Berkesempatan bertemu dengan dua jejaka, Hafiz Halim, 28, dan Hafeez Mikail, 24, mereka berdua berkongsi pandangan bersama Hits untuk mengimbas kembali perjalanan seni masing-masing ketika mula-mula bertapak sebagai pelakon.

Bagi Hafiz, mungkin jalan yang diperolehnya nampak mudah setelah diangkat selaku naib juara Anak Wayang terbitan Astro suatu masa dahulu. Namun hakikatnya, anak muda kelahiran Kajang, Selangor itu sebelum menyertai program realiti berkenaan, dia menempuhi jalan sukar untuk mendapatkan watak dalam sesebuah produksi.

Hafeez pula yang merupakan bekas jaguh di gelanggang seni mempertahankan diri menceritakan, pengalaman menempuhi ranjau anak seni banyak membantu dalam mendewasakannya. Meninggalkan kerja di awan biru sebagai pramugara yang menjanjikan pendapatan lumayan untuk mengejar cita-cita sebagai pelakon sedikit pun tidak pernah disesalinya.

Menjayakan sesi fotografi bersama Hits, kedua-dua anak muda yang nama mereka hampir sama itu ada cerita untuk diluahkan sebelum akhirnya bangga dengan pencapaian peribadi masing-masing walaupun belum lagi berpeluang menggenggam trofi.

Percaya rezeki lepas kahwin

Bagi Hafeez pula, peranan yang dibawa dalam siri Kerana Terpaksa Aku Relakan sebagai Safuan membuka laluan luas buatnya dikenali sebagai salah seorang pelakon baharu berbakat besar.

Apatah lagi, diberi peranan utama dalam telefilem Sayang Suria di TV3 tidak lama menjiwai watak pemuda yang bermain emosi menambahkan lagi popularitinya apabila drama itu mendapat rating tontonan tinggi.

“Watak tersebut memaksa saya banyak mengalirkan air mata dek menanggung kesengsaraan hidup. Begitu mencabar sehingga perlu mengambil masa bagi mendapatkan mood yang tepat sebelum melakonkan watak atau melontarkan dialog.

“Alhamdulillah, atas bantuan pengarah, Jamal Khan dan barisan pelakon lain termasuk pasangan heroin ketika itu, Janna Nick, saya menerima maklum balas yang sangat baik. Itu merupakan pencapaian terbaik bagi diri saya,” ujarnya bercerita tentang kebanggaan peribadi yang dicapai sebagai pelakon.

Masih terlalu baharu bertapak dalam industri, Hafeez tidak menafikan setiap individu yang mahu menjadi artis perlu bijak bermain politik. Ia bermaksud, selain menjaga reputasi dengan tahap disiplin yang tinggi, kemahiran komunikasi yang tinggi juga penting.

“Bijak berkomunikasi bukan bererti kaki kipas, tetapi cukup sekadar ringan mulut bertanya khabar atau mengambil berat supaya diri seseorang pelakon itu mudah didekati serta diingati. Kalau kuat sangat membodek, tak semua orang akan suka,” katanya yang tidak terkecuali berhadapan isu pilih kasih stesen televisyen.

Masih lagi bujang, Hafeez mengakui telah mempunyai teman wanita. Menjalin hubungan cinta jarak jauh disebabkan kekasih hatinya menyambung pengajian di Amerika Syarikat, jejaka itu optimis akan hal berkenaan.

Katanya, sikap saling percaya antara satu sama lain memainkan peranan penting memastikan hubungan yang dibina bertahan lama. Walaupun baru setahun jagung bercinta, Hafeez mahu memeterai perhubungan tersebut ke jenjang pelamin secepat mungkin.

“Saya tidak kisah untuk berkahwin awal kerana percaya terhadap rezeki Allah. Lagipun tidak elok keluar dengan anak dara orang tanpa ada hubungan sah. Orang-orang tua selalu pesan, pintu rezeki selepas berkahwin itu akan dibuka lebih luas dan saya tidak perlu risau sama ada diterima peminat atau tidak apabila bergelar suami orang,” tegas Hafeez menetapkan pendirian.

Hafeez menambah, dia bakal tampil dengan drama bersiri di TV1 sempena Ramadan akan datang serta sebuah telefilem untuk siaran Syawal kelak di TV3.

Kembali ‘jual diri’

Agak lama menyepi selepas memenangi tempat kedua program Anak Wayang pada 2009, Hafiz akui dia silap percaturan apabila gagal mempertahankan popularitinya setelah berhenti seketika menyambung pelajaran.

Tahun pertama bergelar pelakon sepenuh masa, Hafiz tidak menafikan banyak mendapat pendedahan media yang memberinya platform memperkenalkan diri kepada industri.

“Saya bersyukur, menerusi publisiti yang diberikan, tawaran tidak pernah putus. Ada sahaja peluang untuk membintangi drama bersiri mahupun telefilem. Cuma saya belum ada rezeki untuk terbabit dengan pembikinan filem.

“Bagaimanapun, disebabkan bertindak melulu tanpa bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman, saya membuat keputusan mengurangkan aktiviti lakonan untuk menyambung pelajaran yang terhenti seketika dek penglibatan dalam Anak Wayang.

“Kemudian selepas habis belajar, saya bekerja dalam pengurusan acara dan penulisan skrip. Seolah-olah tidak fokus dalam membuat satu-satu kerja

“Kini, sukar bagi saya untuk mendapat semula tempat dalam mana-mana produksi. Kadang-kadang penerbit dan pengarah dah okey, tetapi stesen televisyen pula tak luluskan kerana ada yang tidak mengenali saya,” jelasnya memberitahu masalah yang dihadapi. Karya tulisan Hafiz, Kusinero Cinta merupakan skrip yang pernah dihasilkannya.

Pun begitu, Hafiz tidak mengalah. Sebaliknya berusaha gigih menempatkan diri dalam kelompok pelakon baharu walaupun sebenarnya sudah lebih lima tahun dia bertapak.

Ujarnya, biarlah dia bermula semula dari bawah kerana sekurang-kurangnya pengalaman itu memberi semula kesegaran buatnya yang agak lama menyepi dari dunia lakonan.

Terkini, lakonannya boleh ditonton di Astro Maya menerusi siri Qanun 99 serta baru sahaja tamat penggambaran telefilem raya berjudul Tetamu Ramadan untuk siaran TV3.

Gambar FADZLI NORDIN

Pakaian EFLIE (IG: @elfie.clo)
Mekap OMAR KHLAIK (IG: @omarkhalik)

Lokasi HOTEL SUNWAY PUTRA KUALA LUMPUR