Pun begitu, menyusuri usai berlangsungnya Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), rata-rata ramai berpuas hati dengan pelbagai aspek yang dipersembah.

Sama ada barisan penyanyi, senarai lagu, fesyen, pengacara, audio mahupun visual, tidak keterlaluan sekiranya Mega HITS menyifatkan elemen itu hampir sempurna dalam menjadikan AJL32 sebagai sebuah acara muzik paling epik yang pernah dianjurkan.

Malah penilaian jemaah juri yang diketuai komposer tersohor, Azmeer atau Mohd. Azhar Abu Bakar terhadap keputusan keseluruhan yang diumumkan juga mendapat maklum balas positif peminat di laman-laman sosial menerusi tanda pagar #AJL32.

Azmeer yang ditemui ketika sidang akhbar menjelaskan, terdapat sekurang-kurangnya lapan buah lagu menjadi perdebatan dalam kalangan juri untuk diangkat sebagai yang terbaik dek kekuatan melodi dan lirik yang dinukilkan pencipta lagu.

“Sejujurnya, ini adalah persaingan paling sengit yang pernah saya saksikan dan adili. Kami sebagai juri terpaksa berdebat untuk memilih lagu yang wajar untuk berada di kedudukan tiga teratas.

“Proses penjurian ambil masa agak lama untuk menentukan finalis yang layak diberi kemenangan. Memang kedengaran seperti klise tetapi itulah hakikatnya.

“Ini kerana secara logiknya, tatkala 12 lagu tersebut dipilih untuk ke AJL32 daripada 30 buah karya yang bertanding pada peringkat separuh akhir, setiap juri sudah dapat bayangan juara.

“Tambah menyukarkan, kebanyakan penyanyi menyampaikan lagu dengan begitu baik pada malam ini tidak kira dari segi vokal mahupun konsep persembahan, sekali gus membuatkan kami terpaksa menilai semula pemarkahan yang telah diberi dan akhirnya, tiga lagu itulah yang benar-benar layak diiktiraf,” katanya.

Dimensi muzik baharu

Mengulas kemenangan lagu Jampi nyanyian Hael Husaini atau Hal Husaini Ramzi, 31, komposer tersebut melihat karya ciptaan Ezra Kong dan Hael itu ada keindahan tersendiri yang cuba disampaikan.

Selain berjaya menakluki halwa telinga peminat sehingga menjadi siulan hangat daripada kanak-kanak hingga orang dewasa, sifat liriknya cukup puitis.

Lagu itu mendatangkan impak kepada masyarakat. Bahasa liriknya mudah, sedap didengar.

“Selaku individu awal yang menyaksikan kemunculan Hael dalam industri muzik tempatan sewaktu dia menyertai program realiti Mentor musim ketiga, dia menunjukkan kebangkitan yang amat memberangsangkan.

“Ya, dia belum lagi mempunyai kualiti vokal yang memukau tetapi ada peningkatan yang tidak boleh dinafikan. Sangat bagus.

“Tambahan pula, penciptaan lagu berkenaan mewujudkan satu dimensi muzik baharu kepada industri. Susunan melodi yang dihasilkan sesuai, bahkan penyampaiannya juga begitu baik.

“Sebagai seorang komposer dan menyanyikan sendiri karyanya, dia tahu selok-belok untuk menyerlahkan komposisi yang telah dilakukannya,” komen Azmeer.

Sementara itu, lagu Sejati nyanyian Azmi Saat (Caliph Buskers) menduduki tangga kedua, manakala karya Tergantung Sepi yang dinyanyikan Haqiem Rusli mendapat tempat ketiga. - Gambar NASIR YAZID & 
FAISOL MUSTAFA

Syamel, Ernie ulang sejarah AJL22

Dalam pada itu, kemenangan Syamel dan Ernie Zakri merampas trofi Vokal Terbaik AJL32 daripada genggaman hatrik tiga tahun berturut-turut oleh Dayang Nurfaizah adalah satu momen paling menggembirakan pasangan duo tersebut.

Menerusi lagu Aku Cinta yang dicipta oleh Syamel, mereka sekali gus mengingatkan kembali kejayaan duet Lah Ahmad dan Jaclyn Victor yang menyampaikan lagu Ceritera Cinta ketika berlangsungnya AJL22 sedekad lalu.

Juara Bintang RTM 2009, Ernie memberitahu, dia dan Syamel tidak mahu terlalu berharap untuk menduduki tangga tiga teratas AJL32 dalam merebut gelaran lagu terbaik memandangkan setiap karya yang mara cukup kuat.

“Akan tetapi kami sedar akan keupayaan untuk bersaing dalam kategori vokal. Sebab itulah kami fokus terhadap lontaran suara supaya kedengaran lebih menyerlah.

“Berdasarkan komposisi lagu yang dibuat oleh Syamel, saya cuba gunakan pengalaman sebagai seorang guru vokal untuk mengenal pasti bahagian paling kuat untuk ditonjolkan.

“Alhamdulillah, aturan yang telah dirancang Allah jadikannya satu realiti apabila berjaya merangkul trofi ini,” katanya.

Sementara itu, Syamel pula mengakui, dia masih tidak percaya dengan kemenangan tersebut sementelah ketika raptai dilakukan, kemampuan vokal Dayang dan Salma Asis amat menggerunkannya.

“Sebenarnya, saya ada satu tabiat jika masuk sesuatu pertandingan, saya cuba hindarkan daripada menyaksikan persembahan peserta lain bagi mengelakkan rasa gugup.

“Malangnya pada raptai akhir, saya secara tidak sengaja terdengar nyanyian Kak Dayang dan Kak Salma. Hal itu membuatkan saya rasa lebih gementar.

“Pun begitu, saya bersyukur ada Ernie di sisi yang sentiasa memberi dorongan. Pengalamannya sebagai seorang guru vokal dipraktikkan sepenuhnya bagi menempuhi cabaran AJL32,” katanya.

Tambah Syamel, dia tidak keberatan untuk meneruskan kolaborasi dengan Ernie untuk single duet seterusnya setelah penyatuan julung kali antara mereka membuahkan hasil.

“Jika Ernie sudi, saya seribu kali sudi,” selorohnya.

Hadiah persaraan terawal Altimet

Mampu menggamatkan seisi dewan riuh dengan persembahan rancak dan energetik menerusi lagu Amboi, penyanyi rap Altimet yang memenangi kategori Persembahan Terbaik tetap mengukuhkan pendiriannya untuk bersara daripada lapangan seni suara.

Bercakap dalam sidang akhbar, bekas anggota kumpulan Teh Tarik Crew itu bakal membulatkan tekadnya pada tanggal 27 November ini bersempena sambutan ulang tahunnya yang ke-40.

“Trofi ini adalah petanda daripada Allah kepada saya untuk meneruskan niat bersara sebagai seorang penyanyi. Apa lagi yang saya mahukan setelah hampir semua dihajati telah dimakbulkan-Nya?

“Jadi, saya anggap kemenangan ini sebagai hadiah persaraan terawal yang diterima menjelang tarikh tersebut,” katanya.

Sebelum ini, pada penghujung tahun lalu, Altimet telah mengumumkan tentang hal persaraannya yang direncanakan kira-kira 10 tahun lalu iaitu pada 2008.

Bagaimanapun titik noktah tersebut hanya diletakkan terhadap karier nyanyiannya sahaja bukan dalam penciptaan lagu.

“Saya akan terus berkarya. Namun sebelum bersara, saya pernah kata mahu tinggalkan impak dalam karier nyanyian sebagai seorang penyanyi rap.

“Inilah hasilnya. Empat kali beraksi di pentas AJL adalah satu pencapaian yang amat membanggakan. Belum ada lagi penyanyi rap lain yang dapat peluang sebegini,” tambahnya.

Justeru, Altimet berterima kasih kepada semua pihak yang mempercayai bakatnya. Pada masa yang sama, dia juga enggan menyalahkan sesiapa yang pernah mengecam perjuangan seninya.