KAMAL ADLI bersama Emma Maembong selepas menjuarai program Super Spontan Superstar 2017 di Kuala Lumpur semalam.

Meskipun mengakui hu­bungan mereka berhadapan dengan sedikit masalah buat masa sekarang, namun Kamal masih dalam usaha memujuk kekasih hatinya itu untuk kembali berbaik-baik.

“Hubungan kami dah empat tahun dan saya sudah bersedia untuk memberi komitmen perkahwinan, begitu ju­ga dengan keluarga saya yang sudah memberi restu.

“Tetapi ada halangan yang wujud. Saya tak boleh beritahu kerana orang luar tak akan faham malah tak tahu apa yang saya rasa.

“Siapa yang tak mahu berkahwin dan berkeluarga? Kepada Emma, ada jodoh kita kahwin. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” katanya.

Tahu bahawa Emma ada mengeluarkan kenyataan memutuskan hubungan mereka, Kamal mengaku memahami tindakan buah hatinya itu yang sedang dalam keadaan marah.

Lega kerana tiada pertengkaran antara mereka, pelakon ini menganggap statusnya dengan Emma sekarang adalah positif dan masing-masing sedang berusaha memperbaiki keretakan yang ada.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kisah tiga penjuru antara dia, Emma dan Zahirah MacWilson, Kamal rela meletakkan kesalahan ke atas dirinya dan memohon maaf kepada semua pihak.

Menurutnya, Zahirah me­lakukan banyak perkara yang tidak membawa kepada usaha menjernihkan, tetapi mengeruhkan lagi keadaan.

Menyifatkan tindakan ke­kasih Zul Ariffin itu tiada lain kecuali cuma mahu menyelamatkan diri sendiri, Kamal kecewa dan kesal Zahirah tidak bercakap benar serta tidak bertanggungjawab de­ngan sebarang kenyataan yang dikeluarkan di media massa.

Kamal dah Zahirah terlibat dalam drama Duda Pujaan Dara pada awal Ogos lalu dan dari situ timbul kisah cinta lokasi menjadikan cinta Kamal dan Emma bermasalah.

Dalam selang masa bermula awal bulan lalu, banyak perselisihan faham berlaku terutama setelah terdapat campur tangan Zahirah yang mengeluarkan kenyataan di media.

Spekulasi perpisahan antara Kamal dan Emma juga kononnya semakin kuat baru-baru ini apabila wujud dakwaan mengatakan Emma tiba-tiba bakal dilamar seorang duda berpangkat Datuk.