Lambakan filem kurang berkualiti akhirnya menjahanamkan filem yang patut ditonton. Cuma sebagai pemain wayang, mereka akur inilah satu perjudian nasib.

Bagi Bront Palarae dan Marsha Milan, kehadiran filem Jwanita yang bakal ditayangkan 24 September ini akan menguji mereka.

Pastinya Jwanita yang menjadi filem paling dinanti-nantikan oleh peminat genre psiko tahun ini mengharapkan tuah menyebelahi mereka khususnya dari segi kutipan tiket di panggung. Kepada Pancaindera, Bront dan Marsha berkongsi rasa, harapan dan kisah peribadi.

Kerisauan Bront

MENJADI antara pejuang sinema tempatan adakala membuatkan dia sesak nafas melihatkan jumlah kutipan tiket yang semakin merudum sejak akhir-akhir ini.

Baginya keadaan semasa sinema hari ini bukan lagi menjadi lubuk untuk pengkarya memandangkan sambutan dingin yang diterima daripada khalayak.

Malah lelaki ini sering tertanya-tanya mengapakah peminat enggan lagi ke panggung.

“Tidak semua karya yang baik mendapat tuah di panggung. Kalau kita lihat kepada kutipan filem yang diperkatakan oleh keseluruhan industri pun, tak banyak mana.

“Ini masalah yang serius dan terjadi disebabkan banyak punca. Lambakan filem kurang berkualiti juga menjadi penyebab orang ‘serik’ ke panggung.

“Yang terima padahnya tentunya naskhah yang patut ditonton dan ini adalah realiti yang sedang berlaku hari ini,” kata Bront berterus terang.

Pun begitu kegusaran Bront lebih kepada nasib yang bakal diterima oleh graduan institusi pengajian tinggi yang tentunya mengharapkan sinar menerusi industri filem tempatan.

Sudah pasti mereka mengharapkan tuah untuk terus berkarya dan menghasilkan filem-filem yang hebat. Malangnya keadaan semasa pula kurang mengizinkan.

Meskipun hakikat tersebut perit untuk ditelan, pastinya tanggungjawab untuk mengembalikan semula kegemilangan sinema tempatan terletak di tangan pengkarya sendiri.

Kelainan

MELIHATKAN perkembangan seni pelakon ini, Marsha menganggap dia antara pelakon yang sering kali diberikan watak perempuan gedik, menggoda dan watak hantu.

Bukan tidak bersyukur dengan tawaran yang diberi tetapi dia juga sering menantikan watak yang berbeza daripada kelaziman.

“Susah sebenarnya nak bercakap soal ini. Saya sedar kebanyakan hasil kerja saya hanyalah watak perempuan gedik dan menggoda.

“Kalau boleh saya pun teringin nak mencuba karektor lain seperti yang dibawakan oleh Maya Karin dalam filem ini. Itu memang menjadi idaman saya sejak dahulu,” katanya berterus terang.

Akui Marsha, sehingga hari ini dia masih menerima banyak tawaran perempuan menggoda tetapi ada sebahagiannya ditolak mentah-mentah kerana dirasakan kurang sesuai.

Baginya zaman ‘menggedik’ dan berpakaian seksi sudah lama ditinggalkan dan dia kini lebih fokus untuk mencari peluang yang lebih besar.

“Kalau dulu orang sering melihat saya berani menggayakan pakaian yang seksi dan 'tak cukup kain' tapi kini perkara tersebut tidak akan berlaku lagi.

“Usia saya semakin meningkat dan saya perlu lebih matang. Bukan sahaja hasil kerja kena matang tetapi imej juga perlu dijaga. Pendek kata saya lebih berhati-hati sekarang,” jelas wanita yang berusia 30 tahun ini lagi.

Kepuasan

MENGULAS mengenai pembabitannya dalam filem Jwanita arahan Osman Ali pula, Bront tidak menafikan yang filem tersebut memberikannya seribu satu rasa yang sukar diungkap.

Menganggap Jwanita sebagai filem yang mengembalikan semula Maya Karin ke tempat terbaik, Bront yakin karya ini mampu menarik kembali minat penonton untuk ke panggung.

“Sebenarnya Jwanita bukan sahaja memberikan cabaran besar kepada Maya tetapi juga kepada saya. Ini filem berat tetapi digarap dengan baik oleh Osman Ali.

“Saya terpaksa mengembangkan watak selapis demi selapis sewaktu di dalam set. Ini penting bagi memperlihatkan emosi dan kesan kepada penonton,” jelasnya.

Menganggap Jwanita antara filem yang membuatnya mampu tersenyum puas, Bront bagaimanapun menganggap kepuasan terbesar adalah tatkala melihat sambutan penonton nanti.

Baginya dia sudah melunaskan tanggungjawab sebagai pelakon dan selebihnya mengharapkan tuah akan berpihak kepada mereka.

Filem ini mengisahkan tentang Jwanita lakonan Maya Karin yang juga seorang gadis yang mengalami masalah mental yang serius akibat kisah silam.

Dia sering didera secara mental dan fizikal oleh ibu dan bapa angkatnya yang merupakan pengamal ilmu hitam.

Harapan

Harapan baharu mula muncul dalam hidup Jwanita apabila dia bertemu dengan Farhan, lakonan Bront, doktor yang merawatnya selepas dia membunuh ibu dan bapa angkatnya.

Namun segalanya punah apabila Farhan yang dicintainya merupakan tunang kepada adik kandungnya, Julaika yang ternyata lebih bernasib baik daripadanya.

Selepas menghilangkan diri pada hari perkahwinan Farhan dan Julaika, Jwanita muncul semula. Jwanita kembali dengan perwatakan yang berbeza selain azam dan dendam durjana.

Selain Maya dan Bront, pelakon lain yang terlibat termasuk Cristina Suzanne dan Umie Aida.

Ketika ditanya adakah dia akan menerima tawaran filem sebegini lagi pada masa depan, Bront akan mempertimbangkannya jika kena dengan syaratnya.

Jika tidak dia lebih gemar mencuba genre lain yang masih belum diterokai sebelum ini.

Pengalaman Marsha

TIDAK memegang watak yang besar menerusi Jwanita tetapi yang berlaku sepanjang tempoh penggambaran benar-benar berbekas di hatinya.

Marsha yang memegang watak Nona, pembantu rumah kepada pasangan Farhan dan Julaika menganggap pengalaman digantung dan dihentak ke dinding benar-benar perit.

“Sebenarnya itu cabaran paling besar menerusi filem ini. Cuba bayangkan saya digantung dan dihentak ke dinding dalam babak dirasuk selepas dipuja oleh Jwanita.

“Mereka hentak saya di kiri dan kanan dinding. Memang lunyai sebenarnya dan hampir lebam seluruh badan. Tapi saya tak kisah sebab itu merupakan pengalaman berharga buat saya,” kata Marsha.

Jelasnya, mereka ada menawarkan khidmat pelakon lagak ngeri namun dia lebih senang melakukannya sendiri dan mengambilnya sebagai cabaran untuk menambah pengalaman di lapangan lakonan.

Meskipun mengalami kecederaan fizikal, perkara tersebut tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus terlibat dalam babak-babak sedemikian.

Ketika ditanya pengalamannya bekerja dengan Osman Ali, penyanyi kelahiran Sabah ini mengakui faham benar dengan ketelitian dan cara kerja pengarah ini.

Dia yang berpengalaman bekerjasama menerusi drama bersiri Bicara Hati beberapa tahun lalu berbangga dengan tawaran yang diberi kali ini.

“Osman bukan orang yang bekerja tangkap muat. Sesiapa yang pernah bekerjasama dengannya pasti tahu yang perlu dilakukan bila berada di set.

“Tapi melihatkan hasilnya saya berpuas hati walaupun teruk dilanyak di set,” kata Marsha tertawa.