Tanpa berselindung, Ashraf menjelaskan dia baru sahaja menjalani pembedahan kecil di telinga sebelah kirinya untuk membuang seroma (cecair putih di telinga) petang semalam.

“Alang-alang tiada sesi penggambaran, saya ambil peluang itu untuk membuang cecair di telinga kiri. Tiada apa-apa yang serius pun tetapi jika dibiarkan, boleh memberi kesan kepada pendengaran.

“Mungkin telinga ‘trauma’ dengan cara tidur yang salah atau tekanan padanya menyebabkan cecair itu boleh terhasil. Empat hingga lima hari nanti elok lah. Cuma berjahit sedikit sahaja,” katanya kepada pemberita di sini.

Ashraf bakal memegang watak sebagai Tun Ali bergandingan bersama Maya Karin (Tun Fatimah) dan Remy Ishak (Sultan) dalam teater tersebut yang bakal dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka pada 20 dan 21 Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, Ashraf juga berkata, dia bakal terlibat dalam filem, XXRay 3 sebagai pelakon dan juga pembantu pengurusan bersama pengarah, Aziz M. Osman.

Filem yang bakal memulakan sesi penggambaran itu menampilkan Izzue Islam sebagai teraju utama.- UTUSAN ONLINE