Queen yang kerap mendapat pujian pengkritik filem itu juga mengangkat pelakon utamanya, Kangana Ranaut sebagai pemenang kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Kangana mengalahkan Anushkha Sharma dalam filem PK, Alia Bhatt (2 States), Rani Mukherji (Mardaani), Priyanka Chopra (Mary Kom) dan Deepika Padukone (Happy New Year) dalam kategori yang sama.

Kemenangan itu merupakan kali kedua buat wanita berusia 28 tahun itu kerana dia pernah memenangi kategori sama dalam Anugerah Filem Kebangsaan Ke-62 di India pada tahun lalu.

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pula, kemenangan berpihak kepada Shahid Kapoor yang membawakan watak protagonis dalam filem diadaptasi daripada tragedi Hamlet oleh William Shakespeare.

Lakonan hebat lelaki berusia 34 tahun itu mengalahkan pesaing terdekatnya iaitu, Aamir Khan dalam filem PK, Hrithik Roshan (Bang Bang!) dan Shah Rukh Khan (Happy New Year).

“Saya berterima kasih kepada Pengarah, Vishal Bhardwaj yang memberi peluang kepada saya untuk membawakan watak ‘menakutkan’ ini.

“Ini kerana selama ini saya beranggapan masyarakat tidak akan suka dengan watak yang saya bawa apatah lagi pada keseluruhan isi cerita filem,” katanya.

IIFA-16 turut menyaksikan kemenangan Tabu sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam filem Haider manakala Riteish Deshmukh sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Ek Villian).

Kay Kay Menon memenangi kategori Pelakon Terbaik Watak Negatif menerusi lakonannya dalam filem Haider manakala Pelakon Harapan dimiliki Tiger Shroff (Heropanti).

Bagi kategori Pengarah Terbaik IIFA-16 pula dimenangi oleh Rajkumar Hirani yang mempertaruhkan filem kelapannya berjudul PK.