Pengarah dan penerbitnya, Erma Fatima berkata, pihak produksi melanjutkan tempoh persembahan teater tersebut berikutan sambutan menggalakkan daripada para peminat teater sehingga ramai yang meminta agar tempoh pementasannya dilanjutkan.

“Saya berterima kasih dan bersyukur kerana diberi tambahan hari pementasan oleh Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani. Tidak sangka Mak Cun menjadi fenomena dan mendapat sokongan daripada penonton.

“Khalayak tahu Mak Cun adalah seorang pengusaha bedak sejuk yang cuba memasarkan produknya hingga ke luar negara. Tidak banyak cerita yang mengangkat kisah orang kampung terutama tentang usahawan kecil begini dipaparkan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Teater muzikal komedi Mak Cun sebelum ini dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 hingga 22 November lalu.

Menurut Erma, beliau sangat gembira dan bersyukur dengan sokongan diterima daripada pelbagai peringkat umur penonton yang datang menyaksikan teater tersebut.

“Ini sesuatu yang mengharukan dan tidak sangka teater ini ditonton mereka yang berusia empat hinggalah 70 tahun. Bayangkan peminat cilik juga suka kepada teater ini. Sudah pasti ini menunjukkan ada keistimewaan dalam intipati ceritanya,” katanya.

Antara pelakon yang menjayakan pementasan teater itu ialah Datuk Rahim Razali, Fauziah Ahmad Daud, Umie Aida, Nora Danish, Ungku Ismail, Dafi Ismail dan Betty Rahmad serta Balkisyh Semundar Khan.

Tiket-tiket bagi menyaksikan Teater Mak Cun boleh didapati dengan harga RM36 sehingga RM156.