Pasangan Riz Amin dan isterinya Sharifah Fazlina Syed Fuad kini sudah hampir lapan tahun bersama dan Riz sendiri mengakui itu satu tempoh masa yang lama.

“Macam-macam yang kami lalui selama tujuh tahun berkawan. Hubungan kami terputus dua kali, tetapi sudah ditakdirkan jodoh kami bersama, akhirnya ke jenjang pelamin juga,” jelasnya.

Menceritakan kembali perjalanan tujuh tahun sebelum berkahwin, jelas Riz, semuanya bermula apabila dia meminta rakannya mencarikan dia seorang wanita untuk dia berkenalan.

Bermula daripada situ, Riz diperkenalkan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Friendster yang popular satu ketika dahulu.

“Masa itu Friendster antara laman sosial yang terkenal dan kami berkenalan melalui itu dahulu sebelum berjumpa buat pertama kali tiga bulan selepas itu.

“Perjumpaan pertama itu ambil masa yang lama kerana saya berada di ibu kota waktu itu manakala Sharifah pula berada di Kedah ketika itu bersama dengan keluarganya,” jelasnya.

Tambah Riz, pertemuan itu membuatkan hubungan mereka semakin akrab dan terjalin selama tujuh tahun.

Namun, sepanjang perjalanan hubungan sejak berkenalan hinggalah bergelar ibu bapa, jelas Riz ada satu peristiwa yang masih diingatinya hingga kini.

Tinggal lagi dua minggu sebelum tarikh perkahwinan, tetapi duit yang dikumpul masih tidak mencukupi.

Itu yang menjadi kerunsingan kepada Riz Amin ketika mahu berkahwin bersama pasangannya, Sharifah Fazlina Syed Fuad.

“Saya berkawan dengan Sharifah ketika itu sudah tujuh tahun, ibu bapa antara yang sering bertanya bila saya mahu mendirikan rumah tangga.

“Bila keluarga sudah cakap begitu, saya suarakan hasrat pada Sharifah dan dia setuju. Perlahan-lahan saya kumpul dan urus kewangan untuk mendirikan rumah tangga,” jelasnya.

Bermula daripada situ, dia dapat lihat bagaimana Allah turunkan rezeki buat mereka yang berhajat untuk mendirikan sebuah masjid.

“Masa itu tinggal beberapa minggu sahaja sebelum perkahwinan, tetapi wang yang saya kumpul masih tidak mencukupi untuk berkahwin.

“Memang runsing tetapi Allah sudah janjikan rezeki bagi setiap mereka yang ingin mendirikan rumah tangga dan saya yakin dengan perkara itu.

“Alhamdulillah, dalam masa dua minggu itu, rezeki saya datang dan wang simpanan dalam bank ketika itu memang cukup untuk kami berkahwin,” jelasnya.

Buang rasa cemburu

Pertama kali menerima mesej daripada Riz, jelas Sharifah memang dia terkejut kerana ketika itu dia tidak menyangka seorang pelakon mahu berkenalan dengannya.

Selepas bergelar isteri kepada seorang pelakon, jelas Sharifah, pada mulanya memang sukar apatah lagi sering dihujani rasa cemburu.

“Pada awal perkenalan itu, saya memang tahu dia seorang pelakon, tetapi ketika itu nama dia pun masih baharu dalam industri.

“Tetapi, lama kelamaan namanya semakin mendapat perhatian dalam industri dan itu membuatkan jadualnya semakin padat.

“Pada mulanya memang sukar hendak memahami jadual kerjanya. Apatah lagi melihat dia berlakon membuatkan saya sering rasa cemburu,” jelasnya.

Namun, jelas Sharifah, sebagai seorang isteri kini, dia memahami dengan tuntutan kerjaya Riz.

“Rasa cemburu memang kena buang. Lagipun, tuntutan kerjanya memang sebegitu, jika cepat rasa cemburu, memang boleh goyah rumah tangga.

“Suami juga sebenarnya perlu tahu batas dan setakat ini, Riz tidak pernah mengecewakan saya. Itu yang saya bersyukur memiliki dia,” jelasnya.

Tambah Sharifah, dia nampak perubahan pada diri Riz sejak berkenalan hinggalah sudah bergelar bapa kini.

“Dahulu masa nak kahwin, dia memang bersungguh-sungguh mahu menyimpan duit dan mengawal kewangannya supaya kami boleh berkahwin.

“Bila bergelar suami, nampak dia bertanggungjawab dalam hal rumah tangga dan apabila bergelar bapa, memang dia sangat sayang dengan anaknya,” jelas Sharifah.

Tidak merancang

Berkongsi pengalaman menjadi ibu, jelas Sharifah, pada mulanya memang kekok tetapi kini, dia dan Riz sudah membiasakan diri bergelar ibu bapa.

“Anak pertama kami, Putri Natalia Eryna kini sudah berusia empat bulan. Alhamdulillah, Riz banyak membantu menguruskan anak.

“Sebab ini kali pertama saya dan Riz mempunyai anak. Memang lumrahlah jika kelam kabut pada mulanya,” katanya tertawa.

Bagi Riz pula, dia bersyukur kerana dikurniakan anak selepas setahun mereka bergelar suami isteri.

“Alhamdulillah kerana saya memang berhajat untuk bersama dengan isteri selama setahun dahulu sebelum dikurniakan anak.

“Kami tidak merancang, tetapi saya ada niat mahu menghabiskan bersama sebagai suami isteri selama setahun dahulu sebelum dikurniakan anak.

“Tetapi jika dikurniakan anak lebih awal daripada tempoh setahun itu, saya tetap terima dan bersyukur.

“Alhamdulillah, selepas setahun kami bersama, isteri saya beritahu yang dia mengandung. Itu yang nampak seperti dirancang sedangkan sebenarnya tidak,” jelasnya.

Kali pertama bergelar bapa, jelas Riz, memang saat inilah yang dinantikan selepas bergelar seorang suami.

“Lepas habis penggambaran atau kerja, saya akan terus balik ke rumah untuk berjumpa anak.

“Hinggakan penat macam mana sekali pun, saya tetap akan luangkan masa bersama dengan anak saya,” katanya.