Mengimbau apa yang berlaku lapan tahun lalu ketika mengandungkan anak pertamanya Putra Rayqal, kata Nora dia cukup bersyukur dengan kehidupannya kini.

“Memang ia berbeza, dahulu saya mengandung tanpa suami di sisi. Tetapi Alhamdulillah kini saya sangat bersyukur kerana ada suami di samping saya,” katanya ketika dihubungi UTUSAN ONLINE.

Bakal melahirkan anak keduanya ini pada Mac tahun depan kata Nora atau Nora Danish Mohd Hanif, 35, dia bagaimana pun tidak terlalu runsing memikirkan jantina kandungannya.

Namun Nora tidak menolak jauh dalam sudut hati dia dan suaminya Nedim Nazri, berharap agar kali ini kedua mereka dikurniakan dengan seorang anak perempuan pula.

“Kami tidak kisah soal jantina, janji sihat. Tetapi terfikir juga untuk dapatkan anak perempuan pula selepas dua anak lelaki,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai kontroversi yang membabitkan suaminya, Nedim dan bekas isterinya dalam kes hak penjagaan anak. Nora memberitahu soal tersebut tidak sedikitpun memberi tekanan buat dirinya yang sedang berbadan dua.

“Saya tidak tertekan soal itu memandangkan perkara itu diuruskan suami. Kalau suami tiada saya akan bersama rakan- rakan yang sentiasa menemani saya.

“Jadi fikiran saya sentiasa positif,”katanya.

Pasangan ini yang berkahwin pada 30 Mac lalu masing-masing pernah melalui kegagalan rumah tangga. Melalui perkahwinan terdahulu Nora dikurniakan anak lelaki, Rayqal yang kini berusia lapan tahun dan Nedim pula mempunyai anak lelaki, Nedrin, lima tahun.- UTUSAN ONLINE