Bukan sengaja mahu menjaja kisah percintaan kepada umum namun pelakon yang mula dikenali menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia itu menganggap tiada yang perlu dirahsiakan malah gembira berkongsi rasa dengan peminat.

Enggan terlalu lama menyulam cinta tanpa ikatan yang sah, gadis berdarah kacukan Melayu-Itali itu juga sudah bersedia bergelar isteri, meskipun sedar langkahnya dalam industri hiburan masih terlalu mentah.

Julia, 24, percaya kepada rezeki selepas berumah tangga dan kini sedang dalam perancangan untuk membuat persiapan perkahwinan yang dijangka akan dinoktahkan tahun hadapan.

“Sejujurnya saya seorang yang susah untuk didekati. Tak kisahlah dalam hal bercinta atau berkawan, saya jenis yang sukar nak dapatkan rentak atau ‘sekepala’.

“Dulu saya pernah mengeluarkan kenyataan tidak mahu bercinta sesama artis, tetapi akhirnya Tuhan itu maha kaya, dijodohkan saya dengan orang seni juga.

“Keyakinan dan kesungguhannya itu buatkan saya rasa benar-benar bersedia untuk bergelar isteri. Selain ada ciri-ciri menjadi ketua keluarga yang baik, Erwin juga ada personaliti yang mampu membahagiakan saya,” ujarnya ceria.

Tambah membuatkan hatinya berbunga dan terharu apabila mendapat sokongan keluarga kedua-dua belah pihak yang merestui hubungan mereka.

“Memang perbincangan ke arah pernikahan sudah mula dibincangkan oleh keluarga kami. Cuma buat masa ini kami hanya meletakkan sasaran itu pada tahun hadapan.

“Kami tak mahu tergesa-gesa sebab Erwin ada memberitahu mahu membawa ibu dan bapanya menunaikan ibadah umrah terlebih dulu,” tuturnya mengenai buah hati kelahiran Singapura itu.

Ditanya tentang populariti yang sedang diraih ketika ini, Julia tidak gentar dan percaya dengan rezeki malah optimis melihat hal itu tidak akan mengganggu gugat periuk nasinya biar setelah mendirikan rumah tangga kelak.

“Saya tak nak jadikan faktor perkahwinan sebagai titik noktah dalam karier seni. Rasanya ramai pelakon yang sudah mendirikan rumah tangga tetapi masih lagi aktif dalam bidang hiburan.

“Lebih membanggakan, mereka kekal relevan dan terus diterima baik oleh peminat.

“Semua itu berbalik kepada rezeki kerana hanya Tuhan sahaja yang berhak tentukan rezeki kita,” katanya.

Gangguan seksual merimaskan!

BERKONGSI kisah pahit sewaktu awal kerjaya, kata Julia, insiden itu meninggalkan trauma kepada dirinya. Malah dia tidak pernah menyangka melalui episod hitam itu kerana niatnya hanya menghadiri sesi uji bakat sebuah produksi terkenal tanah air.

“Saya disuruh melakonkan babak wanita penggoda. Pada mulanya saya berlakon di hadapan dinding tetapi pengarah popular itu meminta saya menggodanya. Meskipun kurang selesa saya turutkan sahaja, namun bertegas untuk tidak bersentuhan.

“Tetapi saya terus dipaksa untuk menyentuh tubuhnya hingga membuatkan saya tidak selesa dan keliru. Tanpa berfikir panjang, saya tinggalkan set uji bakat dan berlari ke kereta serta menangis sekuat hati kerana terlalu takut,” kongsinya.

Ujar pelakon itu, rentetan peristiwa tersebut dia kini sangat berhati-hati, malah turut menitipkan pesanan kepada pelakon baharu agar berwaspada.

“Paling penting jangan hadir sesi uji bakat seorang diri. Kena ditemani terutama sekali wanita,” katanya sebelum menyambung:

“Apabila teringatkan peristiwa itu saya rasa maruah saya sebagai wanita berada pada tahap paling rendah.”

Malah katanya, sejak kejadian tersebut, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke produksi itu selain menolak tiga tawaran drama mereka.

Kini muncul dalam drama bersiri Salon arahan Khabir Bhatia di ntv7 dan Original Viu, Julia melakonkan watak Anna dan Maria digambarkan seorang wanita psiko (sakit jiwa) yang mempunyai kisah silam menyedihkan.

Berlakon di samping Idris Khan, Josiah Hogan dan Corinne Adrienne, Julia turut ditanya mengenai beberapa babak intim dalam drama tersebut.

“Semua dilakukan menggunakan camera trick malah saya tekankan beberapa kali kepada pengarah batas-batas yang saya boleh dilakukan.

“Walaupun saya berdarah kacukan tetapi adat ketimuran masih lagi saya ikut,” katanya.