Tidak mahu mengimbas kembali kegagalan rumah tangganya yang terdahulu bersama bekas isteri, Elly memberitahu dia mahu membina hidup baharu bersama wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Miss V itu.

Kunjungan Elly ke pejabat Utusan Malaysia minggu lalu Hits gunakan untuk bertanya mengenai sisi peribadinya kini dan ternyata penyanyi berusia 39 tahun itu tidak lokek untuk berkongsi cerita.

Menurutnya, perkenalan antara mereka berdua masih di peringkat awal. Belum merancang untuk ke fasa yang lebih serius kerana masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing, apatah lagi gadis tersebut merupakan seorang yang bukan Islam.

“Apapun, saya selesa dengannya, begitu juga dengan dia. Saya tidak begitu cerewet untuk memilih pasangan asalkan ada keserasian ketika bersama dan hormat satu sama lain. Itu sahaja.

“Jika ada jodoh antara kami berdua, maka jadilah kami pasangan suami isteri. Segalanya saya serahkan kepada takdir,” kata bapa kepada empat orang cahaya mata, Mohammad Hamly, 18, Mohammad Elby Danial, 17, Norhanania Mariah, 13, dan Mohammad Akid Hilmy, 3, hasil perkahwinan sebelum ini.

Tambah Elly atau nama sebenarnya Mohd. Suhaili Elas @ Elias itu, anak-anaknya tiada apa-apa masalah dengan teman wanitanya kini dan mereka menerima Miss V seadanya.

Katanya, layanan Miss V terhadap anak-anaknya baik tetapi tidak dinafikan wujud jurang antara mereka. Mungkin ia mengambil sedikit masa untuk hubungan mereka lebih rapat.

“Anak-anak terutama yang dah besar faham akan apa yang telah terjadi terhadap perkahwinan sebelum ini. Mereka pun tiada masalah untuk membahagikan masa sama ada untuk bersama saya mahupun emak mereka.

“Kadang-kadang di rumah saya dan kadang-kadang bersama emak mereka. Tiada istilah mereka di bawah jagaan sesiapa. Senang cerita, tiada masalah apa-apa,” katanya.

Khidmat LY, Baiduri

Memulakan karier nyanyian bersama AXL pada 1996, kumpulan itu kini dianggotai oleh Rizz (dram), Attar (gitar utama) dan Topek (gitar kedua) dan Elly sendiri sebagai vokalisnya.

Kali terakhir AXL tampil dengan produk seni mereka adalah pada 2011 menerusi sebuah album yang mempunyai satu lagu hit berjudul 100 Kali. Kini, atas permintaan peminat, kumpulan itu bakal melancarkan sebuah single terbaharu bertajuk Tetapkan Jiwaku.

Menariknya, karya tersebut dihasilkan oleh pasangan komposer dan penulis lirik ternama, LY dan isterinya, Baiduri yang memang terkenal dengan hasil ciptaan lagu berentak balada.

“Saya masih mengekalkan genre perlahan kerana bersesuaian dengan vokal. Saya yakin dengan lagu ini disebabkan kredibiliti LY dan Baiduri yang telah lama dalam industri hiburan tanah air.

“Dia tahu menyesuaikan susunan melodi mengikut suara saya dan mudah untuk menyampaikannya. Mudah bekerjasama dengan mereka,” ulas Elly serba sedikit mengenai perkembangan terbaharu AXL.

Selain mencari pendapatan dalam bidang seni, Elly sendiri mengusahakan gerai makan yang terletak di Taman Shamelin Perkasa, Cheras. Katanya, dia mula berniaga sejak 2002 bersama seorang rakannya.

Perniagaan makanan sesuatu yang menguntungkan, tetapi perlu berkorban masa dan tenaga.

“Ia perlukan kesabaran untuk menghadapi kerenah pelanggan yang bermacam-macam,” katanya ringkas.

Pada masa yang sama, Elly juga dalam perancangan membangunkan perusahaan calet bersama keluarganya demi masa depan yang lebih terjamin.

“Lokasi calet adalah di Hulu Langat, Selangor. Di situ terdapat banyak kawasan rekreasi dan mandi-manda. Harap ia satu permulaan yang baik buat saya tahun ini dan hari-hari yang mendatang,” bicaranya menamatkan perbualan.