Itu luahan seorang ayah bernama Rosli yang kematian anak perempuan tunggal.

Apa yang terpacul keluar daripada mulut beliau kepada dua lagi anak lelakinya itu jelas menggambarkan duka seorang ayah kehilangan anak jauh lebih melara berbanding anak-anak yang kematian orang tua.

Orang tua yang mengasuh, mendidik dan mencurahkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi lazimnya meletakkan kepentingan anak-anak di kedudukan teratas berbanding kepentingan peribadi.

Lalu, apabila anak tercinta dijemput Yang Maha Esa, seluruh kasih dan kekuatan ayah selama ini bagaikan dibawa bersama ke lahad.

Kata-kata sudah tidak mampu lagi untuk menterjemahkan betapa luluh dan pilu hati si ayah kerana kehilangan peluang untuk mendakap, mencium dan bermesra dengan permata hatinya.

Rasa kehilangan yang tidak mampu dizahirkan dengan kata-kata oleh Rosli (lakonan Jalil Hamid) dalam filem Bisik Pada Langit mengundang emosi yang bukan sedikit dalam kalangan penonton.

Jalil tidak sekadar berlakon sebagai ayah dalam Bisik Pada Langit, tetapi jauh daripada itu, seniman terbilang itu memberikan nilai-nilai dan karakter seorang ayah yang sebenar dalam melindungi anak perempuannya.

Bukan perkara yang jengkel dalam norma masyarakat apabila seorang ayah bertindak begitu berlebih-lebihan dalam melindungi anaknya, apa lagi anak perempuan tunggal dalam keluarga bernama Siti Hajar (lakonan Ummi Nazeera).

Lantaran kasih dan sayang yang mendalam terhadap Hajar, Rosli menjadi seorang ayah yang terlebih-lebih melindungi anak perempuan tunggal itu sehingga terlepas pandang pada dua anak yang lain.

Namun, takdir menentukan, hayat Hajar tidak lama. Kecelakaan jalan raya meragut nyawanya. Hajar yang sememangnya menggemari kegiatan lasak telah menunggang motosikal mengelilingi Australia sebelum pulang ke tanah air.

Rosli yang mendapat berita sedih itu bertegas mahu ke Australia walau terpaksa bergolok bergadai menjual tanah semata-mata untuk membawa pulang anaknya sekalipun ditentang oleh adik-beradik dan keluarganya sendiri.

Pemergian Hajar bagaimanapun, membuka mata Rosli untuk kembali merenung pendirian yang selama ini beranggapan sebagai seorang bapa, apa sahaja yang keluar dari mulut benar belaka dan perlu sentiasa mendengar katanya. Pendek kata semua wajib dipatuhi anak-anak tanpa syarat.

Semasa hayatnya, Hajar begitu menyayangi dan mengagumi ayahnya. Pada mata Hajar, ayah merupakan seorang hero yang menjadi kebanggaannya. Itulah lelaki yang membentuk karakternya.

Hajar juga mempunyai seorang abang, Zaidi (lakonan Beto Khusairy) dan adik, Iqram (lakonan Naim Daniel) yang kedua-duanya seakan dinafikan kehadiran mereka oleh Rosli.

Iqram secara terang-terangan memperlihat rasa kurang senang dan cemburu terhadap cara Rosli melayan anak-anak sedangkan Zaidi pula sebagai anak sulung digambarkan dalam jalan cerita itu sebagai seorang anak yang taat pada ayah dan ibunya, Nab (lakonan Datin Fadillah Mansor).

Barangkali, ada segelintir daripada kita yang akan mempertikai kenapa Rosli bersikap sedemikian sedangkan sebagai ketua keluarga, dia seharusnya menjadi seorang pemimpin yang adil pada anak-anaknya.

Nah, di sini kita dapat melihat bagaimana naskhah Bisik Pada Langit mengupas secara jujur hal-hal yang sebetulnya sudah menjadi kebiasaan dalam keluarga masyarakat Melayu khususnya.

Rosli yang terlalu kagum dengan kepandaian Hajar sehingga anaknya itu mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Australia seakan kabur dengan kehadiran Zaidi dan Iqram. Begitu juga dengan isterinya, Nab yang begitu menghormati suaminya juga seakan tidak dipedulikan oleh Rosli.

Jalil bukan sekadar berlakon

KEPADA yang belum menonton, harus dijelaskan bahawa plot penceritaan Bisik Pada Langit sangat sederhana dan tidak menuntut akal yang panjang untuk memahami karakter demi karakter.

Namun, apa yang paling utama dalam naskhah arahan Kabir Bhatia ini ialah nilai kekeluargaan yang ditonjolkan, sekali gus melekat di jiwa penonton.

Kita harus mengakui karya yang berkisar sebuah keluarga lazimnya banyak ditonjolkan dalam filem-filem Bollywood dan drama televisyen.

Namun, Bisik Pada Langit memikul keberanian mengangkat kisah keluarga ke layar perak iaitu trend yang sudah lama dilupakan oleh pembikin-pembikin filem Melayu.

Kekuatan Bisik Pada Langit tidak hanya pada jalan cerita yang kemas, tetapi naskhah ini memberi tumpuan yang mendalam pada aspek lakonan oleh setiap seorang daripada mereka yang menjadi tunggak kekuatan filem ini.

Dan tentu sekali, Jalil Hamid berada di kedudukan paling teratas mencarik-carik emosi penonton. Hati sesiapa pun akan mudah tersentuh melihat penjiwaan Jalil yang terlalu dekat dengan karakter seorang ayah.

Kebijaksanaan Jalil ialah beliau mengajak penonton untuk sama-sama menghayati gejolak rasa seorang ayah sekalipun tanpa dialog, namun air mukanya sahaja sudah cukup untuk meruntun hati.

Kekuatan Bisik Pada Langit turut disokong oleh lakonan Beto Kusyairy, Naim Daniel, Ummi Nazeera, Fadilah Mansor dan Erwin Dawson. Keberkesanan setiap karakter dapat dilihat dalam naskhah yang berdasarkan idea asal Saniboey Mohd. Ismail.

Sejujurnya, banyak aspek menarik dalam Bisik Pada Langit yang wajar diberi perhatian terutama dalam beberapa babak yang mengundang air mata penonton khususnya ketika Rosli mengajar Hajar mengucap kalimah syahadah walau hanya melalui telefon.

Ketika itu, jelas tergambar rasa luluh dan peritnya pada wajah dan gerakan tubuh Wak Rosli kala menyedari Hajar sudah menghembuskan nafas yang terakhir.

Demikian juga ketika Nab menatap dan mengusap wajah Hajar yang dikafan untuk kali terakhir mengundang sendu yang bersahut-sahutan dalam pawagam.

Bisik Pada Langit hakikatnya sangat dekat dalam kehidupan sesiapa sahaja lebih-lebih lagi mereka yang telah kehilangan ayah dan ibu.

Seperti yang diungkapkan Hajar dalam Bisik Pada Langit: “setiap kali Hajar tengok langit dari fajar sampai ke duha hingga ke maghrib, Hajar sentiasa doakan mak ayah.”

Nilai kekeluargaan

Pencetus pada idea penerbitan Bisik Pada Langit, Saniboey Mohd. Ismail memberitahu, inspirasi beliau dalam penghasilan naskhah ini bertitik tolak pada nilai kekeluargaan yang sangat dekat dengan dirinya, seperti mana orang lain.

Menurut Saniboey, sebilangan besar daripada kita khususnya yang pernah berpengalaman kehilangan ahli keluarga tercinta pasti akan terkesan dengan pemergian itu sehingga menjadikan hubungan kekeluargaan akan berubah.

“Apabila ada kematian dalam keluarga, hubungan keluarga akan retak dan patah. Yang tinggal hanya seorang atau sesiapa lain yang akan baiki keluarga itu kembali menjadi akrab.

“Mesej itulah yang menjentik keinginan, harapan dan idea saya untuk menterjemahkan dalam sebuah naskhah layar perak. Alhamdulillah berkat kerjasama dengan dua penulis skrip iaitu Maizura Ederis dan Sofia Rhyland, Bisik Pada Langit arahan Kabir menepati apa yang saya dambakan,” kata Saniboey yang turut mengakui beliau turut terpengaruh dengan karya hebat dari Hollywood seperti Ordinary People arahan Robert Redford (1980) dalam penghasilan idea Bisik Pada Langit.

Namun, dalam masa sama, Saniboey tidak menafikan kerja-kerja seni yang kemas daripada Kabir juga banyak menyumbang pada kekuatan Bisik Pada Langit yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

“Susun atur dan konsep jalan penceritaan yang ditampilkan Kabir Bhatia yang rata-ratanya berteraskan kekuatan hubungan kekeluargaan, permainan emosi yang pasti mampu menggolak hati penonton dan suntikan beberapa elemen yang luar dari kebiasaannya seperti faktor dramatik yang menampilkan seorang wanita meminati bidang pemotoran berkuasa tinggi dan konsep sinematografi yang menekankan pelbagai aspek artistik,” jelas Saniboey yang juga Ketua Unit Drama Premium dan Filem Astro.