Menggantikan tempat pengacara utama iaitu Nabil Ahmad dan Neelofa yang sedang bercuti, pasangan yang pernah popular pada era 1990-an tersebut kelihatan begitu bersahaja mengendalikan program bual bicara hiburan popular di Malaysia itu.


Rata-rata di laman sosial, penonton berkongsi pandangan dalam memberikan komen positif malah ada yang membuat permintaan untuk menyaksikan Awie dan Erra digandingkan lagi sebagai hos.


Tanpa sedikitpun rasa kekok dan canggung, kedua-dua personaliti itu dilihat selamba mengusik antara satu sama lain termasuk mengimbas kembali nostalgia lalu ketika pasangan itu hangat bercinta suatu masa dahulu.


Hero dan heroin filem Sembilu itu juga sangat profesional dalam melaksanakan tugas mereka di samping jenaka-jenaka yang tidak dijangka sehingga membuatkan penonton bergelak tawa. 


Erra sebelum ini pernah memberitahu, dia dan Awie masih berkawan baik walaupun hubungan percintaan yang terjalin sebelum ini tidak berakhir di jenjang pelamin. - UTUSAN ONLINE