Pastinya pelbagai suntingan dan penambahbaikan perlu dilakukan agar tidak menyentuh sensitiviti sehingga tersasar daripada tujuan utama iaitu memberi kesedaran kepada peminat filem tempatan.

Mengambil pendekatan itu, sutradara genius tanah air, Mamat Khalid sentiasa memastikan setiap naskhah yang diarahkannya mengikut prosedur yang tepat.

Justeru, menerusi filem terbaharunya berjudul Lebuhraya Ke Neraka, Mamat tanpa berselindung mengakui, dia merujuk Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum penggambaran bermula.

Kata Mamat, perlu untuk dia memastikan tiada sebarang permasalahan timbul pada kemudian hari selain proses produksi berjalan dengan lancar.

“Sebelum buat filem ini, saya berjumpa terlebih dahulu dengan Mufti Perak dan meminta pandangan daripadanya tentang idea dan skrip asal.

“Apabila kita buat filem berkisarkan tentang keagamaan dan kerohanian, kenalah rujuk kepada mereka yang pakar tentang bidang ini.

“Saya tak mahu nanti akan timbul perkara yang tak sedap didengar hingga mengganggu tayangan.

“Yang mana babak yang perlu dibuang, saya buang. Saya ikut pandangan Mufti sebab mereka lebih arif dan filem ini pun tujuannya nak beri kesedaran kepada semua,” tuturnya kepada Mega HITS ketika ditemui di tayangan perdana filem terbabit baru-baru ini.

Penantian enam tahun Mamat akhirnya membuahkan hasil dan ada garis senyuman terukir pada wajahnya saat filem itu ditayangkan kepada pihak media.

Meskipun perlu menunggu lama, impian Mamat untuk menghasilkan sebuah skrip serius akhirnya tercapai.

“Seorang pembikin filem, kena cuba banyak genre supaya dapat tarik minat penonton ke pawagam.

“Saya dikenali dengan cerita komedi seram dan lawak tapi jauh di hati teringin jugalah nak buat naskhah serius.

“Karya ini dekat di hati kami (kru produksi dan pelakon). Ini inisiatif saya untuk buat filem dakwah khusus buat penonton tempatan,” jelasnya.

Tiada potongan LPF 

Sementara itu, Mamat turut mengulas lanjut mengenai filem tersebut yang bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Kata Mamat, dia lega dan bersyukur kerana filem terbabit tiada sebarang babak yang boleh menimbulkan isu dan telah mendapat kelulusan sepenuhnya oleh pihak LPF.

“Kami dapat kerjasama yang baik daripada pihak LPF. Tidak ada satu babak pun dipotong selain hanya dua dialog yang terpaksa disenyapkan kerana bimbang akan beri kesan tidak baik.

“Daripada pihak kami, adalah beberapa babak yang terpaksa dipotong disebabkan masalah durasi.

“Saya hidangkan dua perspektif berbeza iaitu duniawi logik atau kerohanian. Terserah kepada penonton untuk berfikir sendiri.

“Besar harapan saya agar filem ini dapat sambutan dan dapat beri kebaikan kepada semua penonton,” katanya.

Filem terbitan Grand Brilliance dan edaran Primeworks Distribution itu membariskan pelakon antaranya Datuk Awie, Khir Rahman, Dazrin Kamarudin, Shah Jaszle, Miera Leyana dan Fatin Syahirah.

Lebuhraya ke Neraka memaparkan kisah sekumpulan geng motor berkuasa tinggi yang diserang penyakit misteri secara tiba-tiba semasa berhenti di suatu kawasan untuk berehat.

Bob, lakonan Awie yang mengetuai konvoi itu tidak mengalami sebarang penyakit misteri seperti rakan-rakannya yang lain.

Ketika Bob sedang mencari bantuan, dia telah terserempak dengan seorang lelaki misteri bernama Tyson (Khir Rahman) yang bersetuju untuk membantunya.