Bagi memenuhi permintaan peminat, pelbagai festival muzik metal telah diadakan di banyak buah negara dan ia turut menjadi trend yang semakin berkembang pesat sejak akhir-akhir ini.

Festival Wacken Open Air (WOA) yang diadakan pada setiap tahun di Hamburg, Jerman, sejak 1990 sehingga kini merupakan salah satu penganjuran festival muzik metal yang berjaya.

Ketika mula dianjurkan 28 tahun lalu, WOA hanya mencatat sekitar 800 peminat sahaja tetapi pada hari ini tidak kurang 75,000 peminat dari seluruh dunia berkunjung ke festival tersebut.

Pada festival seperti WOA yang diadakan selama tiga hari dengan tidak kurang empat buah pentas utama bagi membolehkan lebih 40 buah kumpulan metal ternama dunia beraksi.

Selain WOA, banyak festival lain turut muncul antaranya Hellfest di Clisson, Perancis dan Bloodstock Open Air (BOA) di Derby, England, yang tampil dengan tarikan tersendiri.

Malah, Maryland Deathfest yang diadakan di Baltimore, Amerika Syarikat (AS) pada setiap tahun menghimpunkan tidak kurang 50 kumpulan metal terkemuka dari seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, malah trend penganjuran festival seumpama itu turut berkembang di Asia seperti Jepun, India, Indonesia, Filipina dan tidak terkecuali juga Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Jika Loudpark Festival popular di Jepun, Hammersonic (Indonesia), Pulp Summer Slam (Filipina) dan Bangalore Open Air (India), Malaysia pula menerusi penganjuran Rock The World.

Sejak diadakan 17 kali di sekitar Kuala Lumpur, Rock The World yang berkonsepkan pentas terbuka itu pernah menarik sehingga 20,000 orang peminat tempatan pada satu-satu festival.

Ramai yang melihat festival seperti itu memberi peluang bukan sahaja kepada para peminat menikmati persembahan para pemuzik kegemaran mereka beraksi di atas pentas konsert.

BERSKALA BESAR

Pada masa sama, setiap kumpulan pemuzik yang beraksi juga dapat mempamerkan persembahan mereka di atas pentas berskala besar yang mencuri tumpuan para peminat.

Terdapat banyak juga peluang perniagaan berasaskan pasaran industri muzik dapat dijana sewaktu festival itu berlangsung, apatah lagi jika ia diadakan tiga hari berturut-turut.

Banyak barangan seperti cakera padat, piring hitam atau vinil, kemeja T dan pelbagai barangan cenderahati dijual di festival itu yang menjana pendapatan jutaan ringgit.

Festival muzik metal yang kini semakin popular antaranya Brutal Assault di Republik Czech, Tuska Open Air (Finland), Soundwave (Australia) dan Graspop Metal Meeting (Belgium).

Penganjuran festival seperti di WOA misalnya, mendapat sokongan daripada pihak berkuasa tempatan Hamburg dan lebih 30 peratus peminat datangnya dari lebih 30 negara.

WOA mampu merancakkan lagi sektor pelancongan dan ekonomi di Hamburg yang berkaitan seni pementasan sehingga ia telah dimasukkan dalam kalendar salah satu aktiviti tahunan di negara terbabit.

Bukan setakat menjurus kepada muzik metal semata-mata, sebaliknya terdapat banyak lagi jenis festival muzik genre lain yang dianjurkan dan mempunyai matlamat sama.

Contohnya, Rainforest World Music Festival anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak yang diadakan setiap tahun di Kuching sejak 1998 dengan memfokuskan kepada genre muzik etnik.

Festival yang menarik ramai pemuzik etnik dari seluruh dunia itu secara tidak langsung telah mengangkat nama Malaysia di peta dunia sebagai antara destinasi pelancongan yang unik.

Justeru, festival muzik metal, malah irama nasyid sekali pun wajar diteroka kerana ia mempunyai prospek yang luas dalam ekonomi selain sifat sejagat yang ada di dalamnya.