Situasi tersebut dialami sendiri oleh isteri Datuk Jamal Abdillah, Datin Zai Izzati Khiruddin ketika menemani suaminya tidak lama dahulu dalam satu majlis.

Bercerita mengenai hal tersebut, Zai Izzati, 24, memberitahu, ketika berada dalam acara tersebut, ramai peminat Jamal, 59, yang mahu merakamkan gambar kenangan dengan Raja Pop tersebut.

“Tetapi secara terus terang peminat tersebut memberitahu yang dia tak mahu saya ada dalam gambar mereka berdua. Dia hanya mahu bergambar dengan suami saya,” ujar Zai Izzati sambil tersenyum.

Bagaimanapun, ujar wanita ini, dia tidak terasa hati atau terganggu dengan situasi tersebut kerana memahami Jamal bukan milik mutlak dirinya.

“Saya faham yang ragam manusia ini pelbagai. Suami saya juga ada ramai peminat dalam kalangan wanita. Situasi seperti ini tidak boleh dielak kerana sudah pasti ramai yang mahu bergambar dengannya.

“Namun itu tidak menjadi masalah kepada saya kerana bila di luar dia adalah milik masyarakat. Tetapi kembali ke rumah, dia adalah suami saya,” kata Zai Izzati.

Bercerita lanjut mengenai pernikahan mereka yang berlangsung pada 1 April tahun lepas, jodoh yang diatur keluarga itu diterima seikhlasnya oleh Zai Izzati.

Menjadi isteri kepada seorang bintang ternama dengan jurang usia 35 tahun, perkahwinan menukar sifat lahiriahnya yang masih muda kepada wanita yang lebih dewasa.

“Perkahwinan membuatkan saya lebih matang dan saya kena belajar memahami diri Jamal. Kena banyak bersabar dan saya kena jadi lebih tua. Apa pun, Jamal seorang lelaki penyayang.

“Sekarang ini saya belajar menyesuaikan diri dengan cara hidupnya dan suasana luar apabila saya menemani suami,” kata Zai Izzati.

Sekadar mengenali Jamal sebagai seorang penyanyi, dia tidak mengikuti perkembangan seni bintang itu malahan lagu-lagunya juga tidak pernah menjadi siulan hati muda Zai Izzati.

“Saya tidak tahu lagu-lagu popular suami saya sebab jurang generasi kami yang berbeza. Cuma sekarang barulah saya tahu beberapa buah lagunya seperti Sepi Seorang Perindu,” kata Zai berterus-terang yang disambut gelak oleh Jamal yang duduk di sebelahnya.

Keguguran pada usia enam minggu

Bercerita mengenai projek terkininya, Jamal bakal muncul dalam sebuah konsert istimewa bergandingan dengan Datuk M.Nasir pada 6 Ogos hingga 11 Ogos ini di Istana Budaya.

Pada masa yang sama, beliau bakal muncul bersama-sama Dayang Nurfaizah dalam Luncheon With The Stars sempena Minggu Setiausaha anjuran Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 25 April ini.

Bagi mereka yang berminat untuk menyaksikan persembahan Jamal dan Dayang Nurfaizah, harga tiket bermula dengan RM280 sehingga RM500 seorang mengikut meja. Untuk sebarang maklumat, boleh menghantar e-mel kepada [email protected],com.my.

Seperti pasangan lain yang mendambakan cahaya mata dalam perkahwinan mereka, Jamal dan Zai Izzati tidak ketinggalan bersedia menerima kehadiran orang baharu dalam hidup mereka.

Sepatutnya sekitar lapan bulan akan datang, pasangan itu menimang cahaya mata sulung mereka namun sudah tertulis bahawa rezeki belum sampai apabila Zai Izzati keguguran ketika kandungannya berusia enam minggu.

Berkongsi berita duka itu, Zai Izzati berkata, dia dan Jamal sangat sedih dengan peristiwa itu.

“Saya dapat lihat wajah sedih pada Abang (Jamal). Namun kami yakin ada rezeki lagi untuk menimang cahaya mata pada masa depan, Insya-Allah,” kata Zai Izzati.

Bagaimanapun Jamal dan Zai Izzati yakin bahawa Allah memiliki sebaik-baik rencana buat mereka.

“Saya percaya ada yang terbaik menanti kami berdua pada masa depan,” jelas Jamal pula.

Jodoh kami bukan cinta pandang pertama – Jamal

JAMAL atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali mengakui, perkenalan yang diatur menerusi keluarga dan rakan lebih setahun lalu tidak menimbulkan bibit cinta pandang pertama seperti sangkaan ramai.

Sekadar bertemu mata hanya sekali namun hati lelakinya tahu jodoh yang diusahakan itu adalah satu anugerah terindah yang Allah berikan ketika dia hidup berseorangan dalam meniti usia 58 tahun.

“Walaupun saya ramai peminat perempuan tapi saya kurang skil untuk berkomunikasi. Jadi apabila ada orang yang memperkenalkan saya kepada isteri, saya terima bulat-bulat.

“Saya tidak mencari jodoh tetapi jodoh itu datang sendiri. Dan sejujurnya ini bukan cinta pandang pertama.

“Malah selepas berkahwin, saya mengambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan diri kerana umur kami berbeza. Dia jauh lebih muda daripada saya jadi ada banyak karakter orang muda yang ada pada dirinya yang saya perlu bertoleransi.

“Banyak yang perlu saya belajar daripada dia dan dia juga banyak belajar daripada saya dalam soal kehidupan. Zai Izzati anugerah terindah dari Tuhan dan akan menjaganya sebaik mungkin,” kata penghibur yang sangat masyhur dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini lagi.

Membawa isteri menemaninya dalam setiap majlis juga sudah tidak menjadi janggal buat Jamal malah dirasakan semakin selesa dan menyenangkan.

“Selama ini saya tidak berteman tetapi sekarang isterilah yang menjadi teman saya ke mana-mana sahaja. Lagi pun dia orang yang paling rapat dalam hidup saya ketika ini.

“Saya hargai dan sanjungi isteri jadi tidak ada salahnya saya bawa dia setiap kali saya berurusan di luar. Sesuai masanya juga kerana kami sudah bernikah 11 bulan dan sudah tidak janggal lagi,” ujar penyanyi lelaki yang bersuara emas itu.

Secara jujurnya, Jamal mengakui, bertemu jodoh dengan wanita muda dan hampir sebaya dengan anak sulungnya, Osama Yamani, 17, merupakan hal yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

Ini kerana, menurut Jamal, sepanjang sedekad bergelar duda, beliau tidak menyimpan sebarang hasrat untuk kembali berumah tangga kerana kegagalan tiga perkahwinan terdahulu masih terasa.

Namun beliau tidak mampu menolak aturan Allah yang menemukannya dengan Zai Izzati yang disifatkan penyanyi itu sebagai isteri, kekasih dan teman paling akrab yang begitu menyayanginya.

“Allah telah memberikan saya ketenangan menerusi perkahwinan ini. Walaupun sebelum ini saya tak fikir nak kahwin lagi tetapi kehadiran Zai Izzati banyak mengubah pandangan saya mengenai kebahagiaan berumah tangga. Saya sangat-sangat bersyukur,” kata Jamal.

Sehubungan itu, Jamal memberitahu, keterbukaan Osama menerima kehadiran Zai Izzati sebagai ibu tiri amat disyukurinya.

“Osama sangat okey dan dia boleh menerima kehadiran Zai Izzati. Keterbukaan Osama serta ahli keluarga yang lain amat-amat menggembirakan saya,” kata Jamal lagi.

Selain Osama yang merupakan anak daripada perkahwinan kedua dengan Noraina Mohd Yusof, Jamal juga mempunyai seorang lagi cahaya mata, Ahmad Zaki Yamani, 11, menerusi perkahwinan ketiga dengan Fatimatuhzahrah Samad.

Sementara perkahwinan pertama Jamal ialah dengan Basariah Abdul Latiff.