Vokalis kumpulan tersebut, Ayie Elham, 22, memberitahu, keputusan itu merupakan kata sepakat yang dicapai sebulat suara oleh kesemua ahli Floor 88 yang turut disertai oleh Zai Hamzah (gitar utama), Amir (gitar kedua), Akram (drum), Eric Fuzi (keyboard) dan Falique (bass).

“Sebenarnya, Aqilah adalah tajuk single kedua Floor 88 yang merupakan sekuel kepada penceritaan lirik Zalikha. Secara ringkasnya, komposer dan penulis lirik iaitu Ahchoy menjelaskan kepada kami bahawa Aqilah digambarkan sebagai adik tiri kepada Zalikha.

“Sejak Zalikha dilancarkan setahun lalu, Alhamdulillah penangan lagu ini berjaya membuatkan kami dikenali. Klip videonya pun sudah ditonton hampir 30 juta kali oleh pelayar laman YouTube,” katanya kepada Utusan Online.

Mengulas lanjut, Floor 88 akan mempromosikan habis-habisan single Aqilah dan mengetepikan lagu Zalikha buat sementara waktu.

“Sudah tiba masanya kami mempertaruhkan lagu kedua kami ini. Tak nak nanti kami dilabel kumpulan one hit wonder sahaja. Kami bersyukur, sekarang ini klip video Aqilah telah ditonton sebanyak 11 juta kali.

“Tambahan pula, sekarang ini pendatang baharu silih berganti. Kena ada percaturan terbaik untuk terus bertahan dan kekal relevan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Ayie berkata, kumpulannya masih mahu mengekalkan rentak pop rock yang diketengahkan meskipun ada permintaan daripada peminat mereka agar mencuba lagu balada.

Pun begitu, tidak mustahil suatu hari nanti Floor 88 akan membuat kelainan dengan menunaikan permintaan peminat mereka jika tiba masa yang sesuai. - UTUSAN ONLINE