Bergandingan dengan Datuk Rosyam Nor dan Syamsul Yusof, naskhah arahan Syafiq Yusof itu memperlihatkan sisi lain Fattah yang sebelum ini dikenali sebagai pelakon watak romantik.

“Dalam filem ini, ada beberapa adegan saya lakukan sendiri aksi lasak dan ekstrem yang selalunya dilakonkan oleh pelakon lagak ngeri.

“Bahkan, saya pernah beberapa kali mengalami kecederaan demi menjayakan watak seorang anggota polis dalam membanteras jenayah.

“Akan tetapi, saya tidak lakukan kesemua babak lasak tersebut, hanya yang termampu sahaja untuk mencabar kredibiliti sebagai seorang pelakon,” katanya.

Fattah juga menafikan dia terdesak untuk membuktikan dirinya seorang pelakon versatil, cuma terbit rasa tanggungjawab untuk memberikan lakonan terbaik dari semasa ke semasa.

Menurut suami kepada Nur Fazura itu, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada Rosyam dan Syamsul untuk menghidupkan karakter seorang anggota keselamatan agar kelihatan tangkas.

“Saya harap, dengan kehadiran filem ini boleh membuka lembaran baharu terhadap karier lakonan saya yang dikatakan stereotaip.

“Ini adalah satu peralihan fasa yang diharapkan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

KL Special Force bakal menjengah pawagam di seluruh tanah air bermula 8 Mac ini. - UTUSAN ONLINE