Biarpun enggan mendedahkan secara terperinci tarikh pernikahan dan persandingan mereka, namun pasangan pelakon ini dikhabarkan sedang giat membuat persiapan untuk meraikan majlis berkenaan.

Mengakui segala persiapan majlis resepsi di rumah bakal pengantin lelaki sudah hampir siap sepenuhnya, jelas Fasha, dia bagaimanapun masih belum mempunyai masa yang cukup untuk menyempurnakan persiapan persandingan bagi pihaknya di Perlis nanti.

“Persiapan perkahwinan masih belum siap sepenuhnya, malah belum sampai 30 peratus pun. Saya tidak menggunakan mana-mana perunding perkahwinan, segala urusan saya sediakan sendiri dengan bantuan pengurus, Murshid.

“Kalau diikutkan hati, memang risau. Malah saya rasa lebih gementar berbanding perkahwinan dahulu. Saya rasa setiap janda pasti merasainya,” jelas Fasha yang sebelum ini telah menamatkan teka-teki percintaannya bersama Aidil dengan mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup di Ampang pada 18 November lalu.

Impikan majlis perkahwinan yang sederhana, Fasha mengakui bahawa perasaannya tidak begitu beriya-iya dalam menguruskan persiapan tersebut. Namun, dia banyak bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menjalani rutin rumah tangga kelak.

“Saya bukan anak dara lagi, saya rasa untuk perkahwinan kedua ini biarlah semua perkara bersederhana sahaja. Majlis pernikahan dan resepsi sebelah saya akan berlangsung di Perlis dan hanya untuk keluarga terdekat.

“Insya-Allah, acara besar-besaran akan diadakan di Rembau, Negeri Sembilan iaitu di sebelah keluarga Aidil.

“Mereka telah bersedia lebih awal dan segala urusan termasuk pakaian dan kelengkapan perkahwinan telah tersedia, hanya tunggu masa,” ujar Fasha yang akan mengadakan sidang akhbar untuk majlis pernikahannya tidak lama lagi.

Jaga nama baik

Melihat populariti Elisya Sandha yang semakin dipandang bakat dan kebolehannya dalam bidang lakonan, Fasha melahirkan rasa bangga dengan pencapaian yang diperoleh oleh adik kandungnya itu.

Mengakui pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusan Elisya untuk bergelar pelakon, Fasha bagaimanapun terpaksa akur apabila gadis 19 tahun itu dilihat begitu serius mengikut jejak langkahnya.

“Jujurnya pada awal dia memaklumkan keinginan untuk berlakon, saya tidak bersetuju. Saya tidak memberi sokongan kepadanya malah saya minta dia memilih pekerjaan lain kerana pada saya bergelar selebriti tidaklah seindah yang disangka.

“Namun, lama-kelamaan saya nampak dia cukup serius dalam bidang ini. Elisya membuktikan dia boleh berlakon dan saya lihat dia mempunyai bakat selain sentiasa berusaha memperbaiki mutu lakonan.

“Kini saya memberi sokongan penuh kepada minatnya tetapi ada beberapa syarat yang dia perlu jaga. Saya mahu dia menjaga nama baik saya dan yang paling penting dia perlu berdisiplin terutama dari segi masa seperti mana yang saya lakukan sepanjang bergelar artis,” jelas Fasha.

Sebagai pelakon yang berwibawa, Fasha tidak membiarkan Elisya terkontang-kanting tanpa sebarang bimbingan. Sering memberi tunjuk ajar kepada adiknya itu, menurut Fasha, dia mahu Elisya sentiasa memperbaiki mutu lakonan dari hari ke hari.

“Dia selalu bertanya saya tentang teknik lakonan, contohnya macam mana nak menangis atau bagaimana mahu kelihatan natural. Dia sentiasa mahu belajar, ini satu perkara yang bagus.

“Apabila menonton drama lakonannya, saya selalu mencari kelemahan yang dia lakukan. Walaupun saya nampak dia ada asas dalam lakonan dan mempunyai bakat semula jadi, namun saya tetap memberi kritikan agar dia boleh memperbaikinya segera,” kata Fasha yang sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Rizal Ashman Ramli dan dikurniakan dua orang anak, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima.

FASHA SANDHA

Juri DFKL

Dalam perkembangan lain, Fasha dilantik sebagai juri jemputan dan ahli panel untuk sesi uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 di samping pelakon Ashraf Muslim.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, DFKL 2019 mengetengahkan bakat baharu tempatan menerusi program uji bakat, siri jelajah, sesi kongsi idea dan pertandingan drama pendek.

Selain itu, festival edisi keenam itu turut mengangkat tema Realiti Dunia Media Sosial sebagai komponen dalam sesi kongsi idea dan pertandingan drama pendek yang masih dibuka penyertaannya sehingga 1 Mac ini.

“Ini merupakan satu tanggungjawab besar untuk saya galas. Saya pun belum cukup sempurna untuk menilai orang, namun dengan pengalaman yang ada saya akan cuba berkongsi ilmu selain menjadi juri yang terbaik untuk mereka yang datang uji bakat ini nanti.

“Saya suka misi yang dibawakan DFKL. Saya lihat ia satu platform yang baik untuk mencari lebih ramai anak seni seperti pengarah, penulis dan pelakon baharu. Ia akan memeriahkan lagi industri seni terutama dalam lakonan,” kata Fasha.

Perlu berhati-hati dalam menilai setiap bakat yang datang pada uji bakat itu nanti, jelas Fasha, dia mahu mereka yang berjaya benar-benar mempunyai bakat yang besar.

“Kita menilai orang, manalah tahu kalau menang nanti mereka boleh jadi lebih sukses dalam bidang ini.

“Selain mencari mereka yang berbakat, saya juga akan uji peserta dengan beberapa cara. Saya mahu lihat bagaimana cara mereka mengawal keadaan terutama dalam menjawab soalan media atau dalam beberapa situasi lain,” jelas Fasha.

Bengkel DFKL 2019 akan berlangsung dari 22 hingga 24 Mac depan dengan menampilkan tenaga pengajar hebat seperti Erma Fatima, Shahrulezad dan Datuk Rosyam Nor manakala Malam Anugerah DFKL 2019 pula pada 7 April 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Anugerah DFKL 2019 mempertandingkan sembilan kategori iaitu Aktor Pilihan, Aktres Pilihan, Antagonis Pilihan, Pengarah Pilihan, Penulis Skrip Pilihan, Lagu Pilihan, Pasangan Pilihan dan Drama Pilihan & Drama Rantaian Bahasa Cina.

Kerjaya

Dari sisi kerjaya, menurut Fasha, biarpun kini dia sibuk menguruskan soal perkahwinan, namun tetap berada di lokasi penggambaran.

“Saya baru habis penggambaran drama Patah Sayap Bertongkat Dagu, bergandingan dengan Datuk Aaron Aziz dan Jalil Hamid untuk siaran Astro dan akan ke lokasi penggambaran lain pada bulan April nanti.

“Jadual saya telah disusun sebaiknya oleh pengurus. Mungkin saya akan bercuti beberapa hari sebelum berlangsungnya majlis pernikahan,” jelas Fasha yang akan muncul dalam drama Semua Salahku di slot Lestari TV3, Mac nanti.