LEGA selepas menunaikan impian Allahyarham Seri Bayu.

PENGALAMAN berguru dengan komposer Allahyarham Seri Bayu lima tahun lalu tidak pernah disia-siakan. Biarpun hanya sempat menimba ilmu muzik separuh jalan, pendatang baru, Omey Yana kini bangkit hasil tunjuk ajar sifunya itu.

Menurut Yana, ketika hayat Seri Bayu, dia sempat merakamkan sebuah lagu sebagai permulaan untuk mengetengahkan bakat di industri muzik tempatan.

Namun, mungkin bukan rezekinya ketika itu kerana selepas kematian komposer terbabit, lagu yang sudah disiapkan itu terhenti begitu sahaja.

Pemilik nama penuh Nur Liyana Hassan ini bagaimanapun tidak hanya diam membisu. Dia berusaha gigih untuk memastikan minatnya dalam dunia nyanyian mendapat perhatian.

Pertemuan dengan Rexx iaitu penulis lirik yang pernah bekerja dengan Sri Bayu pada tahun lalu membuahkan hasil apabila Yana ditawarkan untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Madratts Production.

“Memang pada awalnya rasa terkilan pun ada bila semangat nak mempromosikan single bersama arwah komposer Seri Bayu tidak kesampaian. Tapi perjuangan tetap diteruskan.

“Banyak yang arwah Seri Bayu ajar saya ketika hayatnya. Saya diberi ilmu cara penulisan lagu dengan tepat, menguasai teknik vokal dan banyak lagi yang berkaitan dengan muzik.

“Mungkin rezeki saya, pada tahun lalu bila berjumpa semula dengan Rexx dan kami pun berbincang untuk menghasilkan single pertama saya,” ujar anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Menyentuh mengenai single terbaharu bersama Madratts Production, Yana berkata, dia sudah siap merakam single pertama iaitu Angkara Kau dan Percintaan serta single kedua berjudul Mencuba.

“Kedua-dua lagu ini siap sepenuhnya pada bulan Mei lalu dan sudah boleh dimuat-naik menerusi aplikasi iTunes, Spotify. Malah pihak Madratts pun ada keluarkan lagu ini dalam bentuk cakera padat (CD) terhad kepada 50 keping sahaja yang boleh diperoleh melalui pihak mereka sahaja.

“Konsep lagu ini seperti mengembalikan zaman era 90-an. Sebagai permulaan saya cuba bawakan lagu dengan genre pop kreatif.

“Alhamdullilah, lagu Angkara Kau dan Percintaan yang mengisahkan tentang kekecewaan wanita terhadap cinta ini mendapat maklum balas yang memberangsangkan oleh pendengar sejak ia dimainkan di radio.

“Malah, untuk lagu Mencuba ini pun sebenarnya merupakan kesinambungan pada single pertama itu. Sokongan yang tak pernah putus dari pendengar serta pihak syarikat rakaman buatkan saya rasa nak buat yang lagi baik,” ujarnya yang bekerja sebagai perunding kewangan.

Meskipun mempunyai kerja tetap, Yana, 26, bagaimanapun tidak mahu melepaskan pekerjaannya itu semata-mata dunia nyanyian andai karier seni semakin rancak.

“Saya kalau boleh memang tak nak lepaskan kerja sekarang ini. Syukur kepada Allah, saya mengikat kontrak dengan Madratts untuk lima tahun dan mereka faham dengan tuntutan kerja saya di sebelah siang.

“Mereka akan pastikan jadual seni saya tidak bertindan dengan kerja. Begitu jugalah dengan jemputan ke acara persembahan,” tuturnya yang dalam rangka untuk masuk studio semula untuk merakamkan single ketiga berjudul Maafkan Aku.

Ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan ‘Omey’, lantas dia menjawab, gelaran itu adalah nama timangan sewaktu kecil iaitu comel.

“Ya, saya sengaja letakkan perkataan Omey di hadapan nama supaya mudah diingati. Ditambah lagi nama panggilan itu ada makna di hati saya. Keluarga adalah orang penting dalam memberi perangsang untuk saya aktif sebagai penyanyi. Sejak dari zaman sekolah lagi saya banyak masuk aktiviti dan pertandingan yang melibatkan nyanyian,” katanya.

Oleh NURFARHANA MOHAMED

[email protected]

Gambar JEFFRI IRAN