Memfokus gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa yang dijadikan pokok penceritaan, Nam Ron atau Shahili Abdan menegaskan, tema tersebut dipilih bukan untuk mencemar nama baik sesiapa.

“Ya, memang dalam filem ini saya tonjolkan salah laku yang dilakukan oleh anggota polis. Akan tetapi kontroversi itu bukan dibuat untuk mencalarkan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bahkan, jika diperinci sebetul-betulnya maksud yang tersirat, One Two Jaga turut memaparkan betapa giat dan mencabarnya pasukan PDRM memerangi jenayah kolar putih ini.

“Jadi, mengapa filem yang mendukung mesej positif dan baik perlu diboikot, sekali gus menerima nasib seperti ini?” soalnya.

Katanya lagi, mereka yang tergolong dalam kelompok memboikot filemnya adalah golongan yang tidak jujur dengan kerjaya sendiri.

“Pendek kata, siapa makan cili, dia yang akan terasa pedas,” sindirnya.

Nam Ron juga menjelaskan, sebelum penggambaran filem terbitan Pixel Play Entertainment itu dibuat pada awal tahun ini, pihaknya telah mendapat sokongan PDRM termasuklah kelulusan skrip.

“Saya yakin dan percaya, jika hati bersih serta jujur melakukan kerja, karya ini tidak akan mencetuskan sebarang polemik atau kontroversi,” tegasnya.

Sementara itu, Nam Ron turut mengakui dia sengaja mencetuskan gimik untuk menarik perhatian warganet terhadap kewujudan filem tersebut di pawagam.

“Sebenarnya ramai tidak tahu filem ini sudah ditayangkan. Sebab itu saya cetuskan sedikit gimik kononnya mahu menghasilkan filem porno.

“Dengan cara ini, barulah mampu menarik perhatian mereka tatkala dijadikan bahan berita oleh media-media tempatan,” akuinya jujur.

Takut kena bogel – Zahiril Adzim

Dalam pada itu, teraju utama filem One Two Jaga, Zahiril Adzim, 34, turut mempertahan kredibiliti jalan cerita filem lakonannya dari sudut relevan dan rasional.

Zahiril atau Mohd. Zahiril Adzim Mohd. Mokhtar berkata, segala-gala yang dipaparkan menerusi naskhah tersebut adalah berpandukan garis panduan PDRM, bukannya dibuat sesuka hati.

“Sama ada babak atau dialog yang diketengahkan adalah mengikut syarat digariskan oleh PDRM termasuklah watak lakonan saya, seorang anggota polis bernama Hussein.

“Saya menjiwai watak berkenaan menerusi pemerhatian terhadap cara mereka termasuklah gaya percakapan dan sudah semestinya tidak boleh berlebih-lebihan.

“Misalnya, sewaktu menahan orang awam, selaku anggota polis saya perlu menunjukkan kad kuasa terlebih dahulu.

“Bukan itu sahaja, bapa mentua saya sendiri juga adalah seorang anggota polis. Mana mungkin filem ini cuba memburukkan imej pasukan keselamatan negara yang banyak berjasa kepada nusa dan bangsa,” katanya.

Tegas Zahiril, golongan yang mengecam kewujudan One Two Jaga adalah disebabkan mereka takut dibogelkan dek salah laku sendiri.

“Mereka takut kesalahan melakukan korupsi yang sering diamalkan didedahkan kepada umum. Itu sahaja yang menjadi punca utama. Takut kena bogel,” katanya dalam nada sinis.

Selain Zahiril, filem pertama yang menyaksikan pelakon handalan, Bront Palarae selaku penerbit itu turut membariskan Amerul Affendi, Rosdeen Suboh, Chew Kin Wah dan Iedil Putra. 

Di samping itu, dua bintang dari Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail serta aktor remaja popular Filipina, Timothy Castillo turut membintangi filem yang diadaptasi daripada novel berjudul sama hasil nukilan Sahidzan Salleh itu.

Terdahulu, One Two Jaga pernah menerima pencalonan menerusi tiga majlis penganugerahan di luar negara iaitu di Amerika Syarikat, China dan Poland untuk merebut trofi bagi kategori Filem Terbaik Asia.