Tambahan pula Tomok dan isteri banyak berkongsi aktiviti harian anak-anak menerusi akaun media sosial tersebut.

Namun dalam pada terbuka menunjukkan gelagat anak-anak, Tomok sama sekali tidak pernah menyatakan persetujuan untuk melakukan sesi fotografi dengan pihak media.

Pun begitu, kini Tomok sekeluarga muncul dalam sebuah program realiti, Rockstar Junior: Arrian & Andra yang memaparkan kehidupan mereka sekeluarga.

Ini menimbulkan persoalan apakah Tomok sudah bersedia mendedahkan anak-anaknya secara lebih meluas?

Ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut, Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 33, menjelaskan bahawa dia sudah keluar dari zon selesa memandangkan program yang dilakukan oleh mereka mampu memberi manfaat kepada orang ramai.

“Selama ini saya dan isteri hanya yakin dan selesa berkongsi gambar anak-anak melalui akaun media sosial peribadi kami.

“Untuk keluar dari zon selesa itu misalnya melakukan sesi fotografi dengan media agak sukar bagi saya.

“Namun apabila diberi peluang oleh Astro untuk menjayakan program yang bukan sahaja memaparkan aktiviti anak-anak tetapi juga berkongsi ilmu keibubapaan, saya dapat rasakan ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkongsi kisah dengan khalayak.

“Sebenarnya bukan mudah untuk kami menerima tawaran tersebut. Perbincangan mengenainya memakan masa berbulan-bulan sebelum saya dan isteri memberikan persetujuan kepada pihak produksi.

“Soal keselesaan menjadi perkara utama yang dibincangkan. Selepas ini mungkin kami boleh cuba atau pertimbang permintaan media yang tidak pernah jemu-jemu mengundang kami untuk mengadakan sesi fotografi,” jelas Tomok.

Meskipun program tersebut memaparkan aktiviti harian Arrian dan Andra, Tomok tidak pernah berkompromi tentang soal keselamatan permata hatinya itu.

“Seperti ibu bapa yang lain, soal keselamatan anak-anak pastinya menjadi tanggungjawab dan keutamaan. Saya dan isteri amat memandang serius soal tersebut apatah lagi kami sentiasa berkongsi kegiatan anak-anak di media sosial.

“Ketika penggambaran program itu, saya dan pihak produksi berbincang mengenai keselamatan. Kami bersetuju untuk tidak mendedahkan nama dan alamat sekolah serta rumah kami.

“Ini merupakan antara langkah menjaga keselamatan yang perlu dititikberatkan. Selain itu, saya dan isteri turut melakukan sendiri tugasan menghantar Arrian ke sekolah serta menjaga mereka berdua di rumah.

“Boleh dikatakan 95 peratus perkara diuruskan oleh kami sendiri demi mengutamakan keselamatan,” ujarnya. - Gambar HAFIZ JOHARI