Sebagai seorang pendatang baharu dalam bidang nyanyian, yang dia inginkan hanya berkongsi bakat dengan khalayak. Tetapi yang nyata realiti tidak seindah impian.

“Kecaman teruk yang diterima memang memberi kesan kepada saya. Sebagai seorang manusia biasa yang tidak sempurna, saya akui bukan sesuatu yang mudah untuk saya membaca dan menelan komen-komen yang menyakitkan hati.”

Demikian getasnya kepada Mega HITS baru-baru ini.

Namun kecaman-kecaman itu tidak pula melemahkan semangat Neera malah dia yang hadir dengan single pertama, Rasa Hati optimis untuk meneruskan karier nyanyian dan membuktikan kepada peminat seni yang dia berkemampuan untuk berjaya dalam bidang yang satu ini.

“Tidak mungkin hanya kerana kecaman-kecaman itu saya mahu mengundurkan diri dari bidang ini. Sebaliknya inilah yang akan membuatkan saya bekerja lebih keras dan berusaha membuktikan yang saya juga boleh menyanyi,” ujarnya.

Sudah cukup selesa dengan tiket seorang pelakon sejak empat tahun lalu, Neera memberitahu, dia memilih nyanyian kerana mahukan cabaran baharu dalam karier seninya.

Bagaimanapun kemunculan awal sebagai penyanyi nampaknya tidak mudah untuk dilalui anak kelahiran Pahang ini selepas rakaman program nyanyiannya itu tular dan menjadi perhatian.

Tidak pernah terfikir mahu menarik diri daripada bergelar penyanyi - bidang yang baru disertainya awal tahun ini - Neera mahu mencuba dan mengintai setiap peluang yang ada.

“Saya masih muda, masih banyak yang ingin saya cuba dan pelajari. Melalui peluang yang hadir ini saya mahu gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi bakat. Saya harap khalayak memberi saya ruang dan peluang,” pintanya.

Sedar namanya kian dikenali dek video nyanyian tularnya itu, Neera atau Nurazneera Azizi, 20, mengakui, bukan mudah untuk memuaskan hati semua, namun dia tidak mahu perkara itu merencatkan perjalanan seninya.

“Kecaman yang diterima tidaklah menggugat keinginan saya daripada terus mahu dikenali sebagai penyanyi selepas ini. Sebab saya yakin saya mampu. Cuma bukan mudah untuk puaskan hati semua orang,” katanya.

Sentiasa bersikap positif, jelasnya, walaupun menerima kecaman, namun pada masa yang sama namanya juga kian dikenali khususnya buat mereka yang selalu menonton drama tempatan.

“Sesuatu tentang saya yang perlu diketahui ialah saya sentiasa positif untuk mencipta peluang. Jadi apa sahaja yang berlaku saya akan tenang dan terus fokus dengan perkara yang saya kerjakan.

“Malah dengan perkara kurang enak yang berlaku itu (tular) lebih ramai orang mengenali saya. Mungkin bukan sebagai penyanyi sahaja tetapi juga pelakon,” ceritanya yang pernah membintangi drama-drama antaranya Sayangku Kapten Mukhriz, Patahnya Sebelah Sayap dan Miss Kapten Cikgu Waiz.

Mahu seimbangkan nyanyian, lakonan

“Selain suka menyanyi, saya juga merupakan peminat muzik tempatan. Jadi sebelum saya muncul sebagai penyanyi saya fikir mahu muncul dengan sesuatu yang lebih menarik.

“Jadi saya pilih Rasa Hati dan saya yakin lagu ciptaan B-Heart ini adalah lagu yang sesuai untuk saya memperkenal diri,” katanya yang turut berkolaborasi dengan B-Heart bagi liriknya.

Walaupun kini semakin sibuk dengan karier nyanyian, Neera tidak pula mahu melupakan buat seketika bidang lakonan malah buat masa ini dia masih mampu untuk menyeimbangkan kedua-dua kerjaya tersebut.

“Saya akan menyanyi dan berlakon pada waktu yang sama. Mana tawaran yang datang dahulu saya akan penuhi. Rasanya tidak ada masalah untuk saya teruskan kedua-dua kerjaya ini,” katanya yang kini sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Andainya Takdir 2.

Sudah mempunyai perancangan untuk merakamkan single kedua, kongsi Neera, ketika ini dia tidak mengambil enteng komen membina yang ditinggalkan pengguna laman sosial malah mengakui akan berusaha membuat kelainan pada masa hadapan.

“Kali pertama menyanyi dan mempunyai lagu sendiri, saya tidak mengharapkan khalayak untuk menerima saya sebagai penyanyi yang profesional. Namun dalam usaha memperbaiki diri saya memang ada menghadiri kelas untuk memantapkan lagi vokal.

“Yang penting saya akan ambil semua komen membina dalam usaha untuk menjadi seorang penyanyi yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya optimis.