Kesungguhan yang diberikan kumpulan golongan orang kurang upaya (OKU) yang cacat penglihatan itu membuatkan saya terkilan dengan komitmen sendiri kerana tatkala itu masih lagi diulit mimpi. Sedangkan mereka sudah bersiap untuk berkunjung ke pejabat saya.

Juga tidak sangka, pelawaan untuk mengadakan sesi fotografi bersama Utusan tidak ditolak oleh Caliph Buskers. Bahkan mereka turut mengucap syukur kerana ada yang prihatin dan menghargai bakat mereka.

“Hidup dalam kegelapan dengan membayangkan warna-warna kehidupan bukanlah suatu yang mudah bagi individu seperti kami.

“Pelbagai cabaran yang perlu kami atasi sejak lahir lagi. Tapi dengan tahap penglihatan yang terhad, kami tidak pernah membataskan segalanya.

“Kami bangkit untuk buktikan pada semua yang kami boleh buat apa sahaja walaupun ada kekurangan. Terima kasih ya sebab panggil kami untuk sesi fotografi.

“Saya fikir ini adalah jalan yang terbaik untuk lebih ramai orang mengenali kami, lagi-lagi insan yang senasib dengan kami,” tutur Azmi, vokalis kumpulan Caliph Buskers.

Kata-katanya itu membuatkan saya menitiskan air mata kerana yang celik pun belum tentu cukup sempurna jiwa dan akal fikiran mereka.

Kecekalan yang dimiliki anggota kumpulan ini yang juga terdiri daripada Wan, Fendy, Zaki dan Syahzmeen sudah cukup membuktikan kepada masyarakat normal, bahawa mereka boleh melakukan apa sahaja tanpa bantuan.

Mengakui tidak pernah meminta bantuan sesiapa, Zaki, anggota paling tua memberitahu, kumpulan Caliph Buskers sebenarnya ditubuhkan atas usaha sendiri.

“Memiliki kebolehan bermain alat muzik dan suara yang dianugerahkan Tuhan, kami tahu itu satu peluang untuk kami mencari rezeki.

“Bermula dengan berjumpa antara satu sama lain di depan sebuah bank di Brickfields awal Februari tahun lalu, kami memulakan langkah sebagai pemuzik jalanan.

“Biarlah orang pandang kami sebagai peminta sedekah sekalipun, apa yang kami tahu ketika itu adalah memperjudikan sahaja bakat yang kami ada demi sesuap nasi.

“Kami mahu tunjuk pada orang ramai bahawa kami mampu berdikari dengan melakukan kerja tanpa menunggu bantuan atau bergantung pada orang lain.

“Sekali gus, usaha ini akan mengubah persepsi orang ramai yang beranggapan OKU seperti kami hanya tahu meminta sedekah untuk kelangsungan hidup,” kata gitaris yang berusia 36 tahun itu.

Single?

Mengenai perancangan seterusnya setelah tampil bersama Mojo di sebuah majlis anugerah lagu dan berjaya menambat hati penonton.

Sebagai vokalis, Azmi berkata, mereka memang tidak pernah terfikir untuk berada di hadapan ribuan penonton sambil menerima sorakan dan tepukan gemuruh.

“Selepas Encik Edry membawa kami dan mempelawa baharulah kami sedari bakat kami dinilai dan dihargai sebegitu rupa. Memang sungguh berani tindakan Edry membawa kami.

“Peluang dan ruang itu sudah terbuka buat kami. Tapi, belum ada kata putus untuk kami bersama di bawah pengurusan KRU.

“Cuma, sekarang kami sudah merakam single Romancinta versi akustik. Untuk single lain semua itu masih dalam proses perbincangan,” tuturnya yang turut berkebolehan menyanyi lagu berbahasa Arab, Cina, dan Hindustan.

Buskers profesional

Menanam impian untuk menjadi buskers profesional, kata Zaki semua itu tidak mustahil.

Walaupun tidak pernah menghadiri mana-mana kelas vokal atau kelas muzik, Zaki berkata, cita-cita itu sudah pun disemai ketika mula menubuhkan kumpulan itu pada awalnya.

“Kalau kami berani membina kumpulan ini. Kenapa kami mahu berhenti selepas peroleh kejayaan?

“Sudah semestinya kami akan memantapkan lagi kumpulan ini agar kami menjadi buskers yang profesional. Kerana selepas ini, kami akan terus menghiburkan orang di jalanan.

“Kami juga mahu menjadi contoh kepada rakan-rakan senasib. Kami boleh berjaya,” tegasnya.

Mengulas lebih lanjut mengenai hal tersebut, Zaki berkata, apa yang mereka lakukan hari ini boleh dianggap sebagai satu kerjaya, kerana di luar negara busker (penyanyi jalanan) dikategorikan sebagai satu pekerjaan.

“Seronok juga membuat pekerjaan seperti ini. Ini langkah kami kepada pemuzik hebat pada masa depan,” katanya sambil memberitahu jemputan untuk membuat persembahan sudah penuh sehingga Jun ini.

Jadi tukang urut

Sebelum ini, kesemua anggota kumpulan Caliph Buskers menampung hidup sebagai tukang urut. Pun begitu, hasil yang diperoleh tidak cukup untuk membiayai kehidupan seharian membuatkan mereka memilih menyanyi sambil menghiburkan orang ramai di beberapa kawasan tumpuan di ibu kota.

“Lokasi terakhir kami adalah berhadapan pusat membeli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Ini kawasan yang paling strategik yang kami rasa selepas kami dibenarkan menyanyi di pintu hadapan pusat membeli- belah NU Sentral, Kuala Lumpur, selama tiga bulan.

“Namun, kami rasakan tempat itu baharu dan tidak ramai pengunjung. Takut juga kalau hasil kami kurang. Selepas itu, kami terus ke hadapan Sogo.

“Ternyata usaha kami ke situ berbaloi. Di situ kami melihat sinar baharu dalam kehidupan kami terutamanya saya yang sudah berkahwin dan punya anak dua.

“Kami mampu meraih pendapatan antara RM50 hingga RM60 seorang hanya menyanyi bermula pukul 5 hingga 7 petang. Itu sudah cukup. Kami tidak pernah bermain muzik sehingga lewat malam. Paling lama sampai pukul 9 malam,” kata Zaki.

Ditanya mengenai keizinan membuat persembahan di zon pemantauan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Zaki memberitahu, mereka telah memperoleh permit daripada pihak berkuasa.

“Sebab itu, kami bebas mencari rezeki sepanjang kaki lima di mana-mana sahaja asalkan berada dalam sekitar Kuala Lumpur.

“Tapi, untuk peroleh permit ini, kami perlu mengikuti sesi uji bakat oleh DBKL. Permit yang diberikan juga sah hanya setahun.

“Sepanjang menggunakan permit itu, kami juga perlu mengikuti bengkel atau program terutama untuk memantapkan tahap penghibur. Kami diajar oleh pemuzik-pemuzik profesional,” jelasnya.