Primadona Erra Fazira, 44, juga tidak terkecuali daripada mengalami situasi tersebut. Entah berpuluh kali juga bintang filem Sembilu ini terjerumus dengan kecaman orang luar dek kontroversi menimpa namun wanita ini tetap berhati waja.

Seboleh-bolehnya, penyanyi lagu Yang Terindah Hanya Sementara ini enggan mengalah. Bantuan sokongan daripada keluarga dan rakan terdekat menjadi benteng kekuatan diri daripada terus rebah dan melayan tanggapan negatif yang tidak berkesudahan.

“Suku abad menjadi anak seni, macam-macam yang saya lalui. Namakan apa jua kontroversi, saya hadapi satu demi persatu. Itu adalah cabaran utama buat anak seni. Tak hidup dipuji, tak mati dikeji. Saya kuatkan hati, jadi positif dan menganggap apa yang terjadi sebagai proses mematangkan diri.

“Saya pernah mengalami kemurungan. Duduk berkurung di bilik selama seminggu. Langsung tidak mahu keluar rumah, tak nak buat apa-apa aktiviti. Badan pula terlalu lemah. Mental pula asyik terfikir dengan apa orang luar kata tentang saya. Ya, kemurungan itu memang menyakitkan.

“Tapi pada hari kelapan, saya paksa diri untuk bangkit juga. Saya memikirkan ada tanggungjawab yang belum selesai. Itu yang saya kuatkan semangat dan menyibukkan diri kerana itu satu-satunya cara dapat melupakan permasalahan yang ada,” kata Erra sambil tidak menyatakan secara terperinci kejadian tekanan yang dihadapi.

Jika dahulu, kerisauan golongan artis jika mendapat kritikan menerusi media masa, kini tidak lagi. Kebimbangan mereka kini lebih kepada pengguna Internet yang dilihat semakin berani menghujani kritikan menerusi media sosial.

Penggunaan ayat yang bersifat tajam hingga menusuk ke lubuk hati pada saat meluahkan rasa tidak puas hati kepada kontroversi membabitkan artis itu sendiri boleh menyebabkan mental golongan itu tergugat dan jiwa kacau selepas itu.

“Ambil sedikit masa untuk memperbaiki keadaan. Tapi jangan biarkan diri itu terlalu lama berdepan dengan isu yang sama. Carilah penyelesaian bagi merawat kesedihan itu,” ujarnya yang hanya meletakkan tempoh tiga hari untuk pulih seperti sedia kala jika berdepan dengan situasi tertekan.