Hal yang sama berlaku pada penyanyi sensasi, Hael Husaini yang mengaku tidak pernah terlepas diasak soalan cepu emas seperti itu.

Disebabkan belum berkahwin jugalah maka selama ini ada sahaja cakap-cakap yang menuduh Hael sebenarnya tidak berminat pada golongan wanita.

Dalam erti kata lain, Hael dituduh cenderung memilih pasangan yang sama jenis dan sebab itu dia menolak cinta wanita.

Pancaindera berpeluang bertemu dengan Hael dalam sebuah majlis baru-baru ini dan ternyata ada nada tegas dalam setiap bait penjelasannya.

Menginjak usia 32 tahun ni, rasa tertekan tak bila ramai orang di sekeliling sibuk bertanya bila nak tamatkan zaman bujang?

HAEL: Bohonglah kalau saya kata tak pernah menerima soalan seperti ini. Tapi tak adalah sampai rasa tertekan. Biasalah, kebanyakan masa saya bertemu dengan banyak orang daripada pelbagai lapisan masyarakat. Kalau terjumpa golongan makcik-makcik tu, tak terlepas soalan begini. Biasanya saya akan jawab dengan baik.

Alang-alang bertanya, adakah Hael memang belum terfikir soal mendirikan rumah tangga? Usia pun bukannya muda lagi.

Kalaulah ia semudah itu, esok pun boleh nak berkahwin, betul tak? Tapi masalahnya jodoh pun tak ada, macam manalah nak kahwin? Kadangkala pernah terlintas di hati, daripada bertanya pada saya, lebih baiklah tanya pada Dia yang di atas. Iyalah, soal jodoh ni Dia yang tentukan.

Adakah sebab Hael terlalu sibuk dengan kerjaya maka sebab itulah juga tak berkahwin?

Sibuk tu sudah tentulah, tetapi ia bukan satu faktor mengapa saya tidak mahu berkahwin. Bukan saya ketepikan soal kahwin tahu, jangan salah faham. Saya cuma tidak memaksa keadaan. Bak kata orang, kalau ada jodoh, adalah. Insya-Allah.

Ada yang sedang merapati atau Hael cuba rapati seseorang ketika ini?

Ada, iaitu muzik. Saya tahu jawapan ini agak klise, tapi ini adalah realitinya. Saya banyak habiskan masa dengan Ezra Kong kerana muzik. Lagipun saya sedar, diri ini masih baru dalam industri. Banyak benda lagi yang saya nak cuba terokai dalam bidang ini.

Apabila seseorang lelaki itu masih belum berkahwin dia dituduh mengamalkan orentasi seksual songsang, gay barangkali, Apa komen Hael?

Perkara ini macam sudah menjadi kebiasaan masyarakat kita. Kita tak boleh nak tutup mulut orang jadi biarkanlah mereka rancak berkata-kata.

Kalau orang tuduh saya begitu pun, mereka dapat apa ya? Apa yang penting kita sahaja yang tahu hidup sendiri bagaimana. Macam saya, fokus lebih kepada mengukuhkan kedudukan dalam industri ini. Pada akhirnya, saya tahu tujuan berada dalam industri ini pun adalah untuk membahagiakan semua orang menerusi muzik saya.

Bercakap mengenai kedudukan kerjaya, adakah Hael bersedia seandainya satu hari nanti mengalami zaman kejatuhan?

Bagi saya memang kena ada rasa takut untuk jatuh supaya kita tahu macam mana rasanya luka itu. Bila luka, kita akan sentiasa beringat-ingat. Saya tak adalah terlalu mengejar kejayaan yang melampau. Kalau boleh biarlah ia seiring. Prinsip saya, biar lambat asal selamat. Kena ingat, dalam industri ini nak naik tu senang, nak turun atau jatuh pun senang. Tetapi nak bertahan tu, memang susah dan ia menuntut kesabaran tinggi.