Tidak terlalu tergesa-gesa untuk kembali bergelar isteri kerana masih fobia dengan dua kali kegagalan berumah tangga sebelum ini membuatkan dia masih belum terfikir ke arah itu.

Pun begitu, bintang filem Munafik ini tidak menafikan sedang mengenali rapat seorang jejaka sejak setahun lalu.

“Dia bukan ahli perniagaan atau penggiat seni. Dia lelaki biasa. Buat masa ini kami dalam fasa mengenali hati budi dan boleh dikatakan dia seorang kawan yang sentiasa ada saat susah dan senang.
“Dia juga tahu status saya, seorang ibu kepada tiga orang anak. Malah anak-anak pun kenal dia,” ujarnya.

Namun Sabrina atau nama penuhnya Sabrina Ali Dad Khan, 37, menafikan dia lebih cenderung meminati lelaki berada.

“Saya bukan wanita yang mementingkan kebendaan. Tak pernah terfikir nak cari yang ada rupa dan kaya.

“Pada usia sekarang saya hanya mahukan seorang lelaki yang mampu membimbing saya.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip jika kamu memanjakan diri sendiri seperti seorang ratu, kamu pasti akan dapat menawan hati seorang raja,” katanya.

Berkongsi tentang kerjaya seni, Sabrina yang hampir 20 tahun terlibat dalam dunia lakonan bagaimanapun tidak pernah memilih watak.

Untuk bergelar pelakon yang bagus, sudah tentu dia bersedia mengubah fizikalnya demi menjiwai watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Malah, kenyataannya itu sama sekali menyangkal dakwaan kononnya dia menolak mentah-mentah tawaran yang memerlukan dia membawakan watak seorang ibu.

“Kebanyakan pengarah kata saya tak nak bawa watak ibu atau wanita berusia. Semua itu salah faham.

“Ingin saya tegaskan di sini, saya hanya menolak watak emak jika watak anak dilakonkan oleh pelakon yang usianya tak jauh bezanya dengan saya,” katanya tegas.