Begitu juga yang berlaku pada konsert dengan tema Berdua Lebih Baik yang berlangsung malam kelmarin apabila keputusan yang diumumkan bagai sudah dijangka.

Nama peserta kegemaran ramai iaitu Hazami, Liza Hanim dan Aishah menguasai kedudukan tiga teratas seperti mana yang diharapkan oleh penonton biarpun sebelum pertandingan bermula.

Bagi salah seorang peserta kegemaran dalam GV4 iaitu Liza Hanim, harapan dan jangkaan yang datang daripada peminat sememangnya menimbulkan rasa gementar yang bukan sedikit.

Justeru, Liza yang bakal menyanyikan lagu Lelaki Teragung pada minggu hadapan menganggap dia tidak mempunyai peluang untuk bersenang-lenang sebaliknya sentiasa berusaha untuk memastikan harapan peminat dapat digalas sebaiknya.

“Sebelum ini saya sudah biasa menjadi peserta ‘underdog’ menerusi pelbagai pertandingan. Jadi apabila mula mendapat perhatian dan diletakkan harapan untuk menjadi juara, sejujurnya saya takut dan gementar.

“Sebab itulah saya sentiasa cuba melakukan yang terbaik kerana saya tidak mahu menghampakan harapan mereka di luar sana. Kalau sebelum ini saya hanya disokong oleh peminat setia tetapi kini saya mempunyai peminat baharu yang yakin dengan bakat saya,” jelasnya.

Ditanya tentang cabaran menyanyikan lagu yang pernah menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31), Liza tidak menafikan timbul rasa risau meskipun lagu tersebut sesuai dengan jiwanya.

“Setiap kali menerima lagu, saya pasti tidak dapat tidur kerana memikirkan apa yang perlu saya lakukan untuk memberikan yang terbaik. Bagi saya lagu Lelaki Teragung bukan sebuah lagu yang mudah dibawa tetapi saya kena terima dan cuba sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu bagi juara mingguan kali ini, Hazami menyifatkan kemenangannya yang sekali gus memerlukannya mempersembah lagu Jerat Percintaan nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai satu yang tidak diduga sama sekali.

“Ketika lagu Jerat Percintaan dimainkan, saya tertanya-tanya siapalah yang akan menyanyikannya. Saya sangat terkejut apabila nama saya yang disebut dan secara tidak langsung diumumkan sebagai pemenang malam ini.

“Rasa nak terjun pentas pun ada apabila nama saya disebut. Saya tidak menyangka sama sekali akan menyanyikan lagu penyanyi nombor satu negara.

“Banyak yang terbayang dalam fikiran saya mengenai persembahan pada minggu hadapan dan berharap peminat dapat menerima Jerat Percintaan versi saya sendiri,” katanya.