka dihantui oleh misteri keranda terbang Tok Wan,”katanya.

Tidak cuma itu, kata Hashim, filem ini juga antara yang terbaik yang pernah dihasilkannya.

Selain mengenengahkan jalan cerita, filem ini juga dibarisi oleh pelakon yang menjanjikan mutu lakonan terbaik.

“Saya sediakan barisan pelakon yang ramai dalam filem ini dan ini adalah antara perbezaan yang dapat dilihat berbanding filem sebelum ini.

“Sengaja saya buat begitu kerana saya mahu memaparkan penglibatan penduduk kampung dalam skop yang lebih besar dan tidak cuma bertumpu pada beberapa watak sahaja.

“Senang bekerjasama dengan para pelakon ini kerana mereka pernah terlibat dalam karya genre yang sama. Ini memudahkan saya untuk mengarah kerana mereka faham yang saya mahukan,” katanya.

Selain itu, kata Hashim, dia juga tidak menyekat penggunaan dialog secara spontan oleh para pelakon demi memastikan mereka tidak terlalu terikat dengan skrip dan lakonan juga tampak lebih bersahaja dan semula jadi.

Bagaimanapun demi menjaga kualiti filem, sebarang aksi lawak jenaka juga tidak 'dilepaskan’ begitu sahaja dan Hashim masih mengutamakan aspek perbincangan terlebih dahulu dengan barisan pelakon.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengapa dia agak selektif dalam membuat pemilihan pelakon untuk filem bernilai RM1 juta ini, kata Hashim, itu dilakukan demi kepentingan kualiti komedi yang ingin dipersembahkan kepada penonton selain mahu menjadikan filem ini lebih dekat dengan khalayak.

“Ramai pelakon komedi yang sedia ada tetapi saya perlu memilih mereka yang paling sesuai untuk watak ini. Bukanlah mahu menjual filem ini kerana pelakonnya tetapi kami percaya andai kedua-dua aspek iaitu pelakon dan jalan cerita wujud, naskhah itu akan jadi lebih kuat dan berjaya,” katanya.

Keranda Tok Wan Terbang menampilkan Syuk SYJ, Yassin SYJ dan Rahim R2 sebagai teraju utama selain Epy Kodiang, Shima Anuar, Zakaria Zahid, Anam Azizani dan Fahmy Reza.

Mengisahkan tentang adik-beradik Hasan (Syuk) dan Husin (Yassin) yang kembali ke kampung setelah diberhentikan kerja oleh majikan mereka.

Ketika tiba di kampung, mereka dikejutkan dengan berita kematian Tok Wan Terbang (Rahim R2) seorang penggali kubur di kampung tersebut. Berita kematian Tok Wan disampaikan oleh Anam, salah seorang penduduk kampung yang kuat melatah.

Namun berita berkenaan tidak benar kerana yang meninggal ialah Mak Betong yang merupakan seorang bomoh dan menyimpan saka.

Epy adalah orang yang bertanggungjawab menjadi saksi kepada kematian Mak Betong namun disebabkan Anam maka riuh sekampung mengatakan Tok Wan Terbang telah tiada sedangkan kelibat Tok Wan Terbang masih berkeliaran di kampung tersebut sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Sinopsis