Memilih seorang ahli perniagaan, Muhammad Shazwan Ibrahim, 29, sebagai pasangan hidupnya, Iman atau nama sebenarnya Norsuhana Mohamad Wahid tidak menganggap perkahwinan menjadi batu halangan untuk melebarkan karier seni.

“Bagi saya, perkahwinan yang dibina bukanlah sekatan terhadap kerjaya lakonan saya. Apatah lagi suami telah memberi keizinan untuk terus aktif berlakon.

“Tambahan pula, saya percaya rezeki setiap hamba manusia berada di tangan-Nya tanpa mengira status sama ada saya masih gadis ataupun sudah bergelar isteri.

“Hadirnya saya dalam industri seni tempatan adalah untuk mempertaruhkan bakat. Jadi, saya berharap agar pandanglah kepada bakat saya, bukan status peribadi,” katanya kepada Utusan Online.

Memulakan karier sebagai pelakon teater termasuk pembabitan dalam naskhah Mud The Musical yang dipentaskan di Panggung Bandaraya terbitan Enfiniti Vision Media, Iman memberitahu, dia mula berlakon sejak di bangku sekolah rendah.

Selain aktif dalam bidang seni, Iman juga mengusahakan perniagaan spa sendiri di rumahnya secara kecil-kecilan.

“Saya amat menitikberatkan penampilan. Sebab itu saya cuba menceburkan diri dalam bidang kecantikan dengan menawarkan khidmat rawatan muka.

“Insya-Allah, jika ada rezeki lebih, saya akan mengembangkan pernigaan yang diceburi ini ke peringkat seterusnya,” ujar Iman yang berasal dari Taiping, Perak itu.

Telenovela Monalisa terbitan Radius One adalah produksi drama pertama lakonan Iman di samping barisan pelakon seperti Nazim Othman, Zara Zya, Mona Allen, Elmy Moin, Hafreez Adam, Shah Radhi Hazvee, Fatin Afeefa dan Amyza Aznan. - UTUSAN ONLINE