Naskhah terbaharu ini merupakan filem ke-97 terbitan MIG yang diarahkan oleh pengarah Hashim Rejab.

Dibarisi oleh pelakon hebat seperti Fauzi Nawawi, Ellie Suriaty dan Ruminah Sidek, selain menampilkan pelakon baru yang semakin menempa nama, Atikah Suhaime, Nizam Zaidi dan pelakon cilik, adik Nur Qistina.

Apa yang menarik mengenai filem Kelibat ini ialah, ia membawa penonton melayari kehidupan sebuah keluarga Kamal (Fauzi Nawawi) dan Kalin (Ellie) yang dikurniakan tiga orang cahaya mata, Azhari (Nizam), Azalia (Atikah) dan Azmira(Qistina).

Namun hubungan kekeluargaan yang dahulunya akrab, kini sudah semakin renggang dek kerana Kamal terpaksa menipu keluarganya untuk membawa mereka bercuti.

Walhal, Kamal terpaksa berbohong dan membawa mereka sekeluarga ke sebuah penginapan yang menyeramkan dan jauh daripada orang.

Sebagai ketua keluarga, Kamal tiada pilihan lain akibat daripada kesilapan diri sendiri yang terpaksa lari daripada menjadi buruan Ah Long selain telah jatuh muflis dan banglonya telah dilelong. Setelah rahsianya terbongkar dan diketahui Kalin, keluarga Kamal mula porak-peranda apabila isterinya itu meminta cerai kerana tidak dapat menerima hakikat. Anak-anak dan isteri Kamal tidak mahu hidup dalam kesusahan kerana sudah terbiasa dilimpahi kemewahan.

Sejak hari pertama mereka menjejakkan di resort terbabit, mereka sering diganggu oleh kelibat-kelibat misteri yang menyeramkan. Bahkan lebih menggerunkan, kelibat tersebut bukan sahaja muncul di depan mata mereka, malah turut muncul menerusi dalam telefon bimbit.

Memilih lokasi di Hulu Langat yang terbina indah sebuah resort yang tampak agak usang harus dipuji kerana pengarah berjaya memberikan elemen seram ke dalam filem ini selain penonton ‘disajikan’ dengan kesan muzik yang pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk.

Ketika penulis berpeluang menonton majlis pra tonton filem berkenaan di Mutiara Damansara baru-baru ini, filem ini dapat memperlihatkan unsur kejayaan filem Nasi Tangas hasil daripada pengarah yang sama sebelum ini.

Tetapi ada beberapa bahagian yang seakan tidak logik dan banyak isu rumah tangga serta konflik dalam keluarga diketengahkan di plot klimaks, sebelum keluarga ini berpecah-belah.

Selain itu juga, daripada pengamatan penulis sendiri, ada beberapa babak seram yang penulis rasakan tidak disampaikan dengan baik sehingga tiada langsung perasaan takut walaupun genre filem tersebut ialah bersifat seram. Seperti ada sesuatu yang tidak cukup hingga membuatkan penulis rasa kurang berpuas hati saat menonton filem tersebut.

Di awal penceritaan juga telah mengambil masa yang agak lama untuk menceritakan kisah keluarga tersebut yang sedang melihat kawasan sekeliling resort tersebut. Membuatkan penonton tidak sabar untuk melihat plot yang seterusnya.

Namun, satu hal yang harus dipuji mengenai lakonan Fauzi dan Ellie yang begitu menghayati watak mereka sehingga mampu memberikan kesan kepada penonton di pawagam.

Walaupun tidak banyak pelakon yang terlibat secara menyeluruh selain keluarga ini, cara pembawaan pelakon yang sedia ada sudah memadai.

Ellie berjaya memegang mandat sebagai seorang isteri yang terpaksa berdepan masalah yang datang akibat tindakan suaminya sendiri dengan begitu baik sekali.

Malah Fauzi turut berjaya menghidupkan wataknya yang bertalu-talu ditimpa masalah dengan memperlihatkan wataknya yang perlu menangis sewaktu dicaci oleh keluarganya sendiri sewaktu di meja makan.

Di situ memperlihatkan mainan emosi yang mampu mengusik jiwa penonton dek terkesan daripada lakonan Atikah dan Nizam yang begitu biadab dan tidak menghormati ayah mereka. Jelas terpancar wajah sayu Fauzi yang kelihatan sugul dan tertekan kerana keluarganya tidak membantu langsung di saat dirinya dirundung masalah.

Meskipun Atikah dan Nizam masih setahun jagung dalam industri lakonan, namun lakonan mereka berjaya membuatkan penonton berasa marah dengan sikap mereka yang sangat keterlaluan.

Selain itu, teknik solekan dan kesan bunyi yang ‘menemani’ cerita itu menjadi penyelamat untuk menaikkan mood seram dan terkejut hingga mampu membuatkan penonton menjerit dalam pawagam. Apakah nasib yang menimpa keluarga ini? Adakah mereka kembali menjalani kehidupan yang serba mewah seperti dahulu? Atau adakah Kamal mampu mengawal tekanan emosi yang membelenggu dirinya?

Filem Kelibat sudah pun mula ditayangkan di pawagam mulai enam November lepas. Bagi peminat filem seram, penulis rasakan ia masih berbaloi untuk ditonton.

Selain pelakon yang disebut di atas, penampilan khas Ruminah Sidek sebagai pelakon pembantu, menjadikan filem ini penuh warna.