Di arah Pierre Andre, menggunakan khidmat pelakon terkenal seperti Shaheizy Sam, filem ini juga mempertemukan pendatang baru Atikah Suhaimie dan Sam buat kali pertama. Secara jujur, filem ini mencapai kepuasan optimun penonton memandangkan jalan ceritanya memang menarik. Dari segi kisahnya mungkin agak ringan tetapi lawak-lawak yang diwujudkan dalam KKK bukan sesuatu yang lama memandangkan Pierre ada sentuhan sendiri.

Bagaimanapun ada yang mahu mencari persamaan filem KKK ini dengan filem arahan Mamat Khalid. Mungkin penggunaan dialek Perak memberi sebab filem ini menghampiri filem arahan pengarah terkenal itu. Tetapi penyampaian dua pengarah ini amat berbeza.

Kalau mahu dibandingkan pengalaman mungkin Pierre agak ketinggalan namun melihat filem ini, rasanya ada pujian yang perlu disampaikan.

KKK yang berkisar mengenai kasut seorang pemuda kampung yang bernama Manap di curi. Kerana tersilap sangka, dia kini menjadi sasaran penjahat akibat pertolongan kepada gadis bernama Suzi. Tidak terlalu di tekankan soal cinta antara watak pelakon lelaki dan wanita dalam filem ini kerana pengarah nampaknya mahu memberikan penekanan terhadap semangat setiakawan.

Akhirnya mesej utama KKK adalah bagaimana sikap sayang terhadap sahabat menyebabkan ada yang sanggup bermati-matian membantu. Itu salah satu kejutan dalam filem KKK. Walaupun jalan cerita filem ini boleh di agak kesudahannya, namun setiap adegan yang dibawa tidak lupa menyampaikan tujuan filem ini untuk penonton ketawa.

Selain itu pengamatan yang diberikan pengarah terhadap pemandangan sepanjang filem ini sangat teliti.

Walaupun kebanyakkan lokasi KKK di kampung, namun suasana yang cuba di wujudkan itu seperti membawa penonton kembali ke tahun 60-an. Ini adalah sedikit usaha yang mampu memberi kelainan buat KKK.

Sedia maklum ini amalan MIG untuk memastikan semua pelakonnya mendapat tempat dalam filem keluarannya. Tatkala KKK menggabungkan para pelakon lama dan baru, ternyata ada jurang yang menyebabkan pelakon wanita dalam filem ini agak tenggelam.

Namun itu tidak bermakna Atikah Suhaimie tidak memberikan yang terbaik buat watak yang di pegang. Perlu lebih usaha buat pelakon baru ini agar tidak nampak terlalu janggal di samping pelakon lama seperti Sam. Selain itu gabungan pelakon lain seperti Pablo Amirul dan Along Eyzendy sedikit sebanyak menyokong jalan cerita KKK dengan baik.

Sementara itu Sam ketika ditanya pendapatnya mengenai filem ini, dia tidak menafikan cabaran terbesarnya adalah untuk menggunakan dialek Perak.

Mengakui ada kelainan mengenai filem komedi ini harapannya adalah untuk memastikan peminatnya menyokong filem ini.

“Memang saya tidak begitu fasih loghat Perak, tetapi bila diberi kepercayaan saya buat juga. Saya hanya belajar dari krew dan pengarah sendiri. Saya harap peminat dapat sokong filem ini,” katanya.

Filem ini sudah pun menemui penonton sejak 18 Disember lalu.