Bagaimanapun kata Mona atau nama sebenarnya Munna Hafiraneza Allen, bergelar isteri kepada Pekin Ibrahim membuka kisah lebih bahagia untuk dirinya.

“Selepas berkahwin sebenarnya tidak ada yang berbeza sebab saya dan dia masih sibuk. Malah selepas bernikah saya hanya sempat bercuti beberapa hari sebelum kembali ke set penggambaran.

“Cuma kini bila keluar bersama, orang mula perasan yang kami kini suami isteri. Ada juga yang suka kami sudah berkahwin dan sentiasa mendoakan kebahagiaan kami,” katanya.

Mula mengenali Pekin di pentas peragaan 18 tahun lalu, Mona turut memberitahu ada sisi rahsia suaminya itu yang jarang diketahui oleh orang lain.

Malah tidak dinafikan Mona, sikap Pekin itu yang berjaya meyakinkan dia untuk menerima lamaran lelaki itu.

“Apa yang boleh saya cakap dia adalah seorang berbeza ketika di hadapan kamera. Bila bersama saya, Pekin membawa karakter dirinya yang sebenar.

“Saya sangat bertuah mempunyai dia sebagai suami. Selain seorang yang penyayang Pekin juga sangat kelakar sebenarnya,” jelas Mona.

Sama seperti pasangan berkahwin lain, mereka juga sentiasa mengharapkan rezeki untuk cahaya mata. Bagaimanapun tiada sebab untuk mereka berasa tertekan kerana yakin dengan perjalanan hubungan yang masih baru bermula.

“Kami tidak kisah, kalau ada rezeki memang kami menerimanya dengan hati terbuka.

“Cuma fokus terdekat buat masa ini mahu selesaikan dahulu kerja sebelum terbang berbulan madu ke Santorini, Greece,” kongsinya lagi.

Kisah cinta rahsia

Penyebaran gambar perkahwinan mereka dalam laman sosial baru-baru ini mengejutkan banyak pihak. Malah ada yang tidak percaya itu adalah gambar perkahwinan sebenar memandangkan Mona dan Pekin sendiri tidak pernah berkongsi kisah cinta mereka secara umum.

Menolak sengaja mahu mewujudkan sensasi, kongsi Mona, dalam soal ini dia sentiasa menghormati permintaan keluarga.

“Sebelum bernikah pada Disember lalu kami sebenarnya sudah mengikat tali pertunangan selama lima bulan. Dalam tempoh itu tidak ada niat untuk merahsiakan hubungan. Malah kalau keluar bersama, ada yang ingin bergambar kami juga tidak menolak.

“Soal perkahwinan pula memang kami tidak mengadakannya secara besar-besaran memandangkan ini adalah permintaan kedua belah keluarga yang hanya mahukan sebuah majlis yang sederhana.

TIDAK merahsiakan hubungan cinta, tetapi sekadar tidak menghebohkan kepada umum.
TIDAK merahsiakan hubungan cinta, tetapi sekadar tidak menghebohkan kepada umum. 

“Bukan sengaja mahu merahsiakan hubungan. Saya dan Pekin hanya memilih untuk tidak terlalu berkongsi,” jelasnya panjang lebar.

Menimbulkan persoalan sama ada Mona adalah wanita yang pernah dimaksudkan Pekin sebagai kekasihnya yang hanya didedahkan sebagai seorang model kacukan, namun  Mona tidak mahu menjelaskan persoalan itu.

Katanya dalam soal ini hanya Pekin yang lebih mengetahui.

“Soalnya Pekin sendiri tidak mendedahkan siapa model tersebut, boleh jadi saya memandangkan saya juga adalah seorang model.

“Buat masa ini semua orang hanya boleh membuat spekulasi sahaja,” katanya tersenyum.

Ratu antagonis

Berbeza dengan beberapa pelakon lain yang agak takut untuk membawakan watak antagonis, bagi Mona ada kelebihan untuk dia terus diberikan watak sebegini.

Melihat ia sebagai satu peluang untuk membuktikan kemampuan, katanya, dia tidak kisah sekiranya digelar ‘ratu watak antagonis’

“Saya tidak kisah jika diberikan gelaran sebegitu. Itu bermakna saya membawakan watak dengan baik. Memang saya lebih suka membawakan watak antagonis kerana lebih mencabar.

“Namun dalam memastikan watak yang diberikan tidak statik, saya akan bezakan cara penyampaiannya,” jelasnya yang kini membintangi drama Dia Menantu Rahsia.

Tidak melihat ada masalah untuk berhadapan dengan penonton yang terbawa-bawa dengan watak antagonis, kata Mona, keadaan itu selalunya tidak mendatangkan masalah untuknya sebagai pelakon.

“Saya tidak kisah kalau ada penonton yang terbawa-bawa dengan watak yang saya pegang sebab selalunya bila jumpa di luar, baru mereka tahu itu sekadar watak sahaja,” ujar Mona.

Tiada syarat

Sedar akan status yang dibawanya kini, Mona tidak pernah melihat perkahwinan sebagai satu penghalang untuknya bergelar seorang pelakon yang disegani suatu hari nanti.

Walaupun baru tiga tahun berada dalam industri, dia yakin dengan peluang yang akan diberikan kepadanya.

“Saya tidak melihat perkahwinan akan menyekat impian saya untuk bergelar seorang pelakon yang baik. Sebab saya yakin dengan kemampuan, malah peminat juga kini lebih bijak menilai.

“Sepanjang tiga tahun bergelar seorang pelakon, saya melihat perlu menjadi seorang yang teliti dalam memilih watak. Sebab dalam setiap watak yang diberikan saya perlu pastikan lebih mencabar daripada watak terdahulu,” jelasnya lagi.

MAJLIS perkahwinan pasangan Pekin Ibrahim dan Mona Allen dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat
MAJLIS perkahwinan pasangan Pekin Ibrahim dan Mona Allen dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat sahaja.

Sementara itu, Mona juga tidak menolak suatu hari nanti akan ada peluang untuk dia bekerjasama dengan suaminya Pekin dalam sebuah naskhah.

“Saya memang menantikannya. Saya tidak ada masalah untuk bekerja dengan dia atau berada di bawah pengarahan dia. Sebabnya kami mempunyai banyak persamaan dalam pemilihan watak.

“Selepas berkahwin juga, Pekin sebagai suami meletakkan sepenuh kepercayaan kepada saya. Jadi tidak timbul ada syarat yang diletakkan dia sebagai suami kerana pada tahap ini saya jelas dengan batas yang perlu dipatuhi,” kongsinya lagi.