Hakim Syarie Mohd. Nizar Mohtar memerintahkan demikian selepas Armin, 53, enggan melafazkan cerai terhadap Ziana Zain atau nama sebenarya Siti Roziana Zin, 50, secara baik dan bersyarat berhubung pertemuan dengan anak.

“Berdasarkan perkara tersebut, sebuah Jawatankuasa Pendamai ditubuhkan selaras mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

“Shahrul Anuar Zain akan mewakili Ziana sementara Azizi Mohd. Yaakob akan mewakili Armin dalam jawatankuasa tersebut,” katanya Mohd. Nizar.

Dalam prosiding tersebut, Armin menjelaskan boleh melafazkan talak namun meminta persetujuan bersama kerana belum berjumpa dengan keempat-empat anaknya sejak 2 Mac lagi.

Bagaimanpun, Ziana menegaskan beliau mendapat arahan polis dan peguam bahawa empat anaknya itu adalah saksi dan tidak boleh berjumpa dengan Armin.

“Saya hanya mengikut kata polis walaupun tidak memfailkan lagi penjagaan anak-anak,” kata Ziana.

Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah selepas Armin enggan melafazkan cerai terhadap penyanyi tersebut.

Kemelut rumah tangga pasangan itu terbongkar apabila Armin didakwa kerana memukul salah seorang anaknya sehingga luka dan lebam dengan alasan untuk mengajar mengaji serta solat. 

Laporan polis mengenainya dilakukan sendiri Ziana di Balai Polis Bukit Jelutong dekat sini pada 27 Februari lalu sebelum suaminya itu ditahan pada 2 Mac lalu.- UTUSAN ONLINE