Katanya, dia tidak mahu ada unsur paksaan memandangkan teman lelakinya berlainan agama.

“Biarlah masa yang menentukan. Rancangan untuk memeluk agama Islam belum difikirkan buat masa ini walaupun ada yang tahu teman lelaki saya beragama Islam.

“Untuk menukar agama bukan sesuatu yang mudah. Isu agama sangat sensitif. Memang saya ada belajar tentang agama Islam tetapi itu hanya sebahagian dan secara umum sahaja.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu terburu-buru dan teruja sangat. Nanti salah cakap orang akan jadikan sebagai isu. Kalau jodoh itu datang secara tiba-tiba. Kita terima sahaja.

“Yang penting, saya selesa dengan situasi sekarang dan kekasih tidak memaksa,” katanya.

Sudah mengenali keluarga teman lelaki, Marsha turut memberitahu, pihak keluarga kekasihnya tidak mempunyai masalah untuk mempercepatkan perkahwinan mereka.

“Mereka tahu kami perlukan masa untuk disatukan. Sebab itu, kahwin bukan soalan yang sentiasa ditanya.

“Memang saya pernah cakap sudah lama merancang untuk berkahwin tetapi banyak sebab membuatkan saya menangguhkan dahulu hasrat itu.

“Saya juga belum bertanya keluarga untuk berkahwin dengan lelaki Islam. Saya kena lalui semua itu dahulu baru fikir untuk fasa seterusnya,” kata Marsha yang sudah empat tahun berpuasa bersama rakan Islam.

Bercerita soal puasa, Marsha berkata, niatnya hanyalah untuk menghormati rakan-rakan, bukan alasan untuk mendekati agama tersebut.

“Sebelum ini, saya tidak pernah dikelilingi kawan-kawan beragama Islam. Apabila sudah datang ke Kuala Lumpur sewaktu menyertai Akademi Fantasia dahulu, saya mula bergaul dengan orang yang berlainan agama.

“Apabila tibanya musim puasa, saya sendiri sedar berada dalam situasi mereka. Untuk tunjukkan rasa hormat, tidak salah untuk saya berpuasa sekali selain mahu menurunkan berat badan.

“Jangan beranggapan pula saya berpuasa kerana mahu berkahwin dengan lelaki Islam. Saya fahami dan dalami puasa hanya untuk tujuan hormat,” katanya yang juga tidak mendapat paksaan kekasih untuk berpuasa.

Sementara itu, menceritakan keadaan Sabah yang dilanda gempa bumi, Marsha melahirkan rasa sedih sehingga dia dan rakan-rakan selebriti senegeri nekad mengadakan konsert Remembering Our Heroes Jun lalu di Pusat Kebudayaan Sabah.

Dianjurkan oleh Persatuan Artis Sabah, Lembaga Kebudayaan Sabah dan Persatuan Suang Lotud, konsert terbabit telah berjaya mengutip lebih RM60,000 dan hasil kutipan telah disumbangkan terus kepada mangsa gempa bumi.

Antara artis yang membuat persembahan ialah bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) seperti Stacy, Velvet, Felix Agus, Marsha, Adel, Rich, Adira, Firman, Faizul dan Lotter.

Tambah Marsha, konsert berkenaan akan mempunyai kesinambungan dan mereka tidak akan terhenti mencari derma bagi membantu penduduk Sabah yang dilanda bencana.

“Malah, konsert itu juga telah dirakam dan hasil jualan CD nanti akan kami salurkan kepada mangsa terlibat,” ujarnya yang juga hadir dengan single baharu berjudul Ku Tinggalkan Cinta yang menjadi lagu tema drama Ku Tinggalkan Cinta Di Okinawa.

Bercakap tentang gempa, Marsha berkata, gegaran masih dirasai dan dia sangat risau akan keadaan keluarganya di Sabah.

“Kampung saya juga ada gegaran berlaku tetapi tidaklah teruk.

“Cuma saya kasihan saudara saya yang terjejas sehingga tiada bekalan elektrik. Tetapi sekarang semuanya sudah stabil dan mereka mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya. - Gambar ZAKARIA IDRIS