Seperti juga Transformers, Jurassic World akan menyaksikan transformasi peralihan bahasa Melayu yang menjanjikan kelainan dan keistimewaan tersendiri buat tatapan penonton dan peminat filem arahan Colin Trevorrow ini.

Menurut Ketua Jualan dan Pemasaran Affiliate HBO Asia, Yasmin Zahid, pihaknya memilih filem tersebut sebagai tarikan utama HBO sempena Syawal ini kerana reputasinya sebagai filem hits terbesar di pawagam di seluruh dunia termasuk di negara ini.

Selain itu, kata Yasmin, Jurassic World juga merupakan filem kedua dengan pendapatan paling tinggi pada 2015.

“HBO mendapat kerjasama yang baik dengan rakan kongsi kami, Astro untuk membawakan filem aksi blokbuster mega ini dalam bahasa Melayu.

“Menariknya, alih suara ini membabitkan barisan selebriti tanah air dan Singapura yang dipercayai mampu menjadi daya penarik dan menghiburkan penonton seisi keluarga tidak kira usia,” katanya.

Sedar bahawa ada cabaran tertentu yang dilalui oleh barisan selebriti yang terlibat, kata Yasmin, paling utama adalah bagaimana mereka perlu memastikan penceritaan dan emosi yang dibawakan oleh pelakon asal itu sampai kepada penonton dalam versi bahasa yang lain.

“Penonton sudah terbiasa mendengar dan menonton filem itu dalam bahasa Inggeris dan itu adalah cabaran untuk kami dalam menyediakan skrip versi bahasa Melayu.

“Namun rata-rata selebriti yang terlibat dilihat mampu menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik dan menghiburkan,” katanya.

Menurut Yasmin, antara selebriti yang meminjamkan suara mereka untuk watak dalam filem ini ialah Hisyam Hamid yang membawa watak Owen, Nora Danish (Claire), Izzue Islam (Zach), Wafiy (Gray), Fahrin Ahmad (Hoskins), Bront Palarae (Masrani) dan Nabil Ahmad (Lowery).

Yang turut terlibat sama ialah Faizal Ismail sebagai Barry, Fara Fauzana (Vivian), Syazwan Zakariah (Dr Henry Wu), Raianna A Rahman (Karen), Akhmal Nazri (Jimmy Fallon), Shalma Ainaa (Zara) dan Abby Fana (juruhebah wanita).

Watak asal filem yang ditayangkan pada tahun lepas ini dipegang oleh Chris Pratt (Owen), Bryce Dallas Howard (Claire), Irrfan Khan (Masrani), Vincent D’Onofrio (Hoskins), Ty Simpkins (Gray), Nick Robinson (Zach), Jake Johnson (Lowery), Omar Sy (Barry), BD Wong (Dr Henry Wu) dan Lauren Lapkus (Vivian).

Jurassic World versi bahasa Melayu ini akan ditayangkan pada 6 Julai ini pukul 9 malam di saluran HBO (Astro 411) dan HBO HD (Astro 431).

Sinopsis

Kisah asal Steven Spielberg, Jurassic World, sebuah pusat resort mewah bagi berpuluh ribu tetamu meneroka keajaiban dan kecemerlangan binatang prasejarah paling menakjubkan di dunia yang hidup dan berinteraksi dengan mereka setiap hari.

Mengawasi setiap sudut Jurassic World adalah Claire yang mendapati dirinya terbeban dengan ketibaan dua anak saudaranya.

Claire tidak punya masa untuk memberi perhatian kepada anak-anak saudaranya itu lalu menghantar mereka untuk meneroka taman tersebut.

Dinosour di taman itu dicipta oleh Dr. Henry Wu dan oleh kerana kemakmuran komersial taman tersebut menuntut inovasi baharu setiap tahun untuk memastikan tetamu kembali berkunjung, Dr. Wu melampaui etika dan batas sains.

Dia memanipulasikan genetik untuk mencipta dinosaur yang diubahsuai yang tidak pernah wujud di Bumi sebelum ini menerusi Indominus Rex yang gagah dan misterius.

Untuk membantu menilai makhluk ini dan keselamatan pengurungannya, Claire melawat Owen seorang bekas tentera yang pakar dalam tingkah laku haiwan.

Apabila Indominus Rex melepaskan diri dari kurungan dan menghilang jauh ke dalam hutan, nyawa setiap makhluk di Jurassic World iaitu dinosaur dan manusia terancam termasuk anak-anak saudara Claire.

Owen dan Claire menyertai pencarian kedua-dua budak lelaki itu ketika suasana di taman tersebut menjadi huru-hara dan para tetamu pula menjadi mangsa.

Dinosaur-dinosaur bebas berkeliaran di daratan, udara dan air demi berjuang untuk terus hidup dan tiada satu sudut di taman terbesar di dunia itu yang selamat.

Menariknya, alihan suara ini membabitkan barisan selebriti terkenal tanah air dan Singapura yang dipercayai mampu menjadi daya penarik dan menghiburkan penonton seisi keluarga tidak kira usia