Daripada 12 buah lagu yang mara ke AJL32, enam karya dicipta dan dinyanyikan oleh karyawan yang pertama kali bersaing di pentas berprestij berkenaan, sekali gus mewujudkan persaingan yang sengit dan memberi terjemahan baharu mengenai karya-karya terbaik yang beradu nasib dalam pertandingan anjuran stesen televisyen swasta pertama negara, TV3.

Mengulas perkembangan itu, ketua juri sepanjang tiga minggu peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-32 (MM32), Datuk Mokhzani Ismail bersetuju dengan pendapat pemerhati muzik bahawa sekarang merupakan era kebangkitan generasi karyawan muzik muda dan baharu.

“Sebetulnya, AJL merupakan medan pertarungan antara komposer dan penulis lirik. Artis atau penyanyi merupakan perantara yang digunakan untuk menyampaikan karya-karya ciptaan mereka kepada khalayak.

“Lagu yang popular di pasaran juga ada nilai tersendiri untuk diberi permarkahan.

“Pun begitu, kreativiti komposer tidak terhad kepada satu-satu genre sahaja.

“Kita mesti berlaku adil kepada semua pencipta atau pengkarya sama ada genre balada, rap, pop atau apa jua galur muzik sekalipun,” katanya kepada wartawan sebaik sahaja berakhir pertandingan separuh akhir minggu ketiga MM32, Ahad lalu.

Menurut Mokhzani, sesi pemilihan 12 buah lagu daripada 30 karya yang mara ke peringkat separuh akhir merupakan tugas yang sukar berbanding memilih sebuah lagu daripada 12 karya.

Disebabkan itu, setiap juri yang dipertanggungjawab untuk membuat penilaian perlu ada alasan munasabah terhadap lagu yang telah dipilih supaya karya tersebut benar-benar layak dan tidak terlepas pandang.

Adat pertandingan, mungkin ada beberapa lagu kegemaran pendengar yang gagal lolos ke final, malah memang setiap tahun berlaku hal sedemikian.

Namun, Mokhzani menegaskan, para juri telah mengupas dari semua sudut penciptaan sesebuah lagu termasuklah pemilihan penyanyi yang bagus untuk memperdengar karya ciptaan masing-masing.

“Sebanyak 30 peratus markah diperuntuk buat barisan penyanyi yang menyampaikan lagu-lagu sepanjang peringkat separuh akhir ini berlangsung.

“Vokal adalah salah satu instrumen terpenting dalam pembuatan lagu secara keseluruhan.

“Formulanya mudah, jika ada lagu yang berkualiti tetapi tidak disampaikan dengan baik oleh penyanyi, tak boleh juga.

“Jadi, perlu ada keseimbangan terhadap semua elemen yang diutamakan iaitu melodi, lirik dan vokal. Barulah cukup rencahnya,” tambah beliau lagi.

Selain Mokhzani, tugas mengadili karya-karya itu juga diberikan kepada nama-nama besar dalam industri muzik tanah air iaitu:

1. Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah)

2. Azmeer

3. Edrie Hashim

4. Helen Yap

5. LY

6. AG Coco