Baik untuk acara tertutup atau yang disiarkan secara langsung di televisyen (TV), Nabil kerap mengulangi kesilapan yang sama, melampau ketika berjenaka di pentas dan acap kali bermain dengan isu sensitif terutama yang menyentuh peribadi individu lain.

Ketika ditegur sebelum ini, Nabil pernah meminta maaf.

Tetapi apabila dilihat berlaku lagi pada sebuah majlis hiburan baru-baru ini, Nabil sekali lagi menerima kritikan apabila ada berpendapat, kerana tahu dirinya popular, Nabil seakan-akan kebal dengan teguran orang.

Dalam erti kata lain, tidak peduli kata orang meski hal yang dijenakakan itu barangkali boleh menyebabkan individu terbabit berkecil hati.

Pada satu pertemuan baru-baru ini, Pancaindera mencari penjelasan daripada Nabil yang sebenarnya mudah untuk dibawa berbual dan berbincang mengenai sesuatu perkara.

Namun tempoh hari, Nabil dilihat beremosi ketika meluahkan rasa hatinya mengenai kritikan orang tentang hal yang satu ini.

Acap kali terlepas cakap, melawak umpama tak kena cara dan tempat ketika mengacara, kenapa ini berlaku?

Bukanlah saya nak cakap besar tetapi saya memang kena terlepas cakap. Yang mana yang tak selesa itu, jangan tengok. Saya cakap terus terang sajalah, kalau ada yang tak selesa dengan cara saya mengacara, soal sensitiviti itu bukan daripada saya tetapi dialah yang terlalu sensitif. Kalau orang itu sensitif lebih, dia tak patutlah berada di situ.

Adakah ini bermaksud anda menyalahkan penonton?

Saya tak salahkan penonton sebab memang saya dikenali dengan cara begitu. Itulah saya. Jadi kalau saya masih lagi berada di situ (diberi tugas mengacara), maknanya saya diterimalah. Secara tak langsung menunjukkan bahawa saya masih diberi kepercayan oleh pihak produksi untuk berada di situ dan mengendalikan program. Jadi yang bercakap ini, daripada 10 orang, mungkin cuma seorang saja yang tak berpuas hati. Untuk orang macam saya, saya malas nak ambil pusing sebab kerja saya memang begitu. Yang saya lakukan itu menjadikan yang berbeza daripada pengacara lain. Anda boleh tanya balik, apa yang membezakan saya dengan orang lain? Apa yang membezakan kita dengan orang lain? Masing-masing mesti tak sama bukan?

Adakah ini bermakna anda mahu dianggap sebagai seorang artis dan pengacara yang berani?

Tolonglah, kita sudah masuk 2016, lagi empat tahun menjelang 2020. Cuba bayangkan kalau saya masih lagi buat lawak yang sama, tak berkembanglah saya. Bagi saya, lebih baik jadi macam saya daripada nak buat lawak berpakaian menyerupai wanita. Lawak yang sebegitu boleh pula orang terima? Saya punya terlepas kata, apa yang teruk sangat yang pernah saya katakan? Pernah saya carut orang? Pernah saya melawak yang betul-betul menghina orang? Rasanya tak pernah. Sebagai pengacara mestilah saya ada pelan.

Jadi anda mahu katakan yang semuanya itu adalah sebahagian persembahan dan hiburan?

Semua yang dilakukan adalah sebahagian daripada persembahan, sekadar hiburan. Kalau saya mengacara mendatar dan ikut skrip, orang kata saya ada masalah pula. Tak boleh juga terima. Jadi apa yang mereka nak sebenarnya? Sebab itu saya katakan, (kepada) yang sensitif, kalau nampak saya kendalikan program, janganlah datang sebab sebenarnya awak yang sensitif dengan saya. Ini adalah zaman milenium dan semua orang akan buat apa sahaja untuk dikenali, untuk berada di tahap tertentu. Jadi kalau saya tak tegakkan keadilan di pihak saya, di mana saya akan berada nanti?

Takkanlah kerana mahu lakukan perbezaan sehingga tergamak tak jaga sensitiviti masyarakat?

Kalau saya betul tak tahu jaga sensitiviti, saya tak akan dapat satu program pun untuk dikendalikan di stesen TV. Mestilah saya akan digam dan sebagainya dan anggap saya ini merbahaya dek tingkah katanya. Tetapi saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan oleh produksi dan di situ anda boleh fikir logiknya. Astro misalnya, memberi kepercayaan kepada saya untuk mengacara sesebuah program maka saya kena buktikan kepada mereka yang saya boleh buat kerja dan yang penting, penonton terhibur.

Pernah cuba buat perbandingan mengenai cadangan penonton terhadap cara anda mengacara?

Tentulah pernah. Saya tak tahulah kalau ada yang perasan tetapi sebagai contoh, dalam program Gegar Vaganza, saya buat eskperimen itu. Beberapa minggu terawal, saya kendalikan dengan cara selamba, orang kritik saya tak jaga sensitiviti. Kemudian saya ubah kepada cara yang agak perlahan dan jadi sebaik-baik orang. Pun mereka kritik juga dan katakan yang saya malas dan terlalu ikut skrip dan tak buat kerja. Tak jadi diri sendiri, katanya. Saya sengaja buat begitu semata-mata nak buktikan kepada semua orang bahawa dua-duanya ada kelemahan yang akan orang akan tetap perkatakan. Jadi saya fikir, lebih baik saya jadi diri sendiri tanpa perlu selindung. Yang penting saya tahu etika kerja dan tak akan pergi lebih daripada yang dilarang. Saya tahu hadnya. Takkanlah saya ini bodoh sangat. Kalau bodoh, saya tak akan berada di TV.

Bagaimana anda mengendalikan pandangan sesetengah penonton yang terlalu sensitif dengan cara lawak anda?

Ini bukan soal populariti atau glamor. Ini isu mengenai bagaimana kita mahu melihat industri seni kita berkembang dan tidak berada di satu takuk saja. Mungkin ada sesetengah daripada mereka yang tak pernah menonton Anugerah Emmy atau Oscars misalnya. Mereka semua boleh terima gurauan sesama sendiri sebab dianggap sebagai sebahagian daripada persembahan dan sebahagian daripada bahan jenaka. Anda kena terima itu sebagai satu jenaka dan itu adalah sebuah program hiburan. Astro ada menyediakan pelbagai program hiburan. Dalam erti kata lain, pilihan ada di tangan anda. Sebab yang nak berhibur ini bukan seorang tetapi ramai. Buat apa saya nak jaga seorang itu sahaja yang sensitif, kalau ramai lagi yang mahu tengok saya mengacara dan melawak? Jelas orang itu yang ada masalah, bukan saya.

Anda sebenarnya terima atau tidak kritikan orang?

Saya adalah manusia yang senang menerima kritikan bahkan selama ini pun saya terima. Tetapi secara peribadi, saya buat adalah untuk diri saya, untuk peminat saya dan untuk orang yang nak tengok saya mengacara. Kepada mereka yang terlalu sensitif, carilah jalan lain untuk tak perlu tengok saya sebab saya pun tak paksa orang untuk tengok saya. Lagipun ini kerja berpasukan. Kalau awak salahkan saya, maknanya awak salahkan satu pasukan produksi yang sama-sama bekerja dengan saya. Lagi satu, mereka yang kritik itu, lihatlah diri sendiri dahulu. Kalau dia golongan profesional, saya terima. Jangan mudah mengata kerja saya sebab mereka yang kritik saya itu pun, belum tentu boleh kendalikan perasaan ketakutan atas pentas. Jenaka kena ada revolusi dan saya percaya seseorang kena berani ambil risiko itu untuk melakukan perubahan dalam industri kita.