Memahami keadaan kesihatan Sam yang tidak begitu mengizinkan dan memerlukan rehat yang secukupnya, kehadiran Lisa Surihani dan Nur Fazura juga cukup ceria dan menyenangkan.

Masing-masing yang membawa watak Ifti Liyana lakonan Fazura dan Izelea (Lisa Surihani) arahan Bernard Chauly, kedua-dua mengakui sepanjang menjayakan penggambaran filem ini yang dilakukan di Turki, mereka mengumpul banyak kenangan manis apalagi dalam mengenang keindahan negara tersebut yang terkenal dengan sejarah Islamnya.

Alang-alang berbicara hal yang manis-manis seperti Manisnya Cinta Di Cappadocia, Pancaindera mengajak Fazura dan Lisa untuk berkongsi kemanisan hidup yang telah dikecapi oleh kedua-dua aktres ini. Tidak mengecewakan, kedua-duannya rancak bercerita mengenai kisah hidup mereka yang sarat dengan aura positif.

SELAMA 11 tahun berada dalam industri hiburan, Fazura sedar ada sesetengah perkara yang secara tidak langsung membataskan perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon.

Meski secara luaran, orang menganggap dia seakan-akan sudah memiliki semuanya Fazura akui, itu cuma yang dilihat orang tetapi bukan yang benar-benar dia rasai dan miliki.

Dalam wajah penuh ketenangan, Fazura menyusun kata bahawa dia kini berasa lebih bahagia dan semakin mengecapi kemanisan hidup yang sebenar-benarnya berbanding sebelum ini.

“Ini adalah filem ketiga saya bersama-sama Red Films selepas Gol & Gincu dan Pisau Cukur. Kalau ikutkan filem Istanbul Aku Datang juga sepatutnya saya berlakon tetapi memandangkan waktu itu ada kongkongan daripada pihak tertentu, tak ada rezeki saya. Bukan sahaja pengarah sedih, saya juga sedih sebab tak dapat bekerjasama dalam filem itu.

“Tapi sekarang tidak lagi. Kalau dulu perjalanan karier saya terhad, sekarang saya boleh buat apa sahaja yang saya nak. Jujurnya saya akui, sekarang ini saya bersyukur kerana dapat mencapai segala cita-cita yang sebelum ini mungkin tak dapat saya capai,” katanya.

Menyifatkan hidupnya kini lebih banyak tertumpu kepada kerjaya kata Fazura, dia tidak menganggap itu satu beban kerana inilah yang dia mahukan.

“Bak kata Bernard filem Manisnya Cinta Di Cappadicia ini simbolik kepada perjalanan hidup saya. Semasa Gol & Gincu, itu adalah zaman ‘budak-budak’ saya, filem Pisau Cukur pula adalah zaman saya suka bereksperimen dengan fesyen dan yang terbaru ini pula menyerlahkan sisi saya yang kini lebh matang dan tenang.

“Saya setuju dengan Bernard. Selama ini saya sering dibayangi oleh orang lain. Kalau sebut nama Fazura, akan ada nama lain yang membayangi. Ini adalah kemuncak masanya saya berdiri sendiri dan capai segala impian yang saya mahukan atas kebolehan yang dimiliki. Sekarang ini saya dapat rasakan kemanisan hidup yang sebenarnya,” ujarnya.

Jangan selindung

Sudah diberitahu awal-awal oleh suaminya agar tidak mengenepikan kepentingan berkomunikasi dalam rumah tangga Lisa akui, itu perkara utama yang sering dipandang ringan oleh kebanyakan pasangan yang sudah berkahwin.

Tidak setuju dengan idea ‘rajin’ bercerita hal rumah tangga walaupun kepada kawan rapat kata Lisa, kalau pun ada sebarang masalah dengan suami, hal rumah tangga harus diselesaikan di dalam rumah dan bukannya di luar.

“Seelok-eloknya kalau ada masalah rumah tangga, biarlah diselesaikan bersama suami di rumah. Kalau keadaan amat perlu, boleh cerita kepada keluarga. Tetapi bukan kawan-kawan.

“Tak kisahlah masalah kecil atau besar, lebih baik komunikasi di rumah. Saya dan Yusry amalkan komunikasi sebagai petua untuk kami kekalkan keharmonian.

“Kalau merajuk pun tidak akan menyelsaikan masalah. Kalau diam sahaja pun, pasangan kita tidak boleh membaca fikiran kita.

“Saya akui masa awal-awal berkahwin, saya ada buat macam itu, kalau tak suka, diam. Marah diam, Kemudian Yusry tegur yang dia tak suka keadaan itu sebab tidak menyelesaikan masalah. Dia tidak boleh baca fikiran saya.

“Kemudian barulah saya terfikir, ya, kadangkala kita selalu memandang remeh soal komunikasi. Tetapi pada masa yang sama kita kena ingat yang kita perlu tahu setiap perkataan yang keluar dari mulut kita itu adalah emosi atau rasional,” katanya.

Mengakui kadangkala ada perkara yang dia tidak bersetuju dengan Yusry namun dia melihat sisi itu sebagai satu perkara yang positif yang membezakan dan menambah rencah dalam hubungan mereka.

“Tak apa kalau ada perbezaan begitu, Bukankah setiap hari adalah proses belajar? Begitu juga dalam rumah tangga. Saya dan Yusry masih belajar untuk kenali diri masing-masing.

“Apabila ada perkara yang buat kami tak serasi, kami tetap akan bersetuju dengan pilihan kami sebab masing-masing ada sebab sendiri kenapa buat pilihan itu dan yang penting, kalau tak suka, kita jelaskan kenapa. Jadi masing-masing akan cuba faham keadaan itu, Barulah tak timbul masalah,” jelasnya.

Warna profil kejayaan Fazura juga semakin menyerlah apabila baru-baru ini dia menerima tawaran E Channel untuk terlibat dalam program sendiri berjudul Facing Up With Fazura untuk siaran saluran itu bermula 14 Disember ini.

Melahirkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan dan penghargaan sebegitu rupa, Fazura bagaimanapun sudah bersedia untuk menerima sebarang pandangan subjektif daripada peminat dan penonton program berkenaan.

“Pada awalnya saya terkejut kenapa mereka nak pilih saya? Dalam fikiran banyak lagi selebriti lain yang lebih berjaya dan popular. Kemudian saya fikir pula, ada ke orang nak tengok cerita fasal saya?

“Tetapi saya anggap ini rezeki dan bersyukur kerana diberi peluang itu. Tapi pada masa yang sama saya gementar juga. Gementar kerana inilah kali pertama dalam hidup, kamera ikut ke mana saja saya pergi sedangkan saya ini sebenarnya seorang yang agak berahsia,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Fazura, dia menyukai konsep program berkenaan yang baginya membolehkan semua orang mengenali siapa dirinya yang sebenar di sebalik kehidupan glamor sebagai selebriti.

“Kalau ikutkan sekarang ini pun saya masih menyesuaikan diri kamera mengikut saya ke mana-mana. Tetapi saya sudah berjanji dengan diri sendiri untuk berlaku jujur dan serlah emosi sebenar sepanjang program.

“Tak ada rasa terganggu tetapi saya kena biasakan diri. Paling penting, saya suka konsep itu kerana selama ini mereka ingat mereka kenal saya tetapi (sebenarnya) tidak. Menerusi program ini mereka boleh tengok sendiri bagaimana kehidupan saya.

“Malah buat pertama kalinya saya memperkenalkan keluarga saya di khalayak umum. Pada saya tiada salahnya di usia 31 tahun ini saya memperkenalkan, memberi pengiktirafan dan penghargaan seperti ini,” katanya.

Tidak bimbang dengan pelbagai emosi yang akan terserlah sepanjang program itu dirakam dan dipertontonkan Fazura berkata:

“Ya, mungkin akan wujud emosi sebegitu tetapi itu kejujuran yang saya serlahkan. Kalau saya marah, saya marah. Kalau gembira, saya gembira. Mungkin menerusi program ini, saya mewakili semua selebriti lain bahawa kami ini pun manusia, bukannya robot.”

Dalam pada itu Fazura mengakui dia sedar ramai orang bertanyakan mengenai keputusannya untuk menamatkan zaman solo.

“Saya tak mencari, saya tunggu. Saya percaya jodoh itu akan sampai juga. Tetapi kahwin bukan matlamat saya sekarang. Pada usia ini saya rasa biarlah kalau saya tidak kahwin lagi, tumpu kepada kerjaya lebih utama.

“Lagipun saya selama ini sudah penat jadi ‘gadis sorak’. Sekarang, saya pula nak jadi ‘penyerang’. Saya nak capai impian saya dulu, baru fikir soal kahwin,” katanya.

SUDAH lebih dua tahun melayari bahtera perkahwinan bersama sang pencuri hatinya, Yusry Abd. Halim, terlihat dalam diri Lisa Surihani yang dia kini bahagia menjalani hidup sebagai seorang isteri di samping terus membina empayarnya yang tersendiri dalam bidang seni.

Dalam celotehnya sesekali dia mencelah memberitahu sedikit malu kerana merasakan tiada yang boleh dikongsi dengan khalayak mengenai perkahwinannya yang masih baru itu.

Pun begitu kata Lisa, dia dan Yusry ada cara tersendiri untuk mengekalkan kemanisan rumah tangganya dan mungkin sedikit berbeza dengan orang lain.

Dalam banyak perkara, percaya atau tidak, permainan Lego merupakan antara aktiviti bersama yang Lisa dan Yusry gemar lakukan bagi merapatkan hubungan suami isteri.

“Kebanyakan masa kami suka buat aktiviti bersama. Antaranya kami suka main Lego. Tahu tak di rumah kami siap ada sebuah bandar sendiri yang dibina daripada Lego?

“Kami beri nama bandar kami itu Yussaland. Saya jadi Menteri Kewangan dan dia pula Datuk Bandar. Itu antara aktiviti ayng kami suka lakukan bersama dan saya percaya sedikit sebanyak menambah kemesraan antara kami,” katanya.

Lisa berkata dia dan Yusry juga berkongsi hobi melancong ke luar negara dan mengumpul barang-barangan dari negara yang dilawati.

“Kami suka melancong tapi masa agak terhad dengan kesibukan masing-masing. Kami berkongsi minat melawat negara-negara yang ada tarikan budaya dan unik. Tempat-tempat yang bersejarah itulah yang kami suka.

“Paling kami suka dan teringin nak pergi adalah negara Afrika sebab di situ macam-macam budaya kita boleh tengok.Meski kami suka pergi melancong, jangan tak tahu kami berdua tak pula berkongsi cita rasa untuk melakukan aktiviti lasak atau sukan ekstrem bersama.

“Saya teringin nak cuba tetapi Yusry pula bimbang kalau apa-apa jadi kepada saya. Jadi dia tak suka nak buat. Walaubagaimanapun saya memang tabik pada mereka yang suka buat sukan ekstrem. Pada saya mereka hebat,” katanya.

Merasakan perkahwinannya masih dalam peringkat bulan madu dia akui, kadangkala elemen kejutan mampu memberikan kelainan dalam suasana rumah tangga.

“Kena ada usaha untuk lakukan perkara-perkara macam itu. Kena buat suasana jadi seronok. Tapi apa pun, komunikasi adalah yang paling penting. Bila kita duduk serumah, secara tak langsung akan ada rutin dalam gaya hidup kita sebab hari-hari kita jumpa. Bagaimanapun itu normal bagi semua manusia.

“Cuma kalau nak buat kelainan, kena ada elemen kejutan sikit. Saya tak boleh beritahu apa sebab itu terpulang kepada setiap pasangan,” jelasnya.