Biarpun tidak terlibat sepenuhnya namun pengalaman menyertai pasukan karya penulisan dan pengarahan sutradara Pa. Ranjith tidak akan dilupakan.

Lebih-lebih lagi mengenangkan momen istimewa ketika bekerjasama dengan bintang nombor satu India, Rajinikanth meninggalkan satu pengalaman istimewa buat Rosyam dan Norman.

Begitu juga dengan Jalaluddin, Biarpun sekadar meminjamkan suaranya namun itu dia tetap merasai ‘sentuhan’ Rajinikanth.

Yang pasti, ketiga-tiga pelakon ini berdebar menantikan impak tayangan filem Kabali versi Tamil yang ditayangkan bermula 22 Julai lalu dan alih suara (27 Julai ini).

Mereka berkongsi suka duka sepanjang terlibat dengan filem yang menjalani penggambaran di India, Malaysia dan Thailand sebagai lokasi utama ini.

 

Kali pertama berjauhan

MENYEMPURNAKAN tugas alih suara daripada bahasa Tamil ke bahasa Melayu adalah satu tugas yang berat buat Jalaluddin. Mengakui seorang yang mementingkan kesempurnaan, Jalaluddin juga bimbang jika lontaran suaranya itu tidak memberi sebarang impak kepada penonton.

Biarpun dengan sepatah perkataan, Jalaluddin enggan diburu rasa penyesalan andai tugasnya itu dilihat seolah-olah seperti melepaskan batuk di tangga.

Apatah lagi melihat budaya kerja sepanjang menjalani proses alih suara itu di Chennai, India itu yang berlainan daripada kebiasaan di tanah air secara tidak langsung merisaukan Jalaluddin.

“Saya jenis menghafal ayat sebelum membuat alih suara tapi skrip diberikan kepada saya beberapa jam sebelum proses berkenaan dilangsungkan.

“Bayangkan macam mana keadaan saya yang sudah pastinya berasa tidak selesa. Saya risau kalau dialog yang dilontarkan itu tidak beremosi.

“Puas jugalah saya mencari-cari nada suara dan emosi yang sesuai setiap kali proses alih suara bermula. Walaupun saya sekadar meminjamkan suara namun saya tetap tidak mahu buat kerja sambil lewa.

“Jadi caranya saya rakam dulu dialog yang diperlukan, jika ada kekurangan saya meminta pihak produksi untuk melakukan rakaman semula,” katanya yang meminjamkan suara untuk watak Kishore dalam Kabali.

Sepanjang seminggu berada di Chennai awal Jun lalu, Jalaluddin mengakui fokus utamanya hanya untuk menyiapkan kerja semata-mata.

Memandangkan itu adalah kali pertama dia dan isteri, Datin Hashimah Aksan berpuasa berjauhan sepanjang 38 tahun hidup bersama, sudah pastilah kebimbangan bersarang dalam hati Jalaluddin.

“Saya tidak pernah ke luar negara tanpa isteri. Tapi untuk perjalanan kali ini, saya tidak membawanya kerana tugasan itu berlaku pada Ramadan.

“Jadi apabila saya kembali ke tanah air, saya mendapati kesihatannya kurang memberangsangkan.

“Rupa-rupanya dia mengalami penyakit jantung yang menjejaskan bahagian paru-parunya. Keadaannya itu benar-benar merisaukan saya.

“Jadi tiada istilah berhari raya pada tahun ini kerana keadaan kesihatan isteri,” kata Jalaluddin yang bersyukur apabila kesihatan isterinya semakin pulih.

Rosyam jaga kualiti

JIKA dilihat perkembangan kerjaya lakonan Rosyam sejak akhir-akhir ini, diakui dia semakin selektif dengan setiap hasil kerja yang dijayakan.

Rosyam benar-benar menjaga kualiti dan menginginkan kesan yang positif pada setiap penampilannya. Begitu juga dengan pembabitannya dalam filem Kabali.

Meskipun kudratnya tidak sama seperti saat awal penampilannya dalam dunia lakonan lebih tiga dekad lalu namun sejak akhir-akhir ini Rosyam kerap dilihat menjayakan filem bergenre aksi.

“Untuk pelakon yang sudah berusia seperti saya memang tidak wajar membawakan watak cinta sebagai hero utama. Sebab itu saya perlu mencari watak yang sesuai.

“Watak gangster dalam KL Gangster 2 oleh pengarah Syamsul Yusof adalah permulaan kepada penampilan semula saya selepas sunyi seketika satu ketika dulu.

“Nyata saya menerima impak yang baik dalam kalangan penonton. Jadi saya memilih untuk mengekalkan strategi itu apabila ditawarkan untuk berlakon dalam filem KL Special Force oleh adik Syamsul, Syafiq Yusof.

“Dengan cara ini saya berpeluang untuk memegang watak utama dalam filem biarpun kadangkala ‘pancit’ membawakan watak-watak sebegitu,” katanya yang amat menitikberatkan soal pemakanan dan gaya hidup sihat.

Dalam usaha memastikan stamina fizikal, Rosyam melakukan senaman atau berkebun di ladangnya yang terletak di Lanchang, Pahang.

Tidak pernah menjalani rutin senaman di gimnasium, Rosyam merasakan sistem badannya itu tidak memerlukan rejim senaman yang ekstrem seperti golongan muda.

“Tak usahlah nak membandingkan stamina badan kita dengan zaman muda dulu. Sudah pastilah berbeza. Cara terbaik adalah menyeimbangkan segala-galanya,” kata Rosyam yang membawa watak Legau dalam Kabali.

 

Kenangan istimewa Rajinikanth

NORMAN Hakim tidak akan melupakan kenangan apabila berpeluang menyambut hari jadi ke-40 dengan Rajinikanth ketika menjalani penggambaran Kabali di India pada 8 Januari lalu.

Biarpun ketika itu bintang handalan itu dikawal ketat namun Norman tetap mencari kesempatan untuk mendekati Rajinikanth sekaligus merakamkan kenangan istimewa bersama-sama.

“Pada peringkat awal, semua pelakon luar tidak dibenarkan untuk merakamkan gambar atau selfie dengan Rajinikanth atas sebab keselamatan.

“Kawalan keselamatan di lokasi penggambaran kami juga amat ketat dan mustahil untuk merakamkan gambar berdua dengan Rajinikanth.

“Mungkin sudah rezeki, saya dapat juga mendekati bintang itu. Dapat bersalaman dan berborak dengannya adalah satu pengalaman terindah buat diri saya,” kata pemegang watak Ken dalam filem Kabali ini.

Berkongsi cerita Norman memberitahu, dia juga berpeluang untuk melihat sendiri kebaikan hati budi Rajinikanth sepanjang tiga minggu menjalani penggambaran di India.

Menurut Norman, lelaki berusia 66 tahun itu tidak pernah meletakkan dirinya sebagai seorang bintang yang hebat sedangkan dia mempunyai portfolio kerjaya lakonan yang tidak perlu disangkal.

“Rajinikanth seorang yang amat menghormati orang tua. Tidak kira profesion, pasti dia akan mendahulukan keperluan mereka seperti bertanya khabar atau memberi tempat duduk.

“Sikap mulia yang ada pada diri Rajinikanth itulah yang menyebabkan dia dipuja peminat serata dunia,” kata Norman yang juga pemilik Mr. Sado Gym & Fitness Centre dan Meylana Ventures ini.