ADAM FAHMY SHAMSUDIN masuk ke rumah tersebut untuk mengambil barang peribadinya dan bukan menceroboh.

Ketika dihubungi Utusan Online, Adam menjelaskan tiada istilah menceroboh atau memecah masuk rumah seperti yang didakwa Ezlynn kerana rumah tersebut adalah milik mereka bersama.

Katanya, dia sudah menghubungi pihak polis dan menjelaskan perkara sebenarnya bahawa dia pulang ke rumah tersebut untuk mengambil barang kepunyaannya sendiri dan tidak pernah berniat untuk memecah masuk rumahnya sendiri.

“Saya sudah jelaskan kepada pihak polis dan mereka memberitahu saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Itu rumah hak milik bersama dan salahkah jika saya mahu pulang ke rumah saya sendiri?

“Rumah tersebut masih rumah saya dan dia juga masih isteri saya. Kes perceraian kami masih dalam perbicaraan dan sekarang dia mahu tuduh saya macam-macam? Kalau salah, saya sudah berada dalam penjara sekarang.

“Saya tidak menyentuh barang-barang peribadi kepunyaannya dan hanya mengambil barang-barang saya sendiri yang sudah diletakkan di dalam kotak olehnya,” jelas Adam.

Dalam pada itu, Adam juga menafikan dakwaan Ezlynn bahawa dia adalah dalang yang menutup ‘periuk nasinya’ sehingga penyanyi itu tidak menerima sebarang tawaran persembahan.

“Itu semua hanya satu dakwaan yang tidak berasas. Dia yang tidak mengaku saya sebagai pengurusnya. Saya sudah mencuba untuk mendapatkan tawaran persembahan untuk dia.

“Saya ada cuba menghubunginya tetapi dia enggan untuk berbincang. Tahu-tahu cerita sudah sampai ke pihak media. Saya hanya berdiam diri setelah mendapatkan nasihat peguam.

“Saya hanya akan beritahu kebenaran di dalam mahkamah. Itu yang paling penting dan adil,” katanya.

Pada 20 April lalu, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1984.

Bagaimanapun Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur menetapkan 23 Oktober ini untuk laporan hakam berhubung kes perceraian mereka selepas kedua-dua pihak mahu meneruskan penceraian.

Ezlynn dan Adam mendirikan rumah tangga pada 20 November 2011 dan tidak dikurniakan cahaya mata. - UTUSAN ONLINE