Masakan tidak, lima tahun memegang profesion sebagai penjawat awam di Jabatan Bomba & Penyelamat Putrajaya, penyanyi berusia 24 tahun itu tidak pernah menyangka mempunyai kerjaya kedua sebagai penyanyi bagi menampung kehidupannya.

Segala-galanya bermula apabila single sulungnya berjudul Sayang Maafkan Aku yang dirakamkan tahun lalu berjaya memperkenalkan namanya dalam radar muzik tanah air.

Siapa menyangka daripada sekadar suka-suka kini dia mulai mengecapi glamor dan populariti serta harus membiasakan diri dengan karier kedua itu secara serius.

Bersyukur kerana para pegawai atasan tempatnya bertugas memahami minatnya dalam dunia seni serta memberi sokongan, tidak timbul kesulitan untuk membahagikan masa dengan tugas hakiki sebagai anggota bomba.

“Alhamdulillah, pihak pengurusan saya iaitu MVM Music juga faham tuntutan kerja saya. Malah ketua di jabatan tiada masalah dengan kerjaya nyanyian saya asalkan tidak mengganggu waktu bekerja.

“Kerja hakiki hanya pada waktu pejabat sahaja. Jadi saya ada masa terluang pada sebelah malam dan hujung minggu. Jadi pihak pengurusan MVM Music akan menyusun jadual nyanyian saya mengikut kekosongan masa saya.

“Kalau ada persembahan yang memerlukan saya memohon cuti tahunan, saya akan berbincang dengan pegawai tempat saya bertugas sebelum membuat keputusan. Itu dikira urusan hal luar, jadi tidak mengganggu pun,” ulasnya.

Tambah Syafiq atau Nursyafiq Farhain AM Salim, dia juga tidak terbeban memikul dua kerjaya selagi kudratnya diperlukan.

“Alhamdulillah, buat masa ini okey saja. Saya boleh ikut rentak kedua-dua bidang jadi tiada istilah terbeban dan sebagainya. Sebab dunia nyanyian ini bukannya seratus peratus sibuk.

“Saya akui sepanjang setahun bergelar penyanyi, memang banyak cuti yang diambil tetapi Alhamdulillah tidaklah sampai cuti tahunan saya habis.

“Saya tidak kisah walaupun terpaksa memohon cuti untuk menjayakan persembahan kerana itu adalah urusan peribadi dan rezeki,” kongsinya yang sering melibatkan diri sebagai penyanyi di majlis rasmi anjuran Bomba.

Justeru, kata Syafiq tidak terlintas untuknya melepaskan jawatan sebagai anggota unit beruniform itu hanya untuk fokus kepada dunia nyanyian.

Bukan takut untuk menanggung risiko bersaing dengan ramai artis baharu tetapi anak muda ini percaya ada rezeki yang dilimpahkan untuk dirinya dalam dua bidang berkenaan.

“Saya takkan lepaskan jawatan sebagai anggota bomba. Pada saya, masa bukan faktor utama yang akan membuatkan saya berhenti kerja.

“Seandainya satu hari nanti nama saya semakin meningkat naik dalam bidang nyanyian, kita tengoklah rezeki berpihak di sebelah mana dulu. Sebab kalau kita tengok artis ‘otai’ sebelum ini, tak semua berjaya sampai sekarang.

“Situasi dalam seni ini ada pasang surutnya. Masa surut itulah yang bahaya. Kita sendiri tak tahu rezeki datang macam mana. Jadi,selagi boleh ikut jadual kedua-dua bidang tersebut, saya patuh sahaja.

“Ya, saya juga perlu berkata jujur kerana bukan mudah untuk bersaing dan teguhkan nama apabila ramai artis baharu muncul,” luahnya.

Sudah cukuplah!

SYAFIQ turut memohon untuk tidak lagi mengungkit kisah lama insiden perselisihan faham yang berlaku antara dirinya dan bapanya, penyanyi Saleem.

Ini kerana bimbang akan mengeruhkan keadaan yang sudah kembali tenang selain mendengar nasihat pihak pengurusan untuk tidak lagi mengaitkan kisah yang sudah lepas dalam kariernya yang baru berputik.

“Yang lepas biarlah lepas. Biarlah orang nak kata apa pun. Kadang kala orang yang berkata itu mereka sendiri tidak tahu apa-apa tetapi nak juga berkata. Akhirnya benda yang tak betul pula yang tersebar.

“Kalau ikutkan, pihak pengurusan sudah menasihati saya kalau boleh jangan babitkan lagi perkara-perkara begini dan mencampur adukkan dengan urusan kerjaya.

“Mereka tak mahu lagi saya dikaitkan dengan isu begini. Tetapi kalau dari sudut peribadi saya pula, saya okey sahaja,” ujarnya.

Kekal genre balada

MASIH mengekalkan genre balada, Syafiq menghadiahkan single kedua berjudul Kamar Hati kepada peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan dan komen positif untuknya terus berdiri megah di persada seni.

Menganggap buah tangan baharunya itu sebagai kesinambungan single pertama, jelas Syafiq, ada sesuatu yang istimewa mengenai lagu hasil ciptaan Harry Khalifah dan Room None tersebut.

“Lagu ini menceritakan tentang rasa hati terhadap seseorang yang disayangi dan ada kaitan dengan jalan hidup saya. Boleh dikatakan ini merupakan sambungan lagu pertama.

“Kamar Hati dilancarkan pada Februari lalu dan setakat ini sudah mencecah lebih sejuta tontonan di YouTube. Rata-rata memberi komen yang positif. Saya akui bukan mudah membawakan lagu ini kerana menguji lontaran vokal saya lebih-lebih lagi kalau menyanyi secara langsung,” jelasnya.